Tuesday, September 13, 2011

Faktor Yang Menggugat Kesucian Hati Mahasiswa Baru di IPT...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Beberapa hari yang lalu, saya ada terbaca satu penulisan yang cukup bermanfaat kepada diri saya serta semua sahabat-sahabat saya yang masih dalam proses pembelajaran di alam universiti. Penulisan yang begitu bermotivasi itu sedikit sebanyak dapat memberi laluan atau peringatan kepada semua sahabat-sahabat saya dalam mengharungi liku-liku bergelar seorang mahasiswa.



Penulisan yang ditulis oleh Dr. Siti Hamidah dari Fakulti Kejuruteraan Kimia UTM ini amat penting untuk kita semua memahami dan meneliti faktor-faktor yang boleh menggugat ‘kesucian’ hati dan diri para pelajar baru di universiti.

1. CINTA. Ini faktor utama yang boleh menyebabkan kerosakan besar kepada semua pihak (pelajar, keluarga, universiti, masyarakat). Sudah banyak kisah mengenai pelajar yang terlalu makhsyuk bercinta sehingga gagal menamatkan pengajian. Betapa ramai pelajar-pelajar bijak yang hanya mendapat keputusan sederhana (tidak cemerlang) disebabkan bercinta.
Tips: Buangkan jauh-jauh rasa ingin bercinta di dalam hati. Ingat, kita ada tanggungjawab yang perlu dibereskan selama 4/5 tahun ini. Cinta di kemudian hari sewaktu kita sudah berjaya cemerlang menggenggam segulung ijazah adalah lebih bermakna.

2. LEMAH KAWALAN DISIPLIN DIRI. Maklumlah, di universiti sudah tiada siapa yang akan menjaga kita. Tiada warden yang akan mengawal pergerakan kita di asrama, tiada guru yang akan mengambi berat hal diri dan hal pribadi kita. Jika ingin tidur sepanjang hari dan tidak pergi ke kuliah pun, tiada siapa yang kisah. Hanya tunggu di akhir semester apabila mendapat status 'gagal' dalam subjek yang kita abaikan.
Tips: Set mind bahawa kehidupan di universiti amat mencabar kekuatan diri kita. Kita hanya akan berjaya sekiranya dapat mengawal dan menjaga disiplin diri dengan baik. Ingat! Berjaya cemerlang, sederhana atau gagal di universiti adalah 100% atas usaha kita sendiri.

3. KETAGIH MAIN GAME/MEDIA SOSIAL. Generasi muda sekarang dan komputer/internet/media sosial memang tidak dapat dipisahkan. Namun seperti semua perkara yang lain, jika sesuatu itu diamalkan secara berlebihan, ia akan menjadi ketagih. Apabila ketagih, fikiran dan otak akan dikuasai olehnya maka sukar untuk kita memberi tumpuan kepada pelajaran. Seseorang yang telah ketagih facebook contohnya, akan memikirkan dan mencuri-curi melihat fb ketika pensyarah sedang mengajar. Jika ini caranya, mana mungkin akan cemerlang di dalam subjek tersebut.
Tips: Bahagikan masa untuk bermain game dan melayari internet. Kawal keinginan dan diri sendiri agar mengutamakan mengulangkaji dan membuat latihan. Apabila siap semuanya, barulah enjoy!

4. MENGABAIKAN TIDUR YANG CUKUP. Mengapa? Berchatting, fb, berbual dan bergosip (mengumpat) dengan kawan, bergayut di telefon, menontol EPL dan CL, dan banyak lagi. Apabila tidur pada pukul 3 atau 4 pagi, bagaimana untuk bangun pada pukul 6 dalam keadaan fresh? Bagaimana untuk memulakan kelas pada pukul 8 dalam keadaan bersemangat?
Tips: Pastikan mengikut rutin tidur yang tetap. Kemudian bangun awal untuk solat, mengaji dan berjalan-jalan/bersenam di luar asrama sambil menghirup udara pagi yang segar. Pasti akan bersemangat ke kelas.

5. MENGABAIKAN ASPEK SPRITUAL. Jika di asrama dahulu diwajibkan solat berjemaah, zikir munajat selepas solat, mengaji dan qiamullail, kini di universiti TIADA siapa yang akan menjaga dan mewajibkan kita berbuat demikian lagi. Pandai-pandailah sendiri untuk mendekatkan diri kepada Allah. Solat makin leka, mengaji jarang sekali, qiamullail tidak terlintas. Lama kelamaan barulah terasa diri kosong dan tidak sama seperti dahulu lagi...Wajah semakin keruh dan hati tidak bahagia.
Tips: Cuba untuk solat awal waktu dan pastikan cuba untuk mengaji sekurang-kurangnya 2 kali sehari; selepas maghrib dan subuh. Pasti hati akan bahagia.

6. TIDAK SEDAR DIRI. Atau telah lupa siapakah diri kita sebenarnya. Ingat bahawa kita adalah KHALIFAH (bertanggungjawab memakmurkan bumi) dan HAMBA (mematuhi semua suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya).
Tips: Didik hati untuk sentiasa mengingati mati. Ini adalah cara untuk melembutkan hati dan mengawal nafsu diri kita.

7. TIDAK MENGHORMATI PENSYARAH. Pensyarah tidak pandai mengajar. Pensyarah sombong. Pensyarah pelik perangai. Pensyarah kedekut markah. Semua pemikiran ini akan merugikan diri sendiri. Fikiran negatif akan mempengaruhi diri kita untuk bertindakbalas secara negatif. Pensyarah akan dapat menilai siapakah pelajarnya yang benar-benar ikhlas untuk belajar, dan yang menghormatinya. Pensyarah juga akan dapat membaca body language pelajar yang tidak berminat. Saya ingin memetik kata-kata seorang pemimpin pelajar yang kini menyambung pelajarannya di peringkat PhD di UTM, yang menulis di status facebooknya:
"Kpd adik2 baru memdaftar. Selamat menjadi sbhagian dri legasi UTM, Universiti Terbaik Malaysia=) Tolong blajar. 60% quiz, test, assignment n bonus! 40% Final! The Key is Focus and RESPECT and LOVE ur Lecturer.. I have Practice It For 4 years and What I Can Say Is Its GREAT! Selamat maju jaya adik2ku"

8. TERLUPA PENGORBANAN DAN HARAPAN IBU BAPA. Pejam mata, dan ingatlah betapa gembiranya mereka apabila kita berjaya melangkah kaki ke universiti. Harapan mereka amat besar untuk melihat kita berjaya dan terus berjaya. Jangan musnahkan segalanya dengan mengikut kata hati dan kelemahan diri, sedangkan Allah telah mengurniakan kita dengan akal yang bijak untuk menilai baik buruk sesuatu perkara.

9. TIDAK MENETAPKAN SASARAN KEJAYAAN YANG BESAR. Apakah mendapat CPA=4 di akhir semester adalah mustahil? TIDAK. Ia hanya mustahil sekiranya kita tidak menetapkan sasaran untuk mencapainya.
Tips: Melangkah ke semester baru mestilah dengan azam untuk mendapat CPA 4. Seterusnya selalu membayangkan di dalam fikiran keputusan tersebut telah diterima di akhir semester kelak. Jika fikiran kita yakin, pasti usaha, daya pemahaman dan tingkahlaku kita akan menuju kearah mencapai cita-cita tersebut.

Sumber : Blog Dr. Siti Hamidah

Sekian, Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com

4 comments:

SAM said...

setuju dan tidak setuju

Miss Lady Iena Nazir said...

dengar 2..

slamat study ye adik2..

majulah anda di utm.

kekeke....

serizawa's said...

setuju..!!!

cahaya said...

Sangat bersetuju... sangt berharap agar para senior utm dapat pimpin saya bgaimana nk dpt cpa 4... sangat terigin nk berjya~
stuju~ di utm, 100% adlah dri plajar itu sendiri...