Wednesday, August 31, 2011

MERDEKA, Anak Muda Sayang Malaysia...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Kemerdekaan merupakan satu kebebasan bagi sesebuah negara dari belenggu penjajah durjana. Kemerdekaan juga boleh diertikan sebagai pelepasan sesebuah negara dari terikat dengan mana-mana pihak. Kemerdekaan juga dirasai di negara kita yang bernama Malaysia.

Pelbagai lagi maksud yang boleh difokuskan sebagai membawa erti kemerdekaan untuk semua. Begitu juga dengan saya, banyak yang boleh diperkatakan oleh saya berkenaan dengan kemerdekaan kita yang ke-54 ini. Bagi saya sejujurnya, kemerdekaan yang sebenar-benarnya belum dapat digambarkan sepenuhnya di negara kita yang bernama Malaysia.

Ya, kita memang MERDEKA dari segi fizikalnya TETAPI adakah seluruh belia remaja kita MERDEKA? Pemikiran, sikap, akhlak dan adab anak bangsa kita hari ini MERDEKA? Saya sebenarnya suka mengaitkan antara MERDEKA dengan ANAK MUDA KITA kerana kita perlu sedar dengan hal semasa yang berlaku di Malaysia pada hari ini.

Kita dipaparkan dengan pelbagai skandal yang membabitkan rasuah, seks, pembunuhan, fitnah dan sebagainya lagi di pelbagai sumber media. Tetapi adakah ini yang kita hendak banggakan pada hari ini? Cuma saya dapat lihat perpaduan antara kaum yang menampakkan kita bahawa kita Merdeka !

Alif Ba Ta yang diperjuangkan dahulu, tulisan jawi yang diketengahkan dahulu kini semakin hilang dek agungkan bahasa luar. Sayangkan, apabila mengenangkan kembali semuanya ini. Tetapi inilah yang perlu kita peringati semula agar kita dapat terus meMerdekakan Malaysia di tanah air kita ini…



“ANAK MUDA SAYANG MALAYSIA”

Itulah ungkapan yang dilaungkan oleh segelintir anak muda yang ‘alert’ inginkan perubahan untuk masa depan Negara kita. Saya agak setuju dengan laungan ini kerana ianya melambangkan semangat anak muda yang semakin kuat untuk bersatu.

Melihat kepada perjuangan tokoh-tokoh wirawan Negara seperti Tok Kenali, Tok Janggut dan sebagainya lagi bertungkus-lumus menumpaskan penjajah dan pihak lawan semata-mata demi sayangnya mereka kepada tanah air dan anak bangsa kita. Tetapi hari ini, sedikit demi sedikit pemikiran anak bangsa kita diracuni dengan pelbagai jenis bentuk hiburan yang melalaikan.

Apa-apa pun, saya mengambil kesempatan ini dengan mengucapkan ‘SELAMAT HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA KE-54’ kepada seluruh Rakyat Malaysia… MERDEKA ! MERDEKA ! MERDEKA !

Akhir kata, semoga anda semua menjadikan KEMERDEKAAN ini sebagai langkah untuk terus mengejar cita-cita anda dan bukannya untuk berhibur sehingga terjerumus ke lembah maksiat yang sering kali menjadi kebimbangan para ibu ayah anda semua.

Sekian, Wallahua’lam…


Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com

Tuesday, August 30, 2011

Suasana Malam Raya di Alor Star...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Jom kita tengok beberapa keping gambar suasana Malam Raya di Alor Star yang sempat saya ambil semalam… =)














‘SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI’
untuk semua… =)


Ikhlas dari saya,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com


Monday, August 29, 2011

Selamat Hari Raya Aidilfitri Dari Saya...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Di kesempatan yang ada ini, saya dengan berbesar hatinya ingin mengucapkan ‘SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI – Maaf Zahir & Batin’ di atas kejayaan kita semua dalam melaksanakan amalan mulia iaitu berpuasa dan beramal ibadat sempena Bulan Ramadhan yang akan berlalu ini.



Saya tujukan ucapan saya ini kepada seluruh sanak-saudara saya di Kedah Darul Aman dan Kelantan Darul Naim (Mok Mas sekeluarga, Mok Moh sekeluarga, Mok Ti sekeluarga, Pok Ya sekeluarga, Mak Su Nie sekeluarga, Ayah Din sekeluarga, Ayah Sir sekeluarga dan seluruhnya sanak-saudara… =p)

Saya tujukan jugak ucapan ini kepada Keluarga Angkat saya yang pertama (Datin Zainab Jani sekeluarga) dan yang kedua (Puan Faridah Dat sekeluarga), adik-beradik angkat saya iaitu Abg Mohd Irfan Shah, Abg Azhar Mat Daut & Adik Nurhanudin…

Saya tujukan jugak ucapan ini kepada idola saya terutamanya YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, YB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Y.Bhg. Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ikon ‘Remaja’ saya iaitu Pengarah Muda, Syamsul Yusof.

Saya tujukan jugak ucapan saya ini kepada seluruh sahabat-sahabat saya terutamanya :-
• Mahasiswa/Mahasiswi Universiti Teknologi Malaysia (UTM IC & UTM JB)
• Pelajar-pelajar di Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyyah (PTSB)
• Pelajar-pelajar di Sekolah Menengah Teknik Langkawi (SMTL)
• Pelajar-pelajar di Maktab Mahmud Alor Star (MMAS)
• Pelajar-pelajar di Sekolah Rendah Islam Alor Star (SRIAS)
• Tadika ABIM
• Pelatih-pelatih PLKN Kem Beringin Langkawi
• Dan seluruhnya lagi.

Tak lupa jugak saya tujukan ucapan saya ini kepada seluruh pembaca setia blog saya serta blogger-blogger lain yang sentiasa menyokong saya dan sahabat-sahabat maya saya di Facebook.

“Di kesempatan ini, saya ingin menyusun 10 jari saya memohon kemaafan kepada seluruh sahabat-sahabat saya sekiranya ada perkara yang menyebabkan korang tersinggung, bersedih dan sebagainya lagi yang dilakukan saya secara sedar atau tidak sedar. Dan saya secara terbuka mengharapkan kemaafan dari anda semua. SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI sekali lagi saya ucapkan. =) ”

Saya harap anda semua bergembira selalu di Syawal yang akan menjelma ini. Dan jemputlah datang ke rumah saya di Alor Star, Kedah. Insyaallah…

Sekian, Wallahua’lam…


Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH & SEKELUARGA
wan_hazem19@yahoo.com

Sunday, August 28, 2011

Tahniah : Gabenor Bank Negara Terima Gred 'A'...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Saya tertarik membaca maklumat ini berkenaan dengan seorang Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang cukup disegani di seluruh dunia. Walaupun seorang perempuan, perkhidmatan beliau tetap diiktiraf dunia apabila kebijaksanaan beliau bidang kewangan ini.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz sekali lagi disenaraikan sebagai Ketua Bank Pusat Terbaik Dunia 2011 dalam kaji selidik dijalankan majalah kewangan Global Finance. Beliau menerima penarafan gred A oleh majalah kewangan itu bersama-sama Amando Tetangco dari Filipina, Fai-Nan Perng (Taiwan), Glenn Stevens (Australia), Riad Salameh (Lebanon) dan Stanley Fischer (Israel).

Beliau juga menerima penarafan itu pada tahun lalu dan 2009. Kecuali pada 2008, beliau menerima gred A secara berturut-turut sebelum ini sejak 2003. Sementara itu, Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) Ben S. Bernanke menerima gred ‘C’ dalam penilaian tahunan dijalankan Global Finance sejak 1994 itu. Gred Bernanke tidak berubah seperti tahun lalu, manakala Presiden European Central Bank (ECB), Jean-Claude Trichet yang akan melepaskan jawatan diberikan gred ‘B’ selepas pencapaian ‘A’ pada tahun lalu.

Gabenor Bank of Japan (BoJ), Masaaki Shirakawa turut menerima gred ‘C’ manakala Mark Carney dari Kanada dan Mervyn King dari United Kingdom, masing-masing diberikan gred ‘B’.



INFO MENARIK : Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz
Gabenor ketujuh Bank Negara yang dilantik pada Mei 2000.
• Memulakan kerjaya sebagai Penyelidik ekonomi di Pusat Penyelidikan dan Pembelajaran Bank Pusat Asia Tenggara pada tahun 1979 hingga 1984.
• Dilantik sebagai Ketua Jabatan Ekonomi Bank Negara Malaysia pada 1994, dan dilantik sebagai Pemangku Gabenor Bank Negara Malaysia 1 September 1998 selepas Datuk Ahmad Mohd Don mengundur diri.
• Pada November 2008, beliau menerima kepercayaan tinggi bank pusat antarabangsa dipilih sebagai ahli petugas khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengkaji perubahan sistem pasaran global
• Tokoh Maal Hijrah 1432H.

Pengiktirafan ini dapat dijadikan kekuatan untuk kita semua sebagai Umat Islam dalam terus mencapai kejayaan yang seterusnya. Dengan pengiktirafan ini juga, dapat dijadikan IKON kepada anak muda untuk terus melangkah ke hadapan menggenggam kejayaan. Insyaallah…

Sumber : Berita Harian

Sekian, Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com


Friday, August 26, 2011

Naib Canselor UTM Terima Anugerah Kejuruteraan Asean...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

TAHNIAH saya ucapkan kepada Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Dr. Zaini Ujang di atas penerimaan Anugerah Zamalah Kehormat Persekutuan Pertubuhan Kejuruteraan Asean (AFEO) kerana sumbangan cemerlang beliau terhadap profesion kejuruteraan.



Beliau menerima anugerah itu daripada setiausaha agung AFFEO Datuk Paduka Prof Dr Keizrul Abdullah pada majlis khas di Kampus Antarabangsa UTM di sini.

"Saya berasa amat bertuah kerana dikurniakan Zamalah Kehormat ini. Pengiktirafan ini bukan saja penghormatan untuk diri saya, tetapi juga terhadap UTM yang merupakan universiti penyelidikan terulung di Malaysia dalam bidang kejuruteraan, sains dan teknologi," kata Prof. Datuk Dr. Zaini semasa berucap pada majlis itu.

Prof. Datuk Dr. Zaini, yang juga seorang saintis dan jurutera alam sekitar profesional, banyak terlibat dalam penyelidikan bersepadu mengenai ekologi air dan sistem kejuruteraan bagi mengawal pencemaran, khususnya pemulihan sungai di negara membangun.

Zamalah Kehormat AFEO dianugerahkan kepada anggota korporat AFEO terkemuka dan tokoh tersohor yang memberi sumbangan cemerlang terhadap profesion kejuruteraan, institusi dan negara.

Ia adalah yang kedua terbesar selepas Zamalah Kehormat Terunggul, yang penerimanya sebelum ini termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

AFEO adalah sebuah badan bukan kerajaan yang dianggotai institusi dan pertubuhan kejuruteraan dari negara anggota Asean yang bertujuan memupuk muhibah dan persefahaman serta meningkatkan dan memperkukuhkan standard asas Asean bagi profesion kejuruteraan.

Sumber : Bernama

P/s : Dapat dijadikan IKON kepada seluruh mahasiswa dan mahasiswi serta anak muda Malaysia… =)

Sekian, Wallahua’lam…


Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com

Selamat Hari Wanita 2011 - Wanita Penjalin Perpaduan...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

‘WANITA PENJALIN PERPADUAN’ itulah tema yang diangkat bagi sambutan Hari Wanita 2011 pada kali ini. ‘Perjalin Perpaduan’ cukup kuat bagi memberikan maksud wanita yang tersendiri tetapi turut membawa amanah dan tanggungjawab yang lebih besar untuk direalisasikan.



Wanita hari ini dianggap setaraf dengan lelaki dalam pelbagai bidang tidak kira bidang perguruan mahupun kejuruteraan. Semangat kerajinan dan kematangan berfikir merupakan antara kelebihan yang terdapat oleh para wanita yang dianugerahkan oleh Allah SWT.

Pelbagai kejayaan yang dapat dijadikan contoh yang ditonjolkan oleh wanita Malaysia hari ini yang dapat dibanggakan oleh kita semua sebagai rakyat Malaysia. Antaranya,
• Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz - Gabenor Wanita Pertama Malaysia
• Allahyarhamah Tun Dr. Fatimah Hashim – Jemaah Menteri Wanita Pertama Malaysia
• Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail – Ketua Pembangkang Wanita Pertama Malaysia
• Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali – Doktor Wanita Pertama Malaysia
• Datuk Nicol Ann David - Pemain no.1 Dunia sukan skuasy

Dalam Islam sendiri kita dapat lihat pelbagai tokoh yang diangkat dalam perjuangan Islam. Antaranya, Sumayyah Binti Khayyat yang nekad memperjuangkan Islam walaupun diberi pelbagai dugaan dan cabaran yang kuat untuk meninggalkan Islam.

Di sini juga, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan "SELAMAT HARI WANITA 2011 – WANITA PENJALIN PERPADUAN" kepada :-
• Ibu saya – Pn. Wan Seridah Bt Wan Ali
• Kakak saya – Ustazah Wan Yusrina Amalia
• Adik Perempuan saya – Waheeda Amalin
• Ibu-ibu angkat saya – Datin Zainab Jani & Pn. Faridah Dat
• Mak-mak saudara saya & sepupu-sepupu wanita saya
• Guru-guru wanita & Pensyarah-pensyarah Wanita

Saya sayang anda semua ! =)

Saya juga ingin mengucapkan “SELAMAT HARI WANITA 2011 – WANITA PENJALIN PERPADUAN” kepada :-
• Seluruh Mahasiswi UTM dan IPT seluruh Malaysia
• Pembaca-pembaca blog wanita
• Seluruh Kaum Hawa di seluruh Malaysia & Dunia.

Semoga anda diberikan kekuatan dalam menjaga maruah diri dan diberikan keimanan yang kuat bagi mengekalkan ciri-ciri seorang Muslimah yang dikagumi oleh kedua ibu ayah anda.

Ingatlah, Wanita mudah masuk Syurga tetapi Wanita juga antara teramai di Neraka. Dan jagalah aurat dan kesucian anda sebagai kekuatan anda dalam memartabatkan Islam, Wanita Islam dan kewajipan kepada diri anda selaku hamba Allah di muka bumi ini.

‘Wanita telah dimuliakan oleh Rasulullah sebanyak tiga kali iaitu insan yang perlu kita taat dan kali ke empat barulah kaum adam. Wanita juga dimuliakan dengan kata-kata “Syurga Di Bawah Telapak Kaki Ibu”. Selain itu, title syahid juga telah diberikan kepada ibu yang meninggal ketika bersalin. Tanpa wanita atau ibu, siapalah kita?’

Sekian… Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com

Monday, August 22, 2011

Budi Bahasa Budaya Kita...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Hari ini saya ingin berkongsi sedikit kisah duka saya pada minggu ini berkenaan dengan
‘BUDI BAHASA BUDAYA KITA’. Saya kongsikan perkara ini sebagai satu luahan hati saya terhadap sikap segelintir manusia yang tidak menitikberatkan sifat mahmudah ini.

Pertamanya Jumaat yang lalu, saya dan abang saya telah dituduh melanggar kereta seorang Pak Cik sedangkan perkara yang sebenar adalah disebaliknya. Cukup lucu ! Kenapa saya berkata cukup lucu? Dalam sejarah hidup saya memerhati dunia ini, pertama kalinya saya sebagai pembonceng melanggar kereta MyVI dari belakang (maksudnya ‘buntut’ motosikal saya melanggar ‘bumper depan’ MyVI). Anehkan? Perkara yang sebenarnya adalah MyVI tersebut menghimpit kami dan melanggar belakang motosikal saya.


‘Hang buat apa kat kereta aku?’

Itulah tengkingan seorang Pak Cik Tua terhadap saya dan abang saya. Dengan tiada ADAB dan BUDI BAHASA, saya dan abang saya juga dituduh melanggar keretanya sedangkan perkara yang sebenar adalah disebaliknya.

Saya dan abang saya iaitu seorang ‘USTAZ’ membalas dengan senyuman dan menyatakan pakcik tersebut yang salah. Pakcik tersebut masih menyatakan kami yang bersalah sehinggalah saya dan abang saya berkeras menyatakan Pakcik tersebut yang salah. Akhirnya, KEBENARAN berpihak kepada kami ! Alhamdulillah !

Keduanya pagi tadi saya menyelesaikan pemeriksaan kesihatan atau ‘Medical check-up’ di Klinik Bandaraya Alor Star saya telah di’tinggikan suara’ oleh seorang penjaga kaunter semasa menyelesaikan X-RAY. Saya turut membalas dengan senyuman tanpa sebarang balasan kepadanya. Kerana saya berfikir saya perlu hormati seorang yang lebih tua !

Saya sebenarnya sedikit terkilan dengan perilaku golongan seperti yang tiada langsung sikap untuk mementingkan dan menyahut seruan kerajaan dengan mengangkat martabat
‘BUDI BAHASA BUDAYA KITA’.

Saya seringkali melihat perkara seperti ini berlaku di mana-mana sahaja. Yang muda ditengking oleh yang tua ! Yang remaja diherdik oleh yang berumur ! Jika kita belajar di sekolah, kita akan diajar untuk menghormati orang yang lebih tua. Juga diajar di Tadika ! Tapi bila anak muda ini melaksanakan atau menghormati mereka, kenapa pula mereka tidak menghormati kita?

Satu persoalan yang cukup membuatkan saya ingin mengetahui jawapannya ! Seelok-eloknya kedua-dua pihak perlulah sama-sama memuhasabahkan diri supaya golongan seperti ini tidak dipandang serong oleh remaja seperti saya ! Tidak dipandang ‘HINA’ oleh anak muda seperti saya !

Apa-apa pun, saya masih berfikiran waras untuk menyatakan bahawa semua pihak haruslah berganding bahu dan bersepakat dalam menyatakan dan melaksanakan
‘BUDI BAHASA BUDAYA KITA’. Jika semua masing-masing berperanan sedemikian, Insyaallah…semua pihak akan sentiasa tersenyum dan menghormati antara satu sama lain. Insyaallah…


Akhir kata, saya harap luahan kali ini dapat dijadikan iktibar atau teladan sesama kita untuk memuhasabahkan diri agar menjadi orang yang lebih menghormati orang lain. Insyaallah…

Sekian, Wallahua’lam…



Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com

Sunday, August 21, 2011

Jemputlah Ke Bazar Ramadhan Saya Di Alor Star...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

JEMPUTLAH SINGGAH DAN DATANG KE BAZAR RAMADHAN SAYA…


Saya dengan berbesar hati ingin menjemput semua sahabat-sahabat saya, warga Blogger dan sesiapa sahaja yang mengenali diri saya untuk sama-sama datang dan memeriahkan Bazar Ramadhan saya di No.30 Tapak Bazar Ramadhan Alor Star (Depan CIMB Bank Pekan Rabu).

Insyaallah…saya menyediakan pelbagai jenis tudung bawal, tudung kerawang, tudung bidang 60’, selendang, songket, pelikat, batik dan sebagainya lagi. Kepada mereka yang bukan kelahiran Kedah, korang semua boleh dapatkan jugak Baju Kedah untuk Ibu dan nenek korang dengan harga RM10.00 sahaja.

Apa yang menariknya di Bazar saya ini, hanya saya dan sorang lagi peniaga sahaja yang menyediakan koleksi dan pelbagai jenis tudung yang berasaskan Kain Bawal Asli dan Kelantan. Korang juga boleh dapatkan pelbagai jenis Telekong Sembahyang Wanita dengan pelbagai jenis rekaan dari buatan Malaysia dan Indonesia.










































Apa-apa yang penting singgahlah sebentar ke Bazar saya… Insyaallah…Jumpa anda semua di sana… NO.30 TAPAK BAZAR RAMADHAN ALOR STAR (DEPAN CIMB BANK PEKAN RABU)… Insyaallah, diskaun akan diberikan… jangan risau…hehehehe =)

Sekian, Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com

Friday, August 19, 2011

Tuk Janggut, Pahlawan Jihad...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Sempena bulan ramadhan yang penuh mulia ini ditambah pula ianya seiring dengan bulan kemerdekaan kita di Negara tercinta bernama Malaysia, ingin saya kongsikan sedikit maklumat yang tak seberapa mengenai seorang tokoh Pejuang Kemerdekaan iaitu Tuk Janggut. Jom kita hayati bersama…

Nama sebenar Tuk Janggut ialah Haji Mat Hassan bin Panglima Munas. Beliau mendapat pendidikan di Mekah dan mahir bersilat. Selepas Perjanjian Bangkok 1909, British mengambil alih pemerintahan Kelantan daripada Siam dan mula membawa pelbagai perubahan khususnya dari segi pentadbiran.

Perubahan yang diperkenalkan telah menyentuh kedudukan dan keistimewaan tradisional di negeri Kelantan. Antara yang paling sensitif ialah mengenai pengenaan cukai kepala sebanyak RM1.00 seorang setahun, pokok buah-buahn sebanyak 3 sen setahun, kelapa 3 sen setandan dan sireh 5 sen sejunjung.

Pada 29 April 1915, pentadbiran Jeram, Pasir Puteh, Kelantan telah diambil alih oleh Encik Latiff iaitu seorang pegawai takbir British yang berasal daripada luar Kelantan, menggantikan Engku Besar. Pertelingkahan mengenai cukai dan pengurusan pengutipan cukai yang terlalu lambat membuatkan Haji Mat Hassan (Tuk Janggut) enggan membayar cukai. Encik Latiff mengarahkan satu pasukan polis yang diketuai oleh Sarjan Sulaiman (Che Wan) bertolak ke Kampung Tok Akib menemui Tuk Janggut pada 29 April 1915.

Dalam satu pergelutan yang berlaku, Sarjan Sulaiman telah terbunuh, Tuk Janggut telah menghimpunkan orang-orangnya menuju ke Pasir Puteh. Encik Latiff pula telah melarikan diri ke Kota Bharu. Bantuan daripada Singapura dan Negeri Melayu Bersekutu dikejarkan ke Pasir Puteh pada 6 Mei 1915. Satu pertempuran berlaku pada 25 Mei 1915 di Kampung Merbuk dan Kampung Pupuh.

Kebangkitan Tuk Janggut menyebabkan Sultan Kelantan yang memerintah pada masa itu berasa terancam dan mengganggap Tuk Janggut sebagai penderhaka dan dalam pertempuran di Kampung Pupuh, Tuk Janggut telah dibunuh. Mayat Tuk Janggut dibawa ke Kota Bharu dalam kereta lembu yang memakan masa dalam satu hari. Mayat beliau digantung beberapa hari di depan istana, di Padang Bank (Padang Merdeka) sebelum dikebumikan di Pasir Pekan.

Sumber : MalaysiaMerdeka

Sekian, Wallahua’lam…


Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com


Karipap-Karipap Cinta Cukup BEST...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Pagi ini saya ingin kongsikan sedikit sebanyak berkenaan dengan novel kesukaan saya iaitu ‘Karipap-Karipap Cinta’ karya nukilan Saudara Nazri M. Annuar terbitan PTS Fortuna Sdn Bhd. Teringat PTS, saya ingin merakamkan sekali lagi kepada PTS Sdn. Bhd. kerana sudi menaja program yang dianjurkan oleh saya (berbentuk kemasyarakatan) iaitu University Social Responsibility UTM di Kg. Krubong Tengah, Melaka (USR-YPM-UTM@Tangga Batu, Melaka 2011). TQ so much !



Berbalik kepada novel komedi yang bertajuk ‘Karipap-Karipap Cinta’ ini, dapat saya rasakan sedikit kelainan dengan plot-plot novel yang dibaca sebelum-sebelum ini. Serta watak dan perwatakannya cukup lain dari yang lain. Mungkin disebabkan jiwa saya ini masih remaja? Perwatakan watak-watak utama seperti Ali dan Sarah masih boleh dianggap sebaya.

Intipati dan mesej yang cuba disampaikan dalam novel ini cukup baik dan ‘lekat’ di jiwa. Bahasanya yang santai dan ‘cool’ membuatkan saya membaca, memahami dan menghayati satu persatu helaian novel ini sehingga ke muka surat terakhir.

Watak Ali yang ditonjolkan sungguh santai dan berjiwa muda. Perwatakannya juga digerakkan mengikut zaman sekarang dan seakan menjadi dengan lagak mudanya itu. Niatnya untuk mengejar gadis yang diimpikannya itu, dikejarnya dengan cukup terancang dan kadang-kalanya juga agak keterlaluan tanpa berfikir panjang.

Watak Sarah pula cukup baik dan menjaga batas pergaulannya dan dia juga merupakan seorang graduan Universiti Al-Azhar. Perwatakannya yang lembut dan berani membuatkan ‘Sarah’ ini seperti gadis yang diimpi oleh saya sendiri iaitu beragama, cantik, berani dan sebagainya lagi la. Siapa yang tak nak gadis yang cukup dengan agamanya? Dengan kecantikannya? Betul kan? Hehehehe…

Novel ini saya anggap cukup ramuannya untuk menjadi penulisannya sesedap karipap yang digambarkan. Jalan ceritanya juga cukup mengkhayalkan kita seketika di alam fantasi sebuah kehidupan yang penuh dengan babak ‘kebetulan’.

Novel ini juga telah diangkat menjadi sebuah filem yang akan ditayangkan pada hari raya nanti. Dan ianya dilakonkan oleh Gambit Saifullah dan Melia Aimellia dan diarahkan oleh pengarah berpengalaman, Hafsham.



Tetapi saya sedikit kurang bersetuju dengan pemilihan (perwatakan) Sarah yang dilakonkan oleh Melia yang dilihat kurang ‘kena’ dengan perwatakan sebenar Sarah dalam novel ini. Pertamanya, Sarah adalah seorang graduan Universiti Al-Azhar perlulah tampil dengan imej penuh sopan dan menutup aurat sepertimana jelas ditunjukkan di dalam penceritaan novel ini. Manakala watak Ali pula dilihat cukup ‘kena’ dengan Gambit Saifullah.

Saya tak mahu banyak komen mengenai filem ‘Karipap-Karipap Cinta’ ini kerana saya sendiri masih belum menyaksikan filem ini lagi. Dan sama-samalah kita nantikannya di pawagam pada 1 Syawal nanti. Insyaallah. Dan ‘GOODLUCK’ untuk semua yang terlibat dalam pembikinan filem ini.

Kepada penulis novel ini, Saudara Nazri M.Annuar, penulisan saudara cukup santai dan ‘cool’. Dan saya harap saudara terus berkarya dan saya sedia nantikan novel anda yang seterusnya. Insyaallah… Kepada sahabat-sahabat lain pula, saya cadangkan agar korang semua baca novel ‘KARIPAP-KARIPAP CINTA’ ini. Tentu anda semua akan tersenyum seketika. Insyaallah…

Sebelum itu, saya ingin kongsikan Resipi Karipap-Karipap Cinta iaitu :
• 3 Ulas rasa suka
• 1 Botol hati gembira
• 1 Biji rendah diri (saiz besar)
• 2 Cawan tolak ansur
• 5 Keping kehormatan
• Secubit rasa rindu
• 3 Batang tanggungjawab, dipotong halus
• 3 Bekas cita-cita
• 10 Guni kejujuran (diayak untuk membuang kata dusta)
Ramuan diadun dengan ilmu dan akal dan masukkan dalam kuali persahabatan, tunggu hingga masak. Setelah masak, hidangkan bersama yang tersayang…. =)


Sekian, Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com


Sunday, August 14, 2011

Sehabis Baik...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

POM POM POM POM….
POM POM POM POM….

Pagi ini, saya ingin berkongsi satu lirik lagu yang cukup menarik iaitu ‘Sehabis Baik’ nyanyian Ana Raffali. Lirik lagu ini cukup kuat dengan berpuitis. Saya sendiri tertarik dengan lagu ini tatkala mendengarnya ketika menonton di sebalik tabir filem ‘Karipap-Karipap Cinta’.



Lirik lagu ini juga sesuai dengan perjalanan diri saya sebagai seorang belia dan anda semua dapat menilai sendiri lirik lagu ini. Dan saya percaya jika anda memahami dan menghayati lirik lagu ini, tentu anda akan berfikir sejenak dan anda sendiri akan tersenyum lalu mengangguk-anggukkannya. Khas buat pembaca blog saya, terimalah…

SEHABIS BAIK – Ana Raffali

Ku mulakan hariku dengan segunung harapan
Panjatkan pohon pada yang Maha Esa
Kelak langkah kakiku kan ketemukan aku
Dengan jawapan yang lebih nyata

Entah ini harinya
Ku kan berjumpa dengannya
Jadi ku harus berusaha sehabis baik
Lalu dia kan lihat
Semangatku makin ligat
Hingga buruk jadi cantik

Pom pom pom pom (pom pom pom pom)
Pom pom pom pom (pom pom pom pom)
Pom pom pom pom
Pom pom
Pom pom pom

Langkah kaki (langkah kaki)
Gerak hati (gerak hati)
Terus kejar bayang yang diimpi

Biarpun sering keliru
Ku tahu ke mana harus ku tuju

Ku lengkapkan diriku dengan seribu pesanan
Namun tak mampu untuk ku ingat semua
Kelak langkah kakiku kan ketemukan aku
Dengan peringatan istimewa

Harap ini masanya
Untuk ku buktikan semua
Bahawa ku telah berusaha sehabis baik
Mesti aku kan dapat
Semangatku jadi ubat
Pada jiwa yang tercarik

Pom pom pom pom (pom pom pom pom)
Pom pom pom pom (pom pom pom pom)
Pom pom pom pom
Pom pom
Pom pom pom

Langkah kaki(langkah kaki)
Gerak hati (gerak hati)
Terus kejar bayang yang diimpi
Langkah kaki (langkah kaki)
Gerak hati (gerak hati)
Terus kejar bayang yang diimpi
Terus kejar bayang yang diimpi
Dengan dia oh sukanya hati!

P/s : Bercinta…bercinta jugak… Cita-cita dan impian jangan diketepikan… Yang penting selalulah mengingati Allah Taala… =)


Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com

Saturday, August 13, 2011

Tentang Seorang Wanita...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Pagi yang mulia ini, saya ingin kongsikan sedikit maklumat atau informasi mengenai ‘Tentang Seorang Wanita’ sebagai tanggungjawab saya untuk sama-sama nasihat-menasihati sesama kita semua terutamanya kaum hawa.



TENTANG SEORANG WANITA…

1. Seorang wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 orang wali.
2. Seorang wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 lelaki soleh.
3. Seorang wanita yang jahat adalah lebih buruk daripada 1,000 lelaki yang jahat.
4. 2 rakaat solat dari wanita yang hamil adalah lebih baik daripada 80 rakaat solat wanita yang tidak hamil.
5. Wanita yang memberi minum susu kepada anaknya daripada badannya (susu badan) akan dapat satu pahala daripada tiap-tiap titik susu yang diberikannya.
6. Wanita yang melayan dengan baik suami yang pulang ke rumah di dalam keadaan letih akan mendapat pahala jihad.
7. Wanita yang habiskan malamnya dengan tidur yang tidak selesa kerana menjaga anaknya yang sakit akan mendapat pahala seperti = membebaskan 20 orang hamba.
8. Wanita yang melihat suaminya dengan kasih sayang dan suami yang melihat isterinya dengan kasih sayang akan dipandang Allah dengan penuh rahmat.
9. Wanita yang menyebabkan suaminya keluar dan berjuang ke jalan Allah dan kemudian menjaga adab rumahtangganya akan masuk syurga 500 tahun lebih awal daripada suaminya, akan menjadi ketua 70,000 malaikat dan bidadari dan wanita itu akan dimandikan di dalam syurga dan menunggu suaminya dengan menunggang kuda yang dibuat daripada yakut.
10. Wanita yang tidak cukup tidur pada malam hari kerana menjaga anak yang sakit akan diampunkan oleh Allah akan seluruh dosanya dan bila dia hiburkan hati anaknya, Allah memberi 12 tahun pahala ibadat.
11. Wanita yang memerah susu binatang dengan ‘bismillah’ akan didoakan oleh binatang itu dengan doa keberkatan.
12. Wanita yang menguli tepung dengan ‘bismillah’, Allah akan berkatkan rezekinya.
13. Wanita yang menyapu lantai dengan berzikir akan mendapat pahala seperti menyapu lantai di baitullah.
14. Wanita yang menjaga solat, puasa dan taat pada suami, Allah akan mengizinkannya untuk memasuki syurga dari mana-mana pintu yang dia suka.
15. Wanita yang hamil akan dapat pahala berpuasa pada siang hari.
16. Wanita yang hamil akan dapat pahala beribadat pada malam hari.
17. Wanita yang bersalin akan mendapat pahala 70 tahun solat dan puasa dan setiap kesakitan pada satu uratnya, Allah mengurniakan satu pahala haji.
18. Sekiranya wanita mati dalam masa 40 hari selepas bersalin, dia akan dikira sebagai mati syahid.
19. Jika wanita melayan suami tanpa khianat akan mendapat pahala 12 tahun solat.
20. Jika wanita menyusui anaknya sampai cukup tempoh (2 ½ tahun), maka malaikat-malaikat di langit akan khabarkan berita bahawa syurga wajib baginya.
21. Jika wanita memberi susu badannya kepada anaknya yang menangis, Allah akan memberi pahala satu tahun solat dan puasa.
22. Jika wanita memicit suami tanpa disuruh akan mendapat pahala 7 tola emas dan jika wanita memicit suami bila disuruh akan mendapat pahala tola perak.
23. Wanita yang meninggal dunia dengan keredhaan suaminya akan memasuki syurga.
24. Jika suami mengajarkan isterinya satu masalah akan mendapat pahala 80 tahun ibadat.
25. Semua orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah di akhirat, tetapi Allah akan datang sendiri kepada wanita yang memberati auratnya iaitu memakai purdah di dunia ini dengan istiqamah.

P/s : Saya harap semua remaja terutamanya kaum hawa, jadikanlah intipati informasi ini sebagai dakwah kita semua secara langsung demi memastikan kaum hawa di Malaysia ini mampu berubah ke tahap muslimah yang dirahmati Allah… Insyaallah…

Sekian, Wallahua’lam…


Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com


Friday, August 12, 2011

Jom Tambahkan Follower...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…



‘JOM TAMBAH FOLLOWER’ itulah penulisan kali bagi menyatakan sokongan terhadap satu segmen khas bagi blogger-blogger seluruh Malaysia yang dianjurkan oleh sahabat saya, Shahril Zaabar @ Mr.Aril.

Diharapkan dengan penyertaan saya buat pertama kalinya dalam segmen-segmen seperti ini, saya harap perkongsian pendapat dan pandangan kita semua dapat kita berbincang dan seterusnya mencari penyelesaian. Insyaallah…

Dan diharapkan juga, agar silaturrahim antara kita semua terus terjalin bagi sama-sama kita bergandingan dalam mencapai sebuah Negara maju dan berkebajikan.

Dari Ali bin Abi Thalib r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
" Sesiapa senang untuk dipanjangkan umurnya dan diluaskan rezekinya serta dihindarkan dari kematian yang buruk maka hendaklah ia bertaqwa kepada Allah dan menyambung silaturahim."
(riwayat Imam Abdullah bin Ahmad, al-Bazzar dan at-Thabrani)

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
" Belajarlah tentang nasab keturunan kamu sehingga kamu dapat menyambung silaturahim. Kerana sesungguhnya silaturahim menjadi sebab (timbulnya)kecintaan terhadap keluarga (kerabat dekat), banyaknya harta dan bertambahnya usia."
(riwayat Imam Ahmad, Tirmidzi dan al-Hakim)

Rasululah s.a.w. bersabda:
" Tidak masuk syurga pemutus silaturahim."
(riwayat Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Tirmidzi dari Zubair bin Muth'sim r.a.)

Insyaallah… Sekian, Wallahua’lam…


Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com

9 Jenis Anak Syaitan...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…



Waktu bersahur ni, sesuai untuk saya berkongsi sedikit maklumat mengenai ‘9 Jenis Anak Syaitan’ untuk semua pembaca blog saya sebagai peringatan buat kita semua. Perkongsian ini sebagai tanggungjawab kita untuk sama-sama mengetahuinya. =)

9 JENIS ANAK SYAITAN

1. ZALITUUN
Duduk di pasar/kedai supaya manusia hilang sifat jimat cermat. Menggoda supaya manusia berbelanja lebih dan membeli barang-barang yang tidak perlu.

2. WATHIIN
Pergi kepada orang yang mendapat musibah supaya bersangka buruk terhadap Allah.

3. A’AWAN
Menghasut sultan/raja/pemerintah supaya tidak mendekati rakyat. Seronok dengan kedudukan/kekayaan hingga terabai kebajikan rakyat dan tidak mahu mendengar nasihat para ulama’.

4. HAFFAF
Berkawan baik dengan kaki botol. Suka menghampiri orang yang berada di tempat-tempat maksiat (contoh : disko, kelab malam dan tempat yang ada minuman keras).

5. MURRAH
Merosakkan dan melalaikan ahli dan orang yang sukakan muzik sehingga lupa kepada Allah. Mereka ini tenggelam dalam keseronokan dan glamour.

6. MASUUD
Duduk di bibir mulut manusia supaya melahirkan fitnah, gossip, umpatan dan apa sahaja penyakit yang mula dari kata-kata mulut.

7. DAASIM
Duduk di pintu rumah kita. Jika tidak memberi salam ketika masuk ke rumah, Daasim akan bertindak agar berlaku keruntuhan rumah tangga (suami isteri bercerai-berai, suami bertindak ganas, memukul isteri, isteri hilang pertimbangan menuntut cerai, anak-anak didera dan pelbagai bentuk kemusnahan rumah tangga lagi).

8. WALAHAAN
Menimbulkan rasa was-was dalam diri manusia khususnya ketika berwudhuk dan solat dan menjejaskan ibadat-ibadat kita yang lain.

9. LAKHUUS
Merupakan sahabat orang Majusi yang menyembah api/matahari.

p/s : Berdoalah selalu agar kita terhindar dari aktiviti-aktiviti yang disukai oleh anak-anak syaitan ini. Insyaallah…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com


Tuesday, August 9, 2011

Antara Ketawa dan Duka...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…



‘Antara Ketawa dan Duka’ itulah yang ingin saya kongsikan bagi penulisan kali ini. Kedua-dua perasaan ini cukup sebati dengan kehidupan yang bernama manusia. Manusia yang menentukan sendiri sama ada memilih untuk ketawa atau pun berduka. Menjadi lumrah untuk kita semua dalam mendepani apa jua perkara yang mendatang.

Kita ketawa bermakna kita gembira. Apabila berduka bermakna kita sedang diulit kesusahan dan kesedihan. Demikianlah dua perasaan yang Allah kurniakan kepada manusia untuk menunjukkan emosi mereka. Dua emosi ini sinonim dengan manusia sehinggakan jika mereka tidak punya emosi ini bermakna mereka bukanlah manusia yang normal !

Gembira dan sedih adalah naluri semula jadi manusia. Umumnya kita memang digalakkan hidup gembira, bahagia dan tenang selalu. Namun gembira juga harus berpada-pada. Bergelak ketawa juga tidak salah tetapi biarlah ada batasannya. Jangan terlalu banyak ketawa sehingga melalaikan diri. Sebaik-baiknya ingatilah juga kesilapan lalu dan kesali segala kemungkaran yang pernah dilakukan sama ada secara sengaja atau tidak.

Allah berfirman yang bermaksud :
“Maka hendaklah mereka tertawa sedikit dan menangis dengan banyak.”
(At-Taubah : 82)

Dalam suatu kisah yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Abu Hurairah, diceritakan bahawa pada suatu ketika, Rasulullah berjalan di hadapan sekumpulan orang yang sedang ketawa, lalu baginda bersabda yang bermaksud :
“Demi Tuhan yang jiwaku ini berada dalam genggaman-Nya. Jika kamu semua tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa.”

Malah Sayidina Umar al-Khattab juga pernah mengingatkan manusia, seseorang yang banyak ketawa nescaya akan kurang rasa takutnya kepada Allah. Apabila rasa takutnya sudah berkurangan, maka akan kuranglah taatnya kepada Allah.

Mudah-mudahan kita semua tidak tergolong dalam kalangan mereka yang hilang takut kepada Allah !

Sekian, Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com


AWAS Penyakit Leptospirosis...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

AWAS PENYAKIT LEPTOSPIROSIS ! Itulah yang dapat saya jadikan peringatan untuk kita semua terutamanya pembaca blog saya bagi mengetahui lebih lanjut berkenaan dengan penyakit ‘LEPTOSPIROSIS’. Penyakit Leptospirosis adalah disebabkan oleh bacteria Leptospira.

PUNCA JANGKITAN
Bakteria Leptospira ini boleh terdapat di dalam air kencing haiwan mamalia yang terjangkit seperti :
• Tikus
• Kucing
• Anjing
• Lembu
• Kambing
• Babi
• Kuda
• Haiwan-haiwan lain



CARA JANGKITAN
Manusia boleh dijangkiti sekiranya terdedah / kontrak secara langsung dengan air / air banjir yang tercemar dengan air kencing haiwan yang terjangkit. Manusia juga boleh dijangkiti jika mengambil makanan atau minuman yang tercemar dengan air kencing haiwan yang terjangkit. Tempoh inkubasi adalah selama 5 – 14 hari.

TANDA – TANDA
Pesakit boleh mempunyai pelbagai gejala jika dijangkiti bacteria Leptospira seperti :
• Demam
• Sakit Kepala
• Loya, Muntah
• Sakit Otot
• Kemerahan Pada Mata
• Ruam Kulit
• Sakit Pada Abdomen
• Batuk
• Sakit Pada Betis
• Jaundis (Mata Kekuningan)
• Air Kencing Berwarna Kehitaman (Seperti Air The ‘O’ Pekat)

PENCEGAHAN
• Menjaga kebersihan persekitaran rumah
• Tutup dan tudung makanan supaya dihindari dari tikus
• Mencuci tangan dengan air dan sabun sebelum menyediakan makanan, sebelum makan dan selepas ke tandas
• Mencuci tangan, kaki serta bahagian anggota lain dengan sabun selepas bekerja di kebun, membersih sampah dan kawasan rumah selepas banjir
• Cuci dan balut sebarang luka yang terdapat di anggota badan dengan sempurna
• Jangan bermain air dan lopak terutamanya selepas banjir
• Segera mendapatkan rawatan jika mempunyai tanda-tanda

Saya harap agar anda semua mengetahui sedikit sebanyak mengenai penyakit LEPTOSPIROSIS ini dan mencegahnya mulai sekarang. Jadikan informasi ini sebagai ilmu kita mengenai penyakit ini di Bulan Ramadhan yang mulia ini. Insyaallah…

Sumber : Jabatan Kesihatan Negeri Kedah Darul Aman

Sekian, Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com

Thursday, August 4, 2011

Salam Ramadhan Al-Mubarak...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Sebelum terlambat, saya, Wan Muhammad Hazem bin Mohd Yusoh dan Keluarga ingin mengucapkan “SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK” kepada seluruh kenalan saya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM IC & UTM JB), Sekolah Menengah Teknik Langkawi, Maahad Mahmud Alor Star, Sekolah Rendah Islam Alor Star dan sebagainya.



Dengan kesempatan Ramadhan kali ini, diharapkan ianya akan membawa sinar yang baik untuk kita semua bagi mendekatkan diri pada-Nya. Insyaallah… Ramadhan kali ini cukup berlainan kerana sudah 3 tahun menyambutnya sebagai seorang perantauan di Kuala Lumpur. Hehehe…

Apa yang menariknya kali ini adalah saya berpeluang untuk menguruskan kedai ayah saya di Bazar Ramadhan Alor Star. Kedai yang menjualkan pelbagai jenis tudung, telekong, batik & pelikat. Jemputlah korang semua untuk singgah ke kedai ayah saya ini. Insyaallah…

Memang sangat mencabar berpuasa kali ini, bermacam-macam perkara di luar jangkaan singgah sebentar di awal ramadhan ini dan tetapi semuanya Berjaya dihadapinya dengan tanpa keluhan panjang. Insyaallah… ‘Sabar’ itu yang paling penting…betul tak korang semua??? Hehehe….

Sekali lagi, saya ingin mengucapkan “SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK” kepada anda semua. Jadikan ramadhan kali ini sebagai medan untuk terus mendekatkan diri pada-Nya dan berbukalah secara berpada-pada serta jangan membazir… =)

Sekian, Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com