Friday, June 3, 2011

JOM Tak Nak Merokok...!!!

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

“JOM Tak Nak Merokok!” itulah yang perlu kita sama-sama laungkan dan ambil perhatian bagi melahirkan Persekitaran Bebas Asap Merokok. Kempen yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sewajarnya untuk sama-sama kita bergandingan sebagai tanda sokongan kita bagi merealisasikan kempen tersebut. Tanggungjawab sosial ini perlu diberi perhatian terutamanya kita di peringkat belia.



KESAN MEROKOK

• Mati Pucuk : Rokok mengandungi berbagai-bagai bahan bahaya termasuk nikotin. Kebiasaan merokok menyebabkan penggantungan dan ketagihan nikotin. Nikotin menyebabkan saluran darah ke zakar menjadi sempit dan tersumbat. Dengan itu nikotin mengakibatkan mati pucuk. Kualiti sperma anda akan terganggu. Kemampuan menghasilkan ereksi akan berkurangan dan nafsu seks akan menjadi lemah.

• Strok : Bahan kimia yang dibebaskan oleh asap rokok akan menjejaskan organ-organ dalam badan. Merokok menambahkan risiko penyakit berbahaya dan menyebabkan 10-12% dari kematian di Malaysia. Strok (Angin Ahmar) amat berkait rapat dengan tabiat merokok. Kesan nikotin yang disebabkan oleh merokok merosakkan saluran darah. Dinding salur darah akan menjadi tebal dan sempit, dan dengan itu aliran darah akan menjadi sukar. Strok disebabkan oleh salur darah tersumbat di dalam otak. Sebahagian badan anda mungkin akan lumpuh dan anda mungkin maut.

• Sakit Jantung : Merokok sememangnya satu tabiat buruk. Malangnya 50% dari golongan lelaki di Malaysia merokok. Merokok merupakan faktor risiko utama bagi penyakit bahaya dan menyebabkan 10-12% kematian di Malaysia. Serangan sakit jantung adalah berkait rapat dengan merokok.

• Kanser Paru-Paru : Asap rokok mengeluarkan hampir 4,000 bahan kimia beracun dan 53 dari bahan kimia ini boleh mengakibatkan kanser. Merokok menambahkan risiko penyakit merbahaya seperti kanser paru-paru. Ia merupakan kanser paling kerap dialami golongan lelaki dan amat berkait rapat dengan tabiat merokok. Jika anda mengalaminya, peluang untuk sembuh amat kecil sekali.

TIP UNTUK BERHENTI MEROKOK

• Pelajarilah tentang bahaya merokok
• Umumkan keputusan anda untuk berhenti merokok kepada semua orang
• Buangkan semua barangan yang ada kaitan dengan rokok, contohnya tempat abu rokok, pemetik api dan sebagainya
• Minumlah banyak air, ini akan membantu membuang toksid dalam badan anda
• Makanlah lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran untuk mengurangkan ketagihan anda pada nikotin
• Hiduplah secara aktif, kegiatan sukan akan membantu melancarkan aliran darah seluruh tubuh. Senaman juga boleh mengimbangkan suhu dan ketangkasan anggota tubuh badan. Bersenamlah kerana ia satu amalan yang baik
• Elakkan tempat di mana merokok menjadi satu kebiasaan. Tempat-tempat seperti kelab malam, pusat karaoke dan bar
• Belajarlah menolak tawaran merokok. Cuba untuk tidak merokok langsung kerana jika tidak ini akan menggugat usaha anda untuk berhenti merokok dan anda mungkin akan terdorong untuk merokok semula

FAKTA MEMBIMBANGKAN AKIBAT MEROKOK

• 50% dari golongan lelaki di Malaysia adalah perokok
• Di Kuala Lumpur, nisbah antara perokok lelaki dan wanita di bawah umur 30 tahun adalah 5 : 1
• Kadar merokok dari golongan remaja dan wanita semakin meningkat. 25% dari pelajar sekolah berumur 15 tahun ke atas pernah mencuba merokok dan 70% dari kumpulan ini akan menjadi perokok apabila meninggalkan bangku sekolah
• 60-75% dari asap rokok akan disedut oleh orang yang tidak merokok
• Hanya 50% perokok akan dapat menjangkau umur 70 tahun
• Rakyat Malaysia membelanjakan RM1.5 bilion setiap tahun untuk membeli rokok

Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia

p/s : Kepada sahabat-sahabatku, kawan-kawanku, rakan-rakanku yang tergolong dalam kumpulan perokok ini, saya nasihatkan tinggalkanlah kegiatan ‘MEROKOK’ ini untuk kebaikan semua. Berhentilah merokok – Kalau bukan untuk diri anda, lakukanlah untuk anak-anak anda pada masa hadapan. Insyaallah… =)


Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
Diploma Pengurusan Harta Tanah
Universiti Teknologi Malaysia International Campus
wan_hazem19@yahoo.com

1 comments:

Blog Tester said...

info yang bagus. saya nak kongsi boleh? terima kasih :)