Sunday, May 26, 2013

The Immemorial Land 2013 (Land Debate)...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Bertemu kembali kita dalam entry yang terbaru. Sebelum tue saya nak tanya kepada semua pembaca blog saya, anda semua pernah berdebat? Debat Ala Parlimen? Entry kali ini saya akan fokuskan mengenai program yang saya sertai pada 20 Mei 2013 yang lalu (Ahad) bertempat di Dewan Sultan Iskandar, UTM iaitu Program The Immemorial Land 2013 (Land Debate) anjuran Kelab LADS UTM.

‘Terima Kasih Yang Di-Pertua Dewan,
Barisan Kehakiman Justifikasi Keadilan,
Penjaga Masa Yang Setia Dengan Lokup Detik Waktunya,
Barisan Perwakilan Kerajaan,
Barisan Perwakilan Pembangkang,
Serta Sidang Dewan Yang Budiman,

Assalamualaikum, Salam Perpaduan,
Salam 1 Malaysia, Bumi Merdeka’

Itulah ungkapan pertama yang saya sampaikan ketikamana menjadi ‘Perdana Menteri’ di Barisan Kerajaan dengan mengusulkan usul pertama iaitu ‘Pembangunan Bandar-Bandar Baru Memberi Kesan Positif Kepada Penduduk Setempat’ bersama menteri kabinet yang lain iaitu Saudari Suryati dan Saudari Nurul Nabila Fadzil. Ditentang hebat oleh barisan Pembangkang yang terdiri dari Kumpulan 1 UTHM.

Pusingan pertama berlangsung dengan suasana yang agak tegang dengan hujah-hujah yang bernas dari kedua-dua pihak. Masing-masing memberikan persaingan yang agak hebat. Di pihak saya, kami sudah mencuba yang terbaik dengan memberikan sebanyak mungkin hujah bagi memberi penghujahan bagi membenamkan hujah pihak lawan. 

‘Assalamualaikum, Salam Perpaduan,
Salam Reformasi, Bumi Merdeka’

Itulah ungkapan kedua di pusingan ketiga ketikamana kami menjadi pihak Pembangkang dan saya dilantik sebagai Ketua Pembangkang dengan menentang usul yang diberikan oleh Pihak Pembangkang iaitu ‘Isu Tanah Terbiar : Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Tempatan Yang Bertanggungjawab’. Kalau di pusingan pertama saya menentang Kumpulan 1 UTHM yang kesemuanya adalah Lelaki dan kali ini kami menentang Kumpulan 2 UTHM yang kesemuanya pula adalah perempuan dan kumpulan saya sendiri terdiri dari Saudari Qamariah dan Saudari Nurul Nabila Fadzil.

Apa yang saya nampak, perdebatan kali ini adalah konsep debat yang pertama kali saya sertai melibatkan usul-usul yang berkaitan hanya mengenai isu-isu tanah semasa. Kalau sebelum ini saya pernah sertai dengan Debat Ala Parlimen yang melibatkan isu-isu integriti, Lestari, Perpaduan dan sebagainya dan kali ini adalah lain dari yang lain iaitu Isu-Isu Tanah Semasa.

ALHAMDULILLAH… Kami memenangi ‘NAIB JOHAN’ bagi perdebatan kali ini. Dan ianya cukup bertuah buat saya di mana persediaan bagi pertandingan debat kali ini hanya mengambil masa kurang dari 2 jam. Dan ahli kumpulan dapat dipenuhkan kurang dari 1 hari. Dan Insyaallah, jika masih berpeluang menyertainya di masa hadapan, saya tetap akan cuba sertai. Insyaallah…hahaha =)

Akhir kata, saya ucapkan ‘TAHNIAH’ kepada Pengarah Program iaitu Saudari Nurul Syafiqah dan barisan Ahli Jawatankuasanya. Dan banyak perkara saya dapat belajar dan meningkatkan pengetahuan secara tidak langsung ketikamana mana mencari maklumat. Dan semestinya dapat menambah kawan baru dari UTHM. 












Sekian, Wallahua’lam… =)

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com

Tuesday, May 21, 2013

Lawatan Kebajikan Ke Rumah Anak-Anak Yatim Pontian...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

ALHAMDULILLAH…itulah ungkapan yang dapat saya ungkapkan seusai saja bersama dengan Anak-Anak Yatim Pontian pada 19 Mei 2013 yang lalu bertempat di Rumah Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Pontian. Banyak perkara yang saya belajar di sana walaupun hanya separuh hari saja sempat bersama mereka.

TAHNIAH saya ucapkan kepada Barisan Ahli Jawatankuasa Program yang bertungkus-lumus dalam memastikan kelancaran program dan mencapai objektif yang digariskan terutamanya kepada Pengarah Program, Hanif Ismael. TAHNIAH untuk anda semua… =)

ROAD TO UTM
Itulah tajuk yang diberikan oleh pihak penganjur kepada saya untuk membuat satu perkongsian ilmu kepada Anak-Anak Yatim yang hampir 45 orang (antara Darjah 5 hingg Tingkatan 5). Dan ALHAMDULILLAH semuanya berjalan lancar mengikut perancangan. Ruang yang diberikan untuk mengemudi segmen tersebut selama 1 jam dipenuhi dengan agenda untuk berkongsi mengenai pengalaman sebagai seorang mahasiswa UTM.

Turut diselitkan bersama satu perkara yang cukup menghiburkan adik-adik saya di sana iaitu ‘Tarian Anak Gajah’. Dan semuanya memberi kerjasama yang cukup baik. Sempat jugak untuk saya berinteraksi dengan mereka ini melalui apa cita-cita mereka. Dan apa yang saya nampak, rata-rata mereka mempunyai minat yang tersendiri dan sebagai sukarelawan, kami perlu memberi semangat dan sokongan moral kepada mereka untuk terus ke hadapan.

SAMBUTAN HARI LAHIR
Penganjur turut membuat kejutan dengan meraikan hampir 6 orang dari mereka sempena Hari Lahir mereka. Dan apa yang saya nampak di wajah mereka adalah satu perasan yang cukup memuaskan. Ini merupakan kali pertama saya sertai program kebajikan dengan meraikan mereka sempena hari lahir mereka. Semoga ALLAH terus merahmati mereka. Insyaallah… =)

Akhir kata, saya mendoakan agar semua Adik-adik saya di sana terus maju ke hadapan dan dapat menjejakkan kaki ke Menara Gading. Insyaallah… Dan TAHNIAH sekali lagi kepada penganjur program iaitu Kelab LADS (Land Administration & Development Society). Dan rezeki, kita jumpa lagi…. =) 










Sekian, Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com

Sunday, May 19, 2013

Universal Studio Singapore...Aku Datang !

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

ALHAMDULILLAH...akhirnya dapat jugak saya jejakkan kaki ke Universal Studio Singapore (USS). Dan entry saya kali ini adalah mengenai pengalaman yang cukup best semasa di Universal Studio Singapore pada 18 Mei 2013 (Hari Sabtu) bersama sahabat saya, Abdul Hakim. Apa-apa pun, jom ikuti pengalaman tersebut bersama saya. 


HOLLYWOOD 
Di sini merupakan antara tempat yang sesuai untuk bergambar. Tempat ini boleh dikatakan menarik dengan beberapa watak dari Hollywood yang ada di sekitar kawasan ini. 


NEW YORK 
Di kawasan ini pula, kami disajikan dengan persembahan secara terbuka yang berkonsepkan barat. Di kawasan ini juga turut mempunyai beberapa watak popular seperti Sesame Street. Ada beberapa pertunjukkan dan tayangan diadakan di sini tetapi kami tidak sertainya. Hehehe… ~ 


SCI-FI CITY 
Sci-Fi City merupakan kawasan yang paling menarik. Di sinilah saya mencabar diri saya untuk menaiki Roller Coaster yang diberi nama ‘Battlestar Galactica : CYLON (Blue Track)’ di mana, boleh dikatakan sepertiman orang jatuh bangun. Seterusnya kami juga berpeluang untuk sertai ‘TRANSFORMERS The Ride : The Ultimate 3D Battle’, di mana kami berpeluang untuk merasai suasana di mana kejadian pertarungan antara watak-watak dalam filem TRANSFORMERS ini. 


ANCIENT EGYPT 
Irama Padang Pasir akan berkumandang sepanjang anda semua berada di kawasan ini. Apa yang menarik di kawasan ini, suasana di situ membuatkan anda semua akan terpukau dengan watak-watak dari warga ‘Firaun’ dan dari filem Treasure Hunters. Di sini saya berpeluang menaiki Indoor Roller Coaster yang diberi nama ‘Revenge Of The Mummy’, di mana kami merasai pengalaman menaiki Roller Coaster di dalam suasana gelap. 


THE LOST WORLD 
Di sini kami merasai suasana sepertimana di dalam hutan. Apa yang menarik di sini, kami berpeluang mengembara suasana di dalam hutan yang dipenuhi dengan Dinosaur sepertimana di dalam filem ‘JURASSIC PARK’ yang diberi nama ‘Jurassic Park Rapids Adventure’. Pengalaman untuk membasahi badan bolehla di sini. Hahaha… 


FAR FAR AWAY 
Watak-watak Filem Animasi seperti Puss In Boot, Fairy Grandmother, Shrek, Fiona dan sebagainya lagi. Di sini kami berkesempatan untuk menikmati ‘SHREK 4D Adventure’ sepertimana di panggung wayang tetapi apa yang menarik di sini adalah anda semua akan merasai sendiri apa yang berlaku dalam filem tersebut. Hehehe… ~ 


MADAGASCAR 
Di sini saya anggap tempat yang paling biasa dan kurang menarik sebenarnya kerana ianya lebih sesuai untuk golongan kanak-kanak. Tetapi saya dan Hakim tetap juga merasai ‘MADAGASCAR : A Create Adventure’ di mana kami menaiki bot yang dikelilingi suasana sepertimana di dalam Madagascar. 


Secara keseluruhannya, saya sangat berpuas hati dengan pengembaraan di Universal Studio Singapore ini. Dan Insyaallah, sekiranya berpeluang lagi, saya nak pergi lagi di semester akan datang. Bak kata orang, alan-alan dah ada kat Johor ni, baik pergi…hehehe =) 

Apa-apa pun, saya nak fokus kembali kepada akademik dan semua kerja yang tertangguh dan Insyaallah bersedia untuk menempuh minggu peperiksaan akhir semester yang akan bermula pada minggu hadapan. Doakan yang terbaik untuk saya… =) 

Sekian, Wallahua’lam… =) 

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH 
wan_hazem19@yahoo.com

Monday, April 29, 2013

Singapore... Aku Datang !

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Dah lama saya menyepi dari meng‘up-date’ perkongsian-perkongsian, detik-detik manis duka lara, artikel-artikel dan sebagainya lagi di blog yang semakin berhabuk. Tapi apa-apa pun, saya sangat bersyukur kerana purata sehari yang sudi melawat blog saya masih kekal 200 ++ ke atas. Semoga perkongsian-perkongsian manfaat ini dapat memberi satu perubahan dan ilmu buat anda semua yang setia ‘follow’ blog saya ini. 

SINGAPORE…AKU DATANG ! 

Itulah yang cuba ingin saya kongsikan bersama-sama dengan para pembaca blog saya buat kali ini berkenaan pengembaraan saya pagi tadi di Singapore. Singapore adalah Negara ketiga yang saya lawati. Kalau sebelum ini berpeluang ke Indonesia dan Thailand, dan kali ini Singapore menjadi sasarannya yang ketiga. 

Pertamanya saya nak ucapkan ‘Terima Kasih’ kepada Yusrin Faiz (Atlet Sukma Negeri Perlis) kerana sudi ajak saya untuk mengembara ke Singapore. Pengembaraan yang cukup bermakna ini memberi seribu satu ketenangan buat saya setelah berminggu-minggu berdepan dengan suasana program/aktiviti, mesyuarat2 rasmi/tidak rasmi, tugasan-tugasan projek, ujian-ujian dan sebagainya lagi. Dan sekurang-kurangnya pengembaraan saya ini memberi satu impak positif untuk saya melihat suasana baru di Singapore. 

Banyak perkara-perkara baru yang dapat saya tengok dan belajar di sana terutamanya melibatkan ‘hormat-menghormati antara anak muda dengan orang tua’. Ianya memang tidak dapat disangkal terutamanya berkali-kali kejadian tersebut berlaku di depan mata saya ketika di dalam MRT. 

Perjalanan saya ini selama seharian di Singapore ini memberi banyak pengalaman indah ketika di sana. Suasana di sana lebih kurang sepertimana di Malaysia. Tapi keselamatan di sana menampakkan sangat tinggi dan selamat terutamanya di tempat-tempat sunyi. Orang-orang di sana juga agak peramah ketikamana kami menanyakan tempat-tempat yang sesuai dikunjungi di sana. 

 Antara tempat menarik yang sempat kami kunjungi adalah Esplanade Park, Rafalles Palace, Arab Street, Melayu Street, Bugis Junction, Masjid Sultan, Marina Bay dan beberapa tempat lagi. Semuanya kami redah menggunakan public transport. Mengikut perancangan bajet yang betul, Alhamdulillah, perjalanan kami di sana sangat jimat. Siap dapat beli ‘ole-ole’ lagi untuk keluarga. Hehehe… =) 

Sekian, Wallahua’lam… 

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH 
wan_hazem19@yahoo.com

Sunday, April 14, 2013

Campus De'Tour 13 @ Bangkok, Thailand...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Bertemu kembali setelah lama saya menyepi dalam penulisan di blog yang serba ringkas ini. Aktiviti yang padat dan kekangan masa yang berlaku menyebabkan sukar untuk saya luangkan masa bagi berkongsi apa saja yang berlaku di sekeliling ini. Dan entry kali ini, saya ingin kongsikan satu kembara yang cukup best dan mesti dikongsikan… 

“Campus De’Tour 13 @ Bangkok, Thailand” 

Itulah nama program yang saya sertai anjuran Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (MPM UTM) yang diketuai oleh Saudari Nur Faezah Fazal. Program ini dijalankan pada 7 hingga 11 April 2013. Dan penginapan kami adalah di Sawasdee Khaosan Inn Hotel. Kami berlepas dari KLIA terus ke Suvarnabhumi Airport, Thailand yang merupakan antara Airport terbesar di Thailand. 

ALHAMDULILLAH… Antara pengisian akademik yang dilakukan adalah membuat lawatan dan diskusi bersama Pemimpin Mahasiswa di Thammasat University dan Chulalongkorn University. Kedua-dua Universiti ini merupakan antara universiti terbaik di Thailand. 

Banyak perkara dapat dibandingkan semasa berlangsungnya aktiviti ini. Antara perkara yang sangat menarik adalah kemudahan yang ada di sana sangat baik dan mengamalkan kampus lestari. Rata-rata mahasiswanya di sana menggunakan sebaik mungkin setiap kemudahan yang disediakan oleh pihak Universiti. 

Melalui aktiviti ini juga, sedikit sebanyak sempat untuk saya melihat pelbagai jenis ragam mahasiswa/I di sana termasuk ketika mereka sedang melakukan orentasi kepada mahasiswa baru di sana. Saya juga dapat berkenalan dengan ramai kenalan baru di kedua-dua universiti tersebut. Dan saya ucapkan berbanyak ucapan terima kasih kepada Adam selaku Naib Presiden Perwakilan Pelajar di Thammasat University kerana sudi bersama-sama dengan kami sepanjang program ini berlangsung. 

Selain itu, antara aktiviti lain yang sempat kami lakukan adalah lawatan ke sekitar Bandar Bangkok termasuklah melawat beberapa tempat yang sangat menarik iaitu Khaosan Road, The Grand Palace, Menyusuri Sungai Chao Praya, Patpong Night Market, Asiatique The Riverfront, Platinum dan sebagainya lagi. 

Kami juga sempat menggunakan pelbagai kemudahan awam yang ada di sana termasuklah Tuk-Tuk, Boat, Sky Train, Taxi dan sebagainya lagi ketika pergi ke setiap tempat yang dilawati. Ianya sedikit sebanyak membuatkan kembara kami menjadi lebih mencabar. 

Bercakap mengenai makanan di sana. Apa yang boleh saya katakan, makanan halal di sana cukup susah untuk didapati. Cuma beberapa tempat saja yang ada menjualkan makanan halal. Dan yang paling puas saya menikmati makanan halal di sana adalah Yy Supnya yang cukup sedap dengan lauknya ayam, semasa kami dibawa pergi satu lorong yang menjualkan makanan halal di sana. 

Kami juga berkesempatan untuk membuat lawatan delegasi dan diskusi bersama dengan Kedutaan Malaysia di Thailand. Saya cukup berterima kasih kepada pihak Kedutaan Malaysia kerana banyak membantu kami semasa berada di sana. Dan paling best di hari terakhir kami di sana, kami dibawa ke satu Restoran Cili Padi yang menyediakan makanan Malaysia di Thailand. Dan antara menu yang menjadi tarikan saya ialah murtabaknya yang cukup sedap. Hahaha… =)
 

Akhir kata, saya ucapkan berbanyak ucapan terima kasih kepada semua pihak sepanjang program ini berlangsung. Insyaallah, program ini seperti mimpi, kerana saya pernah berazam untuk tahun 2013, antara destinasi tempat yang saya ingin kunjungi adalah Bangkok, dan ianya dapat direalisasikan. Alhamdulillah… untuk destinasi seterusnya, Insyaallah, ianya dalam perancangan untuk akan datang pula… =) 

Sekian, Wallahua’lam… =) 

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH 
wan_hazem19@yahoo.com

Friday, February 1, 2013

Berbakti Sebagai Sukarelawan Di Zoo Negara...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

‘Berbakti Di Children World’ 

Itulah ungkapan yang dapat saya katakan tika mana saya dan kumpulan saya membuat keputusan untuk memilih Zoo Negara sebagai tempat untuk kami lakukan kerja-kerja khidmat bakti iaitu sebagai seorang sukarelawan di sana. 

ALHAMDULILLAH…saya bersama-sama 7 orang lagi dari Barisan Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (MPM UTM) telah menjadi sukarelawan selama sehari sebagai salah satu tugasan ‘Khidmat Bakti’ dalam Program Sua Rasa MPM UTM Bersama Mahasiswa/i UTM KL. 

Kumpulan saya dipecahkan kepada 4 iaitu saya & Irsyad ditempatkan di Children World, Ikmal & Lim Kak Yi di Animal Shows, Ibrahim & Hanif di Sawana World dan Farhana & Syuhada di Ape Centre. Masing-masing seksyen dipantau oleh koordinator di sekyen masing-masing. 

Sebelum itu, saya ingin ceritakan serba-sedikit mengenai apa yang ada di Children World iaitu pelbagai jenis siamang, orang utan, tupai, arnab, ular sawa, ular daun, landak, kambing, kuda kerdil, memerang dan sebagainya lagi. Seksyen ini adalah bahagian yang paling hampir di pintu utama di Zoo Negara. 

Setelah mendengar taklimat serba ringkas, kami ditugaskan membuat pelbagai jenis kerja bagi menampung tenaga kerja di Children World. Dan antara kerjanya ialah membersihkan kawasan sekitar, membersihkan bahagian pameran, membersihkan kandang kuda kerdil iaitu Wizard & Horbit, memberi makan pada pelbagai jenis haiwan seperti arnab, badak air, tupai, landak dan sebagainya lagi. 

Kami juga diberikan pelbagai pengetahuan baru melalui pembaca informasi yang ada di situ, perkongsian dari para pekerja di situ serta melalui pemerhatian yang dibuat sama ada menerusi tingkah laku haiwan tersebut mahupun cara para pekerja di situ mengawal dan berinteraksi dengan haiwan-haiwan di situ. 

Saya juga diberi kesempatan untuk melihat ‘Animal Shows’ dari beberapa haiwan seperti singa laut dan burung kakaktua. Ianya sangat menarik perhatian terutamanya ketika singa laut sedang bermain bola keranjang dan sebagainya. 

Saya juga berpeluang untuk berjalan-jalan di sekitar Zoo Negara dan sempat melihat pelbagai jenis haiwan seperti Harimau Bintang, Singa, Reptilia, Badak Air, Gajah, Zirafah, Penguin, Seladang dan sebagainya lagi. 

Apa yang dapat saya katakan di sini, aktiviti sukarelawan ini cukup memberi saya banyak input dan pengetahuan baru dalam pelbagai jenis aspek terutamanya ketikamana melakukan aktiviti yang belum pernah saya lakukan seperti membersihkan kawasan Kuda Kerdil. 

‘Tiada Apa Yang Mustahil’ 

Idea dan persediaan hanya kurang 12 jam ini dapat dibuat dengan begitu baik dan sedikit sebanyak membuatkan saya terfikir bahawa tiada yang mustahil sekiranya kita benar-benar ingin melakukannya. Semuanya terletak di tangan kita. Percayalah, kita haruslah yakin pada diri kita ! 


Sekian, Wallahua’lam… 

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH 
wan_hazem19@yahoo.com

Tuesday, January 15, 2013

2 Mahasiswa UTM Dapat Geran RM12,000 Yayasan James Dyson...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

JOHOR BAHRU - Dua pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) masing-masing dianugerah geran akademik RM12,000 oleh James Dyson Foundation (JDF) Engineering Grant kerana menunjukkan minat mendalam dalam bidang kejuruteraan. 

Mereka ialah pelajar sepenuh masa program Ijazah Kejuruteraan, Muzaffar Izamuddin Daud (Mekanikal) dan S. Rhubbindran (Mekanikal Aeronautik). 

Setiap mereka mengemukakan borang penyertaan dan esei kepada yayasan yang berdaftar di United Kingdom itu untuk menceritakan secara terperinci kecintaan masing-masing terhadap bidang kejuruteraan serta penerangan tentang projek kejuruteraan yang mereka laksanakan, termasuk menjelaskan cara mereka menangani sesuatu masalah secara inovatif. 

"Saya sungguh gembira dengan kejayaan ini. Ia boleh digunakan untuk membiayai projek kejuruteraan tahun akhir saya," kata Muzaffar, 22, yang bercita-cita menjadi usahawan dalam bidang kejuruteraan atau melibatkan diri dalam bidang penyelidikan dan reka bentuk. 

Rhubbindran, 22, yang bercita-cita menjadi jurutera dengan pasukan lumba kereta Formula Satu Maclaren pula, berkata geran itu diharapkan dapat membantunya memperoleh keputusan lebih baik bagi projek tahun akhirnya. 

Ketua Kejuruteraan Dyson Malaysia, James Gill, yang menyampaikan cek geran berkenaan di UTM hari ini, berkata JDF ditubuhkan untuk memberi geran akademik kepada pelajar sepenuh masa tahun tiga jurusan kejuruteraan serta komited untuk menggalakkan anak muda berfikir secara berlainan, membuat kesilapan serta membentuk dan memantapkan potensi masing-masing dalam bidang kejuruteraan. 

"Daripada menangani aspek kejuruteraan kereta lumba hinggalah kepada pesawat helium, inovasi dan kreativiti yang ditunjukkan Muzaffar dan Rhubbindran, sungguh mengagumkan. Kami bangga kerana dapat menyokong pelajar UTM dengan cara ini," katanya. 

Beliau tidak menolak kemungkinan JDF menambah jumlah geran itu pada masa akan datang, sekiranya pelajar jurusan kejuruteraan mengemukakan esei lebih baik dalam penyertaan mereka. 

Di samping memberi geran kepada pelajar, JDF juga mengendalikan bengkel di beberapa universiti di Malaysia. 

Gill berkata JDF dan para jurutera Dyson menggalakkan pelajar memberi perhatian tentang cara sesuatu produk direka bentuk dan mencabar mereka menghasilkan produk sendiri. 

 UTM menjalin hubungan rapat dengan Dyson dan melahirkan ramai jurutera berkualiti, yang kini turut menganggotai pasukan penyelidikan, reka bentuk dan pembangunan Dyson di Senai, Johor. – Bernama 

Sumber : Sinar Harian 

*TAHNIAH saya ucapkan kepada rakan seangkatan saya, Saudara Muzaffar & Saudara Rhubbindran… Bangga dengan anda berdua…TAHNIAH sekali lagi… =) 

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH 
wan_hazem19@yahoo.com