Saturday, December 31, 2011

Temubual Adam Adli - Suara Keadilan...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Adam Adli, 22 Tahun adalah aktivis mahasiswa yang sedang menamatkan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak.

Nama beliau mula mencuri tumpuan ramai apabila bertindak berani menaikkan bendera ‘Kebebasan Akademik’ dan menurunkan bendera wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di PWTC, 17 Disember lalu sewaktu berarak membantah pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1974 (AUKU).

Tindakannya itu menerima pelbagai reaksi dari banyak pihak. Ada yang bersetuju dan memuji keberaniannya dan ada juga yang membantah sehingga mengugut untuk memukul dan meludah beliau.

Ikuti temubual ikon baru perjuangan mahasiswa ini dengan Wartawan Suara Keadilan, Ahmad Fadli KC.



Apa pandangan saudara tentang kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ?
Datuk Seri Najib Razak saya anggap sebagai pemimpin yang suka berdolak-balik. Banyak kenyataan beliau buat akhirnya tidak dipenuhi. Contohnya seperti ISA, apa yang terjadi kepada 13 orang yang ditangkap di Sabah di bawah ISA? Tangkapan itu dibuat selepas pengumuman Najib. Bagaimana pula dengan AUKU 15? Dahulu kata hendak mansuh selepas itu pinda dan sebagainya.

Adakah menurunkan bendera muka Najib pelakuan spontan atau dirancang lebih awal? Adakah tindakan itu diketahui secretariat SMM?
Menurunkan bendera adalah simbolik kepada kemuncak ketidakpuasan hati mahasiswa. 4 kali AUKU dipinda! Sampai bila lagi ia perlu dipinda? Setiap pindaan itu seolah-olah satu penipuan untuk menggula-gulakan mahasiswa. Tindakan menurunkan bendera itu spontan. Sekretariat SMM tidak tahu, tapi mereka bersetuju.

Pada pandangan saudara, adakah tindakan menurunkan bendera muka Najib suatu perbuatan menghina?
Bagi saya ia tidak menghina. Kalau saya turunkan gambar Yang Di Pertuan Agong ; itu barulah menghina. Perdana Menteri hanyalah penjawat awam yang dilantik kami, iaitu rakyat. Banyak lagi penghinaan lain, kenapa tidak jadi isu? Kek berupa najis di Pulau Pinang lebih hina. Mahu ludah mahasiswa lebih hina. Itu bagaimana pula?

UMNO PJ mahu meludah saudara kerana menurunkan bendera muka Najib. Komen saudara?
Saya serahkan perkara ini kepada polis. Berikutan peristiwa ugutan dari puak-puak ini juga, nama dan imej UMNO pasti tercalar. Mengugut dan mengancam ahli politik perkara biasa, namun mengugut mahasiswa dan rakyat biasa itu tindakan yang silap.

Boleh saudara huraikan apa yang dimaksudkan dengan ‘ruang lingkup kebebasan mahasiswa’ yang saudara pernah sebut sebelum ini?
Kebebasan mahasiswa adalah penglibatan bukan sahaja dalam politik sebaliknya dalam system masyarakat. Pertama adalah kebebasan akademik. Apabila dunia akademik bebas, mahasiswa mampu belajar dengan lebih baik dan mereka mampu mencabar ilmu mereka. Kemudian bebaskan mahasiswa bersuara dengan menghapuskan akta-akta mengarut yang mengongkong mahasiswa. Bila mahasiswa bebas bersuara, berpartipasi dan sebagainya, mahasiswa akan mampu menyumbang kepada Negara ini. Bukannya sekadar menjadi pengampu kepada pemimpin atau pun menjadi penonton kepada mana-mana perhimpunan agung atau majlis-majlis bersama pemimpin. Mahasiswa adalah agen kepada masyarakat. Mereka akan turun bertemu dengan masyarakat, membantu masyarakat. Kita mengharapkan satu masa kelak, mahasiswa akan melupakan sentiment yang mengatakan mereka ini adalah pelajar yang tak boleh ambil tahu tentang dunia luar. Ini adalah salah dan mahasiswa harus insaf dengan pemikiran sebegini dan sedar ini silap.

Selain isu memperjuang hak mahasiswa, mengapakah saudara berdiam diri dalam isu lain? Tidak mahu terlibat dalam perjuangan lain dalam membela rakyat?
(Gelak) itu silap. Ramai yang tidak perasan, demontrasi air untuk rakyat Selangor; saya pernah diheret oleh perundangan Universiti dan hampir dipecat dari Universiti kerana berkeras dengan pendirian saya. Saya juga aktif berjumpa masyarakat Melayu di Kampung Baru untuk memahami isu tanah mereka yang satu hari nanti akan dirampas taukeh-taukeh besar. Ini saya lakukan seorang diri secara santai kerana saya sering lepak di sana. Namun, keutamaan besarnya adalah membebaskan mahasiswa dahulu.

Apa komen Adam tentang perjuangan Pakatan Rakyat?
Setakat ini Pakatan Rakyat belum pernah memerintah Negara di peringkat Persekutuan. Jadi kita belum mampu lagi menilai kebolehan Pakatan Rakyat dalam erti kata sebenar. Cukuplah kalau saya katakan, empat negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat setakat ini ada yang positif, ada yang negatif. Masih banyak lagi yang perlu diperbaiki, masih banyak lagi janji yang perlu ditunaikan.

Selepas insiden ditumbuk polis berpakaian preman di luar balai polis, bagaimana pandangan saudara tentang kredibiliti polis?
Kita tak boleh cakap semua polis jahat. Itu salah. Ada polis yang jujur. Ada polis yang betul-betul komited dengan tugasnya, ada yang serius dengan tanggungjawab yang diberi kepada mereka. Tapi kita harus ingat, mana-mana yang merosakkan nama baik polis dengan amalan rasuah, penyelewengan kuasa, salah guna kuasa, ini kita perlu tolak. Saya harap pihak polis akan teruskan lagi usaha membersihkan institusi Polis kerana polis adalah Polis Di Raja Malaysia, bukan untuk menteri – mereka adalah penjaga kepada rakyat. Kita tidak mahu lagi selepas ini rakyat Nampak polis rakyat takut. Rakyat harus mesra dengan polis dan polis harus bersihkan institusi mereka.

Ada kata mahasiswa ini cukai pun belum bayar tapi sibuk berpolitik. Apa pandangan saudara?
Cukai kami belum bayar tapi kami sudah berhutang. Itu bagaimana? Kami ada berhutang dengan kerajaan tapi pernahkah orang kata hutang kami ini dianggap sebagai satu bentuk sumbangan besar kepada Negara? Tidak ! Hutang ini satu beban kepada mahasiswa. Kerajaan harus komited memperbaiki sistem biasiswa pendidikan atau beri sahaja pendidikan percuma. Usahakan ke arah itu.

Ada yang kata mahasiswa berpolitik ini pencapaian akademiknya tak berapa bagus. Komen?
(Ketawa) Itu benda yang sangat silaplah. Saya sendiri CGPA saya tak pernah jatuh. CGPA saya antara 3.2 ke 3.4. Saya kira masih ok.

Saudara pernah sebut tentang ‘mahasiswa menyertai politik tanpa menyertai parti politik’. Boleh huraikan lebih lanjut?
Politik adalah satu kumpulan manusia yang memperjuangkan satu-satu isu. Jadi, tak semestinya dengan menjadi ahli politik barulah kita boleh berpolitik (memperjuangkan sesuatu isu). Maksudnya, kita perjuangkan isu. Kita boleh buat macam-macam benda sebenarnya.

Pada dekad 1970-an, Datuk Seri Anwar Ibrahim antara pemimpin mahasiswa yang lantang memperjuangkan hak rakyat. Sejauh manakah, mahasiswa masa kini mencontohi perjuangannya?
Mahasiswa hari ini menjadikan generasi dahulu sebagai teladan. Apa-apa kelemahan mereka kita kaji dan perbaiki. Saya sudah tekankan ketika berdemo dulu, mahasiswa hari ini perlu pilih – cipta sejarah sendiri atau hanya mampu terus bangga dengan sejarah lampau. Alhamdulillah, nampaknya mahasiswa sudah bangkit menyahut cabaran. Selesai kebebasan akademik, kita akan lebih agresif memperjuangkan hak rakyat. Itu pasti ! Bebaskan mahasiswa dahulu dan lihat bagaimana mahasiswa ubah Negara demi rakyat.

Sumber : Suara Keadilan.

*Bangkitlah Bersama Mahasiswa…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com

1 comments:

panda putih said...

Alhamdulillah, makin faham tindakan yang dibuat oleh adam.