Monday, April 11, 2011

Semangat Berpasukan Satu Amalan…

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Pertama sekali saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana memberi saya kekuatan dan ketabahan dalam meneruskan kehidupan saya sebagai seorang mahasiswa dan hamba-Nya. Kesibukan yang dihadapi dalam mengerjakan 3 kerja dalam 1 masa membuatkan diri saya perlu lebih menyeimbangkan masa yang ada untuk menyelesaikan ketiga-tiga perkara tersebut.

Apa yang ingin saya kongsikan pada penulisan kali ini adalah semangat berpasukan atau semangat berkumpulan dalam kehidupan seharian kita. Setiap pasukan / kumpulan pasti akan ada ketua atau kaptennya dan ada ahli kumpulannya. Jika sesebuah pasukan / kumpulan itu hebat ini bermakna kehebatan itu datangnya dari kerjasama yang diberikan antara kapten dan anak buahnya.

Saya ingin kaitkan perkara ini dengan 2 buah program yang akan saya jalankan sebagai rasa tanggungjawab saya untuk mengangkat martabat ‘Mahasiswa’ sebagai agen transformasi masyarakat. Saya beranggapan sedemikian kerana saya melihat mahasiswa sememangnya perlu mendepani masyarakat luar sebagai salah satu cara mengembangkan ilmu / kemahiran yang diperolehi dari universiti.

Program Universiti Social Responsibility di Kampung Baroh. Bachang Melaka 2011 (USR-YPM-UTM@Bachang ‘11) dan Program Khidmat Pendidikan University Social Responsibility di Kubang Pasu 2011 (USR-UTM@Kubang Pasu 11) merupakan 2 buah program yang akan saya jalankan bersama-sama sekumpulan mahasiswa yang dipilih untuk ‘turun padang’ bersama-sama mendepani masyarakat kampong.

Sebelum itu, saya ingin mengucapkan berbanyak ‘Terima Kasih’ kepada 2 orang Timbalan Pengarah saya yang begitu memberi komitmen yang tinggi dan tidak jemu-jemu sepanjang hampir 3 bulan lebih menjalankan gerak kerja yang begitu rumit. Tapi saya bangga dengan anda berdua kerana anda masih mampu bertahan dalam cubaan merealisasikan 2 buah program dalam 1 masa.

Saya juga mengalu-alukan kedatangan beberapa ajk baru yang dikenal pasti mempunyai kekuatan masing-masing bagi meneruskan semangat berpasukan dalam mendepani 2 buah program berbentuk kemasyarakatan ini iaitu Saudara Mohd Hafiz dan Saudara Muhammad Salman. Saya amatlah berharap agar anda berdua terus bersemangat dalam pasukan kita ini.

Walau apa jua yang melanda, sifat ‘Sabar’ itu masih menjadi kekuatan untuk pasukan ini dalam meneruskan aktiviti seperti ini. Saya yakin dengan kekuatan ajk saya yang masing-masing mempunyai kekuatan dan kemahiran yang berbeza mampu disatukan bagi membentuk sebuah pasukan yang kuat.

Semangat Berpasukan atau kerjasama setiap ahli kumpulan itu merupakan satu rahsia sesebuah pasukan dalam mengecapi kejayaan yang diimpikan. Semangat berpasukan ini adalah simbolik pemikiran yang berbeza antara ahli kumpulan dan disimpulkan menjadi satu ramuan yang mantap untuk dipersembahkan kepada khalayak.

Sebagai contoh, sesebuah kerajaan itu mantap atau hebat kerana pemimpinnya mempunyai pemikiran yang hebat dan rakyatnya pelaksana yang hebat dalam melakukan kerjanya. Pemimpin dan rakyatnya saling memerlukan antara satu sama lain bagi merealisasikan impian yang diharapkan. Kedua-dua ini (pemimpin & rakyatnya) digabungkan menjadi satu pohon pokok yang kuat dan mampu melahirkan hasil-hasil yang memberi keuntungan kepada seluruh manusia sekeliling.

Kehebatan berpasukan inilah yang perlu kita amalkan sebagai perbincangan atau musyawarah dalam pembentukkan pembangunan jati diri yang mampu melakukan perubahan bagi mendepani hari yang mendatang. Percaya atau tidak, anda sendiri dapat memikirkannya.

Kekuatan dalam sesebuah pasukan bukan datangnya dari wang atau ganjaran tetapi ‘kerjasama antara kumpulan’ yang menjadi kekuatan utama dalam melahirkan sebuah pasukan yang hebat. Dengan berpasukan juga, sedikit sebanyak kita dapat berkongsi pendapat dan pandangan serba membaca apa sebenarnya yang difikirkan oleh orang lain.

Akhir kata, saya amatlah berharap agar seluruh mahasiswa Malaysia menjadikan semangat berpasukan itu sebagai salah satu cara untuk kita semua bersatu dalam melahirkan generasi pelapis yang berwawasan dan berkualiti pada masa hadapan.

Sekian, Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
Diploma Pengurusan Harta Tanah
Universiti Teknologi Malaysia International Campus
wan_hazem90@yahoo.com