Monday, February 10, 2014

Diari AMMAR : Antara Tadbir Insani & Takdir Ilahi...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

‘Diari AMMAR : Antara Tadbir Insani & Takdir Ilahi’ 

ALHAMDULILLAH… tadi saya berkesempatan untuk hadiri satu program yang saya anggap cukup bermanfaat iaitu perkongsian dari Ayah dan Ibu Almarhum Ahmad Ammar yang dianggap sebagai Pencetus Kebangkitan Ummah menerusi program ‘Diari AMMAR : Antara Tadbir Insani & Takdir Ilahi’ anjuran Pusat Islam UTM dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Islam UTM di Masjid Sultan Ismail UTM. 

Perkongsian mengenai kisah hidup dan perjalanan perjuangan Almarhum Ahmad Ammar ini dikongsikan terus oleh Tuan Haji Ahmad Azam bin Ab.Rahman (Bapa Almarhum Ammar yang juga Pengerusi Yayasan Future Global Network) dan Puan Nur Azlina Aziz (Ibu Almarhum Ammar). 

Serba Sedikit Mengenai Almarhum Ahmad Ammar 

Almarhum Ahmad Ammar disemadikan di Perkuburan Eyub Sultan menghadap Laut Golden Horn. Tanah perkuburan ini menempatkan lebih 60 jasad para sahabat nabi, auliya’, panglima Uthmaniyyah dan orang-orang kenamaan di sana. Namun Datuk Bandar telah memberi pengecualian kepada Ammar sehingga allahyarham menjadi orang Malaysia pertama disemadikan di sini. 

Kisah syahid seorang anak muda telah menjadi bualan yang serius di kalangan rakan-rakan, masyarakat Malaysia dan telah menjangkau ke banyak Negara yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang beliau. Anak muda ini tidak menonjol dalam rutin hariannya. Namun beliau yang merupakan pelajar cemerlang mempunyai tahap intelek dan emosi pada tahap yang tinggi. Beliau merupakan seorang ‘syahid yang tertangguh’. Pemikiran dan keterlibatan beliau dalam kerja-kerja dakwah amat mengagumkan. Pada usia 20 tahun beliau telah terlibat dalam pelbagai misi dakwah dan kemanusiaan termasuk di Syria. 

Perkongsian dari Bapa Almarhum Ammar 

Melalui perkongsian dalam program yang saya sertai tadi, saya sempat mencatatkan beberapa info sebagai perkongsian untuk pembaca-pembaca blog saya terutamanya melibatkan wawasan yang cuba dibawakannya dalam mencetus kebangkitan Ummah. Beliau ada menyatakan bahawa sejarah Tamadun Islam perlu dipelajari. Beliau turut kongsikan 7 formula yang digunakan dalam membentuk peribadi Almarhum Ammar iaitu :- 

1. Mempunyai Wawasan Ummah – iaitu mempunyai ada semangat untuk membentuk Ummah. 
2. Nama Anak – Namanya mesti berkaitan yang mempunyai maksud yang baik. 
3. Adab sebagai keutamaan – Adab kepada Allah, Rasul, Ibu Ayah, Guru, Ulama dan sebagainya. 
4. Menguasai Al-Quran. 
5. Solat Tahjud mesti dilakukan sekurang-kurangnya seminggu sekali. 
6. Menguasai Ilmu Semasa – iaitu menguasai ilmu yang penting pada zaman itu. Contohnya pada Zaman Uthmaniyyah mempelajari ilmu peperangan. 
7. Menguasai Bahasa – iaitu menguasai pelbagai ilmu bahasa. Almarhum Ammar menguasai Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab dan Bahasa Turki. 

Beliau turut menyatakan bahawa formula tersebut juga releven kepada perempuan. Yang penting dalam sesuatu perjuangan itu mestilah mempunyai matlamat yang kukuh terutamanya melibatkan umat Islam. Semua pihak perlu membantu umat Islam di seluruh dunia. Selain itu, ilmu sejarah juga perlu dikuasai bagi melihat semula sejarah kehebatan bangsa kita yang sebenar. 

Perkongsian dari Ibu Almarhum Ammar 

Melalui perkongsian oleh Ibu Almarhum Ammar pula adalah lebih kepada perwatakan dan keperibadiaan Almarhum iaitu Almarhum merupakan seorang anak yang sangat luar biasa baiknya. Almarhum dikatakan sentiasa akur dengan setiap apa yang diberitahu oleh ibu bapanya dan takkan katakan ‘tidak’ untuk setiap arahan atau perintah. 

Almarhum juga dikatakan seorang pelajar yang pandai berenang, minat dengan alat music dan mempelajari alat music, suka membaca buku-buku yang bermanfaat, suka bersukan seperti takraw dan sebagainya lagi. Semasa kecil selama 12 tahun, Almarhum dibesarkan dalam suasana di kampung untuk mempelajari dan merasai kehidupan di kampung. 

Setakat ini saja yang saya mampu untuk kongsikan apa yang sempat saya catat semasa mendengar perkongsian dari kedua-dua ibu ayah Almarhum. Dan ianya cukup memberi kesan kepada saya dan pendengar yang lain. Dan sambutan terhadap program ini cukup luar biasa dan saya ucapkan TAHNIAH kepada pihak penganjur kerana anjuran satu program yang cukup bermanfaat. 

“Perlu ada keredhaan Allah dalam amalan kalian. Sekiranya Allah redha sedangkan seluruh dunia berpaling daripadamu, maka itu tidak penting. Jika Dia telah menerima amalanmu sedangkan seluruh makhluk menolak maka ia tidak memberi apa-apa kesan pun… Kerana itu lah sepatutnya hanya Redha Allah semata-mata yang menjadi tujuan utama di dalam khidmat dakwah ini”
-Almarhum Ahmad Ammar (1993-2013)- 








Sekian, Wallahua’lam… 

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH 
wan_hazem19@yahoo.com