Friday, September 16, 2011

Majlis Pecah Tanah Hab Pendidikan Bandar Universiti Pagoh...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Alhamdulillah, hari ini saya berpeluang untuk bersama-sama dengan ribuan mahasiswa dan pelajar bagi Majlis Pecah Tanah Hab Pendidikan Bandar Universiti Pagoh yang telah disempurnakan oleh YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran Malaysia.

Majlis berlangsung di Pagoh, Muar, Johor dan turut diserikan oleh YAB Dato’ Haji Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor dan YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia.

Saya merasakan cukup tertarik dengan pelaksanaan sebuah Bandar Universiti yang julung kalinya diwujudkan di Negara kita, Malaysia ini. Hab Pendidikan yang diketengahkan mengambil kira pelbagai bidang termasuk peluang pekerjaan yang akan bertambah.

Fasa Pertama Hab Pendidikan ini akan melibatkan empat buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Tempatan iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Pusat Penyelidikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Politeknik Pagoh.

Fasa Pertama ini juga berkemampuan untuk menampung sebanyak 14,000 penuntut. Hab Pendidikan Pagoh ini juga meliputi kawasan seluas 400 hektar daripada keseluruhan kawasan seluas 1,600 hektar yang akan dibangunkan sebagai Bandar Universiti Pagoh.

Kos keseluruhan pembinaan hab pendidikan ini merangkumi beberapa fasa sehingga tempoh 15 tahun dijangka menelan sehingga antara RM5 billion hingga RM6 billion. Projek ini juga akan dilaksanakan mengikut fasa secara Perkongsian Awam Swasta (PPP) yang mana pembiayaaannya adalah menerusi kaedah ‘Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI)’.

Saya mengharapkan dengan kewujudan Hab Pendidikan Bandar Universiti Pagoh ini, Malaysia lebih mengutamakan generasi akan datang dalam bidang ilmiah. Insyaallah…Malaysia juga bakal melahirkan banyak saintis muda, pakar-pakar dalam pelbagai bidang dan sebagainya lagi dan seterusnya menjadikan sebuah Negara yang maju dalam sistem pendidikannya. Insyaallah…

Sumber : Bernama

Sekian, Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com

0 comments: