Friday, September 23, 2011

Hijrah Ke Arah Yang Lebih Baik...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Sabda Nabi s.a.w.:
“Seorang Muslim adalah seseorang yang kaum Muslimin selamat dari gangguan lisan dan tangannya dan seorang muhajir (orang yang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah.”
– Hadis riwayat Imam al-Bukhari

Alhamdulillah, Jumaat yang ceria pada hari ini membuatkan satu terfikir untuk berkongsi sedikit pendapat, pandangan dan memberi cebisan ilmu untuk kita semua sama-sama menghayati dan berfikir bersama-sama dengan saya.

Hadis yang saya tampilkan pada permulaan penulisan bagi kali ini adalah berkaitan dengan penghijrahan. Terpegun saya apabila melihat satu persatu Pelakon dan Penyanyi yang seringkali dianggap sebagai ‘IKON’ atau ‘IDOLA’ kepada para remaja hari ini yang berani tampil membuat penghijrahan dengan kembali kepada agama.

Sebelum itu, saya ingin mengucapkan ‘SYABAS’ dengan penghijrahan yang dilakukan termasuk dengan menampilkan diri dengan sifat atau aura seorang muslimah sejati kepada Diana Amir, Irma Hasmie, Nora, Ramlah Ram, Catriona Ross dan sebagainya lagi. Saya doakan kebaikan untuk anda semua. Dan saya akan menyokong dengan penghijrahan tersebut. Insyaallah…

Saya ingin membawa semua pembaca blog saya berkenaan dengan penghijrahan ini. Benarlah, bahawa setiap manusia pasti boleh berubah kepada kebaikan. Tidak mustahil sejahat mana pun, sedegil mana pun seseorang hamba Allah itu, jika NUR ILLAHI itu datang, ianya pasti berubah.

Sedih juga apabila melihat pelbagai tohmahan yang dilemparkan sekiranya seseorang sahabat atau kawan kita itu ingin berubah atau berhijrah ke arah kebaikan. Saya percaya, jika diri kita ini kuat atau bertekad untuk berubah, Insyaallah…ALLAH akan bersama-sama dengan kita.

‘Segala Amalan Adalah Berdasarkan Dengan Niat’

Oleh itu, niat untuk berhijrah itu amat penting dan mestilah ikhlas kerana Allah. Saya kagum apabila melihat beberapa sahabat saya yang mula mengenakan tudung. Saya menyokong mereka ini walaupun perubahan atau penghijrahan itu tidak dilakukan secara drastik.

Saya faham penghijrahan yang dilakukan itu perlulah perlahan-lahan agar kita selesa dalam melakukan penghijrahan tersebut. Dan saya sedikit terkilan sekiranya perubahan yang dilakukan oleh sahabat-sahabat kita ini disalahertikan.

Apa-apa pun, saya amatlah berharap agar kita semua menyokong setiap penghijrahan dan perubahan yang dilakukan ke arah kebaikan oleh sahabat-sahabat kita. Saya juga memesan pada diri saya sendiri dan sahabat-sahabat diri yang lain, agar kita saling nasihat-menasihati ke arah yang lebih positif. Insyaallah…

Sekian, Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran & Pembangunan Tanah
Fakulti Geoinformasi dan Harta Tanah
Universiti Teknologi Malaysia
wan_hazem19@yahoo.com

0 comments: