Saturday, September 25, 2010

Kepincangan Yang Melanda...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Kita mengakui bahawa krisis sosial membabitkan golongan belia remaja memang wujud dengan begitu meluas di Malaysia dan kita sepatutnya perlu memandang masalah ini secara lebih serius lagi. Terutamanya di universiti kita sendiri yang melibatkan semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing.

Apa yang jelasnya, bersesuaian dengan gagasan pembangunan ala Malaysia dan 1 Malaysia yang dilaung-laungkan oleh pemimpin negara, yang lebih mampan dan seimbang di antara elemen fizikal dan spiritual, bertentangan dengan konsep pembangunan ala barat, kita tidak boleh menganggap isu ini sebagai masalah kecil. Kerana secara jelasnya, golongan belia remajalah yang akan mencorak kerajaan pada masa akan datang.

Oleh itu, krisis sosial ini perlu dititikberatkan oleh semua pihak terutamanya Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri masing-masing bagi memastikan elemen pembangunan sahsiah dan pembinaan insan cemerlang diteruskan sebagai penguat kepada gabungan elemen fizikal dan spiritual ini. Memang tidak dinafikan bahawa ibu bapa seharusnya menjadi tunjang utama dalam pembentukan sahsiah anak-anaknya tetapi pihak kerajaan juga seharusnya membuka peluang kepada badan-badan NGO mahu pun pihak-pihak tertentu melibatkan diri dalam pembentukkan sahsiah remaja ini.

Kita juga perlu melihat masalah sosial belia remaja ini secara lebih realistik, holistik, dan mengamalkan pendekatan ‘solutionist’ dengan cara mengemukakan cadangan plan bertindak yang difikirkan boleh mengatasi masalah yang semakin parah sejak akhir-akhir ini. Fenomena-fenomena keruntuhan akhlak dijelmakan melalui tabiat mensyirikkan Allah, meneguk arak, berzina, berpoya-poya, cintakan hiburan yang melampau, merempit, gay, dan sebagainya.

Didapati masalah keruntuhan akhlak di kalangan belia remaja adalah disebabkan pelbagai punca yang saling kait-mengait. Inilah yang dikatakan sebagai hubungkait antara satu sama lain. Di antaranya ialah kurangnya didikan agama di kalangan anggota masyarakat, kurangnya prihatin di kalangan segelintir ibu bapa terhadap anak-anak, pengaruh media massa dalam pelbagai aktiviti hiburan yang melampau, pertumbuhan pusat-pusat hiburan yang tidak terkawal, pengaruh persekitaran, sikap hidup masyarakat yang individualistik dan lain-lain lagi.

Oleh kerana itu, adalah menjadi tanggungjawab kepada mana-mana pihak yang menjadi penyebab kepada suburnya gejala sosial ini, agar kembali memuhasabahkan diri segera, bagi mengenal pasti kelemahan dan kesilapan masing-masing yang menyebabkan terjerumusnya sebahagian anggota masyarakat ke dalam kemelut masalah ini.

Saya sendiri begitu sedih melihat perkara ini yang semakin tidak terkawal terutamanya di universiti kita sendiri. Hanya segelintir mahasiswa yang ‘alert’ mengenai perkara ini. Saya menyeru kepada semua mahasiswa supaya kembalilah ke pangkal jalan sebelum terlambat kerana harapan ibu ayah anda itu lebih tinggi berbanding anda mengejar cinta yang kemungkinan besar akan membawa anda ke lembah kehinaan sekiranya hawa nafsu tidak terkawal.

Selain itu, saya juga sering berpesan kepada diri saya sendiri dan sahabat-sahabat supaya “Berfikir dahulu sebelum membuat sesuatu keputusan” kerana apabila “Nasi sudah jadi bubur”, anda sendiri akan menyesal dan ingatlah selagi boleh berfikir secara waras, berdoalah selalu kepada Allah agar kita tidak terjerumus dengan perkara yang tidak sihat itu. Banyak ayat Al-Quran memberi amaran bahawa Allah Taala akan mengadili hamba-hamba-Nya walaupun kebaikan yang dilakukan itu sebesar zarah. Dan ingatlah, setiap kelakuan anda itu akan diperhatikan Allah Taala, Firman Allah Taala yang bermaksud :

Barang siapa yang mengerjakankebaikan seberat zarah nescaya dia akan melihat balasannya dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah nescaya dia akan melihat balasannya pula.”
(Al-Zalzalah 30 : 7 - 8)

Sekian, Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
Exco Majlis Perwakilan Mahasiswa
Universiti Teknologi Malaysia International Campus
wan_hazem90@yahoo.com

0 comments: