Saturday, June 20, 2026

Semua Akan Baik-Baik Saja...

Assalamualaikum...
Salam Sejahtera...
Salam Malaysia Madani...

Kembali kita sekali lagi ke blog aku yang tak seberapa ini. Ikutkan hati, aku nak berkongsi berkenaan dengan trip solo backpackers aku ke beberapa buah negara seperti Laos, Nepal, Uzbekistan, Tajikistan & Kazakhstan. Tapi aku lebih nak berkongsi mengenai sebuah filem yang aku tonton semalam iaitu filem 'Semua Akan Baik-Baik Saja'.

SEMUA AKAN BAIK-BAIK SAJA...

Kebetulan, aku baru sahaja terima guest dari Indonesia iaitu Johanes seorang cikgu yang mengajar alat muzik di Sotkamo, Finland. Dan terdetik di hati nak tonton filem 'Semua Akan Baik-Baik Saja' di pawagam selepas aku tertarik menonton trailernya dan juga tertarik dengan posternya.


Filem arahan Baim Wong ini menampilkan beberapa pelakon pilihan ramai iaitu Reza Rahadian, Christine Hakim dan beberapa pelakon lain. Ternyata, mata aku tertumpu kepada lakonan hebat Christine Hakim yang kali ini membawa watak seorang ibu dan nenek yang penuh sifat kasih sayang terhadap sebuah keluarga yang hampir berpecah.

Filem ini mengingatkan aku kepada filem-filem karya Almarhumah Yasmin Ahmad seperti Gubra, Sepet, Muallaf, Mukhsin dan sebagainya. Dimana genre drama yang mengangkat kisah realiti kehidupan sebuah keluarga yang susah dalam mendepani dunia hari ini.

Reza Rahadian yang membawa watak Langit menjadi tunggak utama dalam membawa pengkisahan seorang lelaki bujang yang tidak mempunyai pekerjaan tetap namun masih mempunyai sifat kasih sayang sebagai seorang pakcik dalam memberi sinar kepada anak buahnya yang baru sahaja kehilangan ibunya (kakak kepada Langit).

Ibu Wida lakonan Christine Hakim juga mencuri pandangan dalam membawa watak yang cukup-cukup hidup dalam pembawaan watak yang pelbagai emosi dimana beliau kehilangan anak perempuannya yang sulung, kemarahannya terhadap menantunya yang cuba mengambil harta anaknya, cintanya kepada anak cucunya seperti Alim, Malika dan Syafa serta perjuangannya dalam menyayangi anaknya walaupun mengetahui 'dark side' anak perempuannya iaitu Bintang.

Penceritaan yang dibawa dalam filem ini cukup menyentuh pelbagai emosi dimana ada elemen sedihnya sehingga mampu mengalirkan air mata, elemen marah dan sakit hati, elemen lucu dan sebagainya lagi yang boleh dianggap penuh perisanya.

Pengajaran atau iktibar juga boleh diambil di dalam filem ini kerana pelbagai watak dan scene yang boleh memberikan kita semangat baharu untuk menjadi lebih baik bilamana kesempatan yang singkat ada di depan mata. Cuma kita perlu pertimbangan samada untuk ambil atau biarkannya.

Selain itu, aku juga tertarik dengan latar belakang beberapa babak terutamanya babak di flat kos rendah yang cukup lain dari apa yang ada di Malaysia. Satu gambaran baharu yang mampu membawa penonton untuk menyelami kehidupan bagi masyarakat B40.

Apa-apa pun, secara keseluruhannya, aku bagi 9/10 Bintang untuk filem ini. Tahniah diucapkan kepada Baim Wong diatas sebuah filem yang cukup menarik dan berbaloi untuk dibayar harga tiketnya. Tahniah!

*P/s - aku menjangkakan bahawa Christine Hakim dan Reza Rahadian mampu berada di Top 5 sebagai Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik Filem di Festival Filem Indonesia 2026 yang akan datang.

Sekian, wallahua'lam...

Ikhlas dari, 
WMHMY
wan_hazem19@yahoo.com
Tamu Hotel, Kuala Lumpur 
19 Jun 2026