Wednesday, December 28, 2011

Tapisan Filem-Filem Malaysia Adalah Perlu...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Agak mengejutkan apabila kita membaca pengumuman Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam bahawa berkuat kuasa tahun hadapan, Lembaga Penapis Filem (LPF) tidak lagi menapis sesebuah filem sebelum ditayangkan, sebaliknya peranan itu akan diserahkan kepada pengarah dan penerbit filem itu sendiri. Keputusan itu juga dikatakan meliputi filem luar Negara.

Mengikut Tan Sri Mahmood, keputusan ini diambil selepas mengambil kira pandangan daripada semua pihak yang menjayakan industri perfileman Negara dan demi memenuhi kehendak rakyat yang mahukan kebebasan dalam industri perfileman.



Pada pendapat saya pula, Lembaga Penapis Filem (LPF) masih releven untuk diteruskan dalam menapis sesebuah filem sebelum ditayangkan kerana ianya melibatkan soal sensitiviti masyarakat. Kerana apa hujah saya adalah melibatkan sensitiviti masyarakat ? Ianya adalah melibatkan daya pemikiran ‘orang’ filem dengan masyarakat setempat.

Banyak adegan dan aksi yang akan melibatkan sensitiviti masyarakat seperti adegan seksual, tahyul dan sebagainya. Ini adalah penting kerana rata-rata penontonnya adalah remaja dan anak muda. Dan ianya dianggap tidak sesuai sekiranya penapisan tidak dilakukan kerana segelintir penerbit filem hanya akan memastikan filemnya Berjaya dari segi kutipan berbanding mesej atau teladan yang ingin disampaikan.

Seterusnya anda semua boleh melihat, rata-rata pelakon baru hari ini agak seksi terutamanya ketika beraksi dalam sesebuah filem, drama dan sebagainya. Cuba anda semua perhatikan filem-filem Negara di sekeliling tanah air kita, kebanyakkannya sudah semakin terbuka walaupun menyimpang dari adat dan budaya masyarakat timur terutamanya dari aspek pemakaian dan sebagainya.

Berfikirlah secara waras, adegan yang diluluskan juga kadang-kala sudah dianggap keterlaluan dengan wanitanya yang hanya ‘berkemban’ dan aksi ‘berahi’. Apakah pula keadaannya sekiranya tiada tapisan yang dilakukan oleh pihak bertanggungjawab terhadap filem-filem yang akan datang?

Memang benar, saya merupakan antara salah seorang dari jutaan peminat filem Melayu tetapi pendirian dan pendapat adalah sama sahaja sepertimana apa yang telah diungkapkan di atas. Saya mengharapkan agar dunia perfileman Melayu lebih hebat dengan menjunjung tinggi adat budaya kita.

Sedih sebenarnya apabila melihat dunia hiburan terutamanya dunia perfileman Malaysia hari ini yang rata-ratanya menggunakan unsur seks dan berahi sehinggakan dianggap jelik oleh sesetengah masyarakat yang tidak dapat menerima aksi-aksi berkenaan. Tetapi apa yang akan berlaku sekiranya tiada penapisan yang dilakukan?

Kesimpulannya, saya masih mengharapkan agar pihak yang bertanggungjawab sepatutnya meneruskan usaha dalam menapis filem-filem yang dikeluarkan di Negara kita agar penerbit dan pengarah filem tidak hanyut dengan pemikiran dan karya yang berkait rapat dengan unsur-unsur yang boleh melanggar sensitiviti masyarakat timur.

Sekian, Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com

1 comments:

~nuraini~ said...

saya setuju dgn hujah anda. Sensitiviti masyarakat malaysia yg berbilang kaum ini perlu di jaga. Jika filem yg ditapis pun byk adegan2 yg tidak patut, apatah lg jika tidak ditapis.

Moga2 semua lapisan masyarakat sedar akn kepentingan penapisan filem.