Tuesday, November 8, 2011

AUKU : Apa Pendapat Anda Pula?

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Bulan ini kita digemparkan dengan keputusan mengejut yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan berkenaan dengan Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang melarang mahasiswa menzahirkan sokongan atau bangkangan dalam politik sebagai tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“ Seksyen 15 (5) Tiada seorang pun pelajar Universiti dan tiada pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar Universiti yang ditubuhkan oleh, di bawah atau mengikut Perlembagaan, boleh menyatakan atau melakukan apa-apa jua yang boleh semunasabahnya ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan atau bangkangan terhadap –
(a) Mana-mana parti politik, sama ada di dalam atau di luar Malaysia ; “

Keputusan majority 2 -1 oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Wira Low Hop Bing itu dibuat selepas mahkamah membenarkan rayuan empat penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang didakwa terbabit dalam kempen pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pada April tahun lalu. Ia sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 September 2010 yang memutuskan seksyen berkenaan tidak melanggar Perlembagaan selepas menolak saman pemula mereka.

Seksyen berkenaan melarang pelajar university melakukan apa saja yang boleh ditafsirkan sebagai sokongan atau bangkangan terhadap parti politik sama ada di dalam atau di luar Negara.

Muhammad Hilman Idham, 22 ; Woon King Chai, 23 ; Muhammad Ismail Aminuddin, 23 ; dan Azlin Shafina Mohamad Adzha, 23 ; ditahan polis ketika kempen berkenaan dan kemudian dihadapkan ke lembaga disiplin UKM pada 4 Julai lalu yang mendapati mereka tidak bersalah.

Mereka kemudian memohon perisytiharan mahkamah bahawa Seksyen 15 (5)(a) adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Menurut mereka Artikel 119 Perlembagaan Persekutuan menyatakan warganegara berumur 21 tahun ke atas layak mengundi dan itu adalah penzahiran dan pembabitan dalam politik.

Banyak pendapat yang dapat kita lihat berhubung isu ini di dada-dada akhbar, di facebook dan pelbagai lagi yang cakna dengan isu melibatkan mahasiswa ini. Ada yang bersetuju dan ada juga tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan ini.

Dato’ Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi ada menyatakan di facebooknya bahawa antara matlamat utama untuk membenarkan mahasiswa IPT terlibat dalam politik adalah untuk mematangkan demokrasi Malaysia dengan meluas selain meningkatkan partisipasi rakyat, termasuk belia dan mahasiswa IPT dalam struktur dan proses membuat keputusan.

Ia jelas menunjukkan bahawa semua pihak sekarang harus memberi ruang dan peluang untuk membenarkan mahasiswa terlibat dalam politik ini kerana di universiti sendiri sudah ada unsur-unsur politik yang diterapkan sepertimana berlakunya Pilihanraya Kampus dan Pembentukan Kabinet Mahasiswa. Tiada alasan menyatakan bahawa politik tidak dibenarkan di universiti.

Saya ada juga melihat komen-komen dari pelbagai pihak yang mengatakan bahawa sekiranya mahasiswa terlibat dengan politik, kemungkinan besar akademiknya akan jatuh merudum. Tapi apa yang jelas, tiada mana-mana pihak sehingga sekarang dapat menyatakan FAKTA sebenarnya terhadap kesahihan segelintir individu yang menyatakan sekiranya mahasiswa terlibat dengan politik, akademik akan jatuh. Contohnya peratusan kegagalan mahasiswa di Universiti yang terlibat dengan politik.

Seterusnya ketikamana berlangsungnya Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar IPTA 2010 di Esset, Selangor, majoriti perwakilan yang menghadiri konvensyen berkenaan menyokong sekiranya mahasiswa terlibat dengan politik. Walaupun tidak semua perwakilan dari seluruh Malaysia hadir konvensyen tersebut, sekurang-kurangnya pelbagai pihak yang berada di situ dalam melihat majoriti undian yang dibuat menyokong mahasiswa terlibat dengan politik. Mungkin ini juga boleh dianggap sebagai fakta. Sepertimana berlakunya pilihanraya di sesuatu kawasan, majoriti yang keluar mengundi bukannya 100 peratus. Betul tak?

Selain itu, sebagai cadangan, mungkin setiap universiti dapat mengeluarkan peratusan mahasiswa yang gagal di universiti yang terlibat dengan politik kampus sebagai FAKTA rasmi yang dapat digunakan bagi menyokong dakwaan bahawa jika dibenarkan mahasiswa terlibat dengan politik, akademik mahasiswa akan jatuh.

Saya sendiri berpendapat agar semua pihak wajar menghormati keputusan Mahkamah Rayuan ini disebabkan selagi ianya tidak dipinda, dimansuhkan atau diteliti semula, selagi itulah didesak oleh sesetengah mahasiswa di seluruh Malaysia. Pendapat saya pula berkenaan dengan AUKU ini, saya tidak bersetuju sekiranya ianya dimansuhkan dan saya menyokong jika AUKU diteliti semula serta mengambil kira pandangan seluruh mahasiswa.

Akhir kata, saya mengharapkan agar setiap keputusan yang dibuat, seluruh mahasiswa haruslah menghormati setiap pendapat yang diberikan oleh setiap individu agar perpecahan di kalangan mahasiswa hanya disebabkan berlainan pendapat dan ideologi tidak akan berlaku. Kerjasama serta hormat-menghormati antara satu sama lain lebih penting sepertimana dituntut dalam Islam.

Sekian, Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com

1 comments:

Leftenan Muda Mohd Adhwa Yahaya said...

Himpit dan sempitkan lah lagi, ade aku kisah... aku cakap kat ko laa hei penggubal, banyak lagi laa jalan dakwah, jalan juang... x gentar sikit pun. ko tu sapa... manusia juga, yang di jadikan Tuhan. Tuhan tu Maha Kuasa, Dia boleh jadikan ap yang Dia nak "Kun faya kun" . Enteng je... ko susah2 nak gubal undang2 baru, eleh, abiskan masa, buang duit untuk lawan hukum Tuhan. Wallahi, x gentar la!