Wednesday, June 29, 2011

Kebenaran Israk dan Mikraj...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Firman Allah S.W.T :

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil-Haraam (di Mekah) ke Masjidil-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”



Umat Islam seluruh dunia akan menyambut ketibaan peristiwa agung iaitu Israk dan Mikraj. Mereka tidak akan melepaskan peluang keemasan yang datang sekali setahun dalam bulan hijriah iaitu pada 27 Rejab. Israk dan Mikraj adalah salah satu peristiwa penting yang berlaku pada diri baginda Rasulullah SAW.

Peristiwa ini telah membongkarkan keimanan dan keyakinan umat manusia tentang kekuasaan Allah dan kebenaran kepada kenabian Nabi Muhammad SAW. Orang kafir sendiri menjadikan peristiwa Israk dan Mikraj ini sebagai suatu pembohongan yang menambahkan lagi penolakan mereka terhadap dakwah nabi.

Manakala keadaan umat Islam sendiri terbahagi kepada beberapa peringkat iaitu ada yang terus membenarkan nabi seperti Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq, ada pula yang mahu penjelasan terperinci dengan menguji nabi melalui beberapa pertanyaan seperti bilangan pintu dan tiang dalam Masjidil Aqsa bagi membuktikan kebenaran kepada cerita tersebut dan ada pula yang bersikap menolak terus cerita nabi dan kembali murtad daripada Islam.

Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku di dua tempat utama di bumi sebelum nabi dinaikkan ke Saidatul Muntaha iaitu bumi Mekah dan Palestin malah melalui ayat 1 surah Israk juga menjelaskan bagaimana Allah memberkati bumi Israk dan sekitarnya. Sehingga kini bumi Israk iaitu Baitul Maqdis, Palestin terus menjadi rebutan 3 agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi sehinggakan keganasan Yahudi dalam membunuh dan merampas tanah milik umat Islam terus berjalan tanpa perikemanusiaan.

Sepanjang perjalanan Isra’ dan Mikraj yang ditemani oleh Jibril, Baginda telah menyaksikan beberapa gambaran perilaku umat manusia sama ada yang telah berlaku dan yang akan berlaku. Ada gambaran yang mengembirakan dan ada yang menakutkan. Ini merupakan suatu mukjizat yang dikurniakan Allah kepada Baginda. Antara gambaran perilaku tersebut ialah Rasulullah SAW diperlihat satu kaum lelaki dan perempuan yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada disisi mereka. Kata Jibril itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri dan suami.

Persoalan besar timbul di sini siapakah sebenarnya golongan ini?. Mengikut pandangan ulama golongan ini ialah mereka yang tidak menjaga kemaluan dengan cara yang halal dan mereka ini tergolong dikalangan yang dicela serta tidak berjaya samada dalam kehidupan dan cita-citanya.

Budaya hidup berzina terus menjadi isu panas di negara ini kerana sering dikaitkan dengan kes-kes pelacuran, pengguguran kandungan, pembuangan bayi, rasuah seks dan pembunuhan. Walaupun budaya keji ini dibenci oleh semua agama tetapi hanya Islam sahaja yang mengenakan hukuman yang paling berat kepada penzina. Hukuman keras ini amat waras kerana perbuatan berzina adalah perbuatan yang menjatuhkan harga diri, maruah dan moral manusia serta melahirkan status nasab atau keturunan hina yang berpanjangan.

Rasulullah SAW berpesan bahawa antara tanda-tanda akhir zaman ialah ramai orang yang jahil terhadap agama serta arak dan zina bermaharajalela. Mereka tahu tentang hukum haramnya namun masih tetap melakukan, kes-kes zina pada asalnya dilakukan secara tersembunyi, namun di akhir zaman nanti perzinaan dilakukan secara terang-terangan.

Di Padang Mashyar nanti golongan ini akan berjalan dengan kepala di bawah dan kaki ke atas langgit, mereka terasing daripada manusia, badannya sangat busuk serta darah dan nanah sentiasa mengalir dari kemaluannya kerana semasa hidup di dunia mereka ini berbuat zina, suka menyembunyikan maksiat kerana takutkan manusia bukannya takut kepada Allah SWT. Kita perlu ingat bahawa orang yang berzina akan menerima azab siksa yang sangat pedih di neraka Jahanam. Kepanasan api neraka adalah 70 kali ganda kepanasan api yang ada di atas dunia ini.

Dalam satu hadith disebutkan di akhirat kelak, Allah SWT tidak menegur orang yang berzina, tidak menyapanya dan tidak memandangnya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Ada tujuh golongan manusia yang Allah tidak akan melihat mereka pada hari kiamat dan tidak membersihkan mereka dari dosa bahkan Allah berfirman kepada mereka: Masuklah kamu ke dalam neraka bersama orang-orang yang dimasukkan ke dalamnya. Tujuh golongan tersebut ialah: mereka yang melakukan homoseks, mereka yang melakukan kahwin tangan (onani), mereka yang melakukan hubungan seks dengan binatang, mereka yang melakukan hubungan seks melalui dubur (liwat). mereka yang berkahwin antara ibu dan anak. mereka yang berzina dengan isteri jirannya dan mereka yang mengganggu jirannya.”(Riwayat al-Tabrani).

Ketika perbuatan berzina berleluasa dan pintu-pintu menuju perzinaan juga terbuka luas yang kelihatan sukar disekat, maka ketahuilah bahawa musibah bersiap sedia datang menerpa kita. Seberapa dekat kita dengan pintu-pintu menuju perzinaan, sedekat itu pulalah musibah yang akan diturunkan oleh Allah SWT. Musibah mungkin tidak menimpa diri kita tetapi akan menimpa anak cucu kita misalnya turut terjebak dengan amalan perzinaan.

Nafsu seks adalah fitrah anugerah Allah SWT kepada manusia untuk mewujudkan kasih sayang dan mendapatkan ketenangan dalam kehidupan. Bagaimana pun perlepasan dan pembebasan hawa nafsu hendaklah dilakukan secara halal iaitu melalui pasangan yang sah yang diikat dengan perkahwinan. Ketahuilah bahawa seorang lelaki yang mendekati wanita yang tidak sah pada dasarnya ia telah mendekati pintu perzinaan. Seorang lelaki yang memberi tumpuan penuh pandangan kepada wanita bererti ia telah mendekati perzinaan. Begitu pula dengan mereka yang senang melayari gambar-gambar porno di internet, menonton video lucah adalah mendorong kepada perzinaan.

Serangan gejala sosial dan keruntuhan moral dalam pelbagai bentuk di negara ini menyebabkan kita kadang-kala hilang pedoman untuk mengatasinya. Sebagai umat Islam sekiranya peristiwa dan kebenaran dalam Isra’ Mikraj ini ditauladani dan dipelajari serta dihayati sebaik mungkin, insyaallah kita mampu mengelakkan diri daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan dan kemungkaran serta terjerumus dengan gaya hidup berdosa. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa ini bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Isra’ dan Mikraj merupakan satu ujian dalam proses pemisahan antara orang yang benar-benar beriman atau mereka yang tipis imannya dan yang kufur ingkar terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya.

Akhir kata, saya mengucapkan Salam Israk Wal Mikraj, 27 Rejab kepada semua sahabat-sahabat saya. Oleh itu, bersamalah menghayati Sirah Perjuangan Nabi Muhammad SAW dan kini kita sebagai mata rantai penyambung risalah kebenaran. Ayuh, teruskan perjuangan demi mencari keredhaan Ilahi. Insyaallah… =)

Sumber : JAKIM

Sekian, Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
Universiti Teknologi Malaysia International Campus
wan_hazem19@yahoo.com

2 comments:

abu idris said...

arrayah.info - 28 Rejab – Hari Di Mana Umat Islam Kehilangan Perisainya (KHILAFAH)

Ahmad Haziq Azlan said...

SALAM ISRA MIKRAJ