Saturday, July 7, 2018

Tempat-Tempat Menarik di Macau (Macao Peninsula & Taipa)...

Assalamualaikum...
Salam Perpaduan...
Salam Sayangi Malaysiaku...

Baru-baru ini aku ada kongsikan serba-sedikit pengalaman aku mengembara secara solo ke Macau menerusi flight direct dari Kuala Lumpur ke Macau International Airport (tanpa memasuki Hong Kong). Perkongsian aku ini adalah sekadar untuk berkongsi kerana rata-rata rujukan aku menerusi blog / facebook kebanyakannya hanyalah trip Hong Kong + Macau dan terlalu kurang yang memberi fokus kepada Macau sahaja. Disebabkan aku pernah ke Hong Kong, so trip kali ini lebih berfokus ke Macau sahaja selama beberapa hari.


Untuk perkongsian mengenai tempat-tempat menarik di sini, aku akan cuba pecahkan kepada 2 iaitu pertamanya Taipa dan keduanya adalah Macao Peninsula untuk dijadikan rujukan buat mereka yang akan travel ke Macao di masa akan datang. Insyaallah...

TEMPAT-TEMPAT MENARIK DI TAIPA, MACAU...

1. Taipa Houses 




Tarikan utama di sini adalah terdapat 5 buah bangunan seni bina Portugis, berlatarbelakangkan kolam yang dihiasi bunga teratai di musim bunga. Dibina pada tahun 1921, bangunan-bangunan ini adalah rumah bagi keluarga pegawai awam Portugis, atau Macanese. Kini, ia dibuka kepada orang ramai sebagai kompleks muzium. Masuk percuma!

2. Museum of Taipa and Coloane History


Di sini korang boleh kenali sejarah dan budaya Coloane dan Taipa menerusi pameran dan artifak pertanian, kraftangan dan seni bina bangunan di sini. Anda juga akan dapat memahami tentang pembangunan moden politik dan ekonomi Coloane dan Taipa.

3. Cunha Street


Di sini adalah deretan kedai-kedai menjual makanan dan cenderahati. Banyak galeri, kedai dan kafe di sini yang menjadikan ia tumpuan komuniti kreatif dan juga pelancong. Kat sini aku tak jumpa makanan halal. Tapi aku just sempat merasa pelbagai aneka Biskut Badam yang dibuat secara panas-panas dan semestinya Tat Telur Portugis (Lord Stow's Bakery) yang dijual dengan harga 9MOP sebiji.

4. Our Lady of Carmo Church


Adalah sebuah gereja yang dibina di atas bukit yang menghadap pemandangan indah di Taipa Village. Ia dibina pada tahun 1885.

5. Carmo Hall 


Sepanjang anda berjalan untuk ke Carmo Hall, anda akan lihat pelbagai bangunan yang dicat dengan warna kuning, biru dan hijau yang menampilkan budaya Macanese. Carmo Hall adalah pusat aktiviti di mana persembahan kebudayaan, acara rekreasi dan sebagainya dilakukan di sini.

*Untuk ke semua tempat diatas, korang boleh naik shuttle bus free dari Macau Airport / Taipa Ferry Terminal (naik bus warna coklat untuk ke Galaxy Macau), then korang kaki sikit dalam 10 minit setelah lintas jalan di depan Galaxy Macau then nanti korang terus ja jumpa sebab kawasan sini banyak tempat-tempat menarik.

6. Galaxy Macao




Seni bina hotel & casino mewah di sini yang begitu mewah dan sangat cantik.

7. The Venetian Macao





Di sini sebenarnya sangat menarik dan sangat besar. Terdapat gondola air ala Venice dan awan tiruan yang sangat menarik di dalam bangunan.

8. The Parisian Macao




Di sini, korang boleh tengok Eiffel Tower dan pelbagai lagi benda-benda menarik di sini yang mengambilkira seni bina Parisian.

9. Studio City Macao




Di sini lebih kepada aktiviti-aktiviti yang ala-ala filem sebab di sini ada ferris wheel yang sangat unik kerana ia berbentuk seperti nombor 8 dan ia juga ferris wheel yang tertinggi di Asia. Di sini juga terdapat Batman Dark Flight.

10. City Of Dreams


Di sini lebih kepada tempat membeli belah yang mewah dan di sini juga ada Hard Rock Cafe serta robot penyambut tetamu.

TEMPAT-TEMPAT MENARIK DI MACAO PENINSULA, MACAU...

1. Ruins Of St. Paul's


Ia adalah tinggalan kompleks Gerja Mater Dei (dibina dari tahun 1602 - 1640) dan Kolej St. Paul. Ia juga dikenali sebagai 'Gerbang Tiga Besar' oleh orang tempatan kerana dindingnya yang kelihatan seperti gerbang China yang tradisional.

2. Macao Museum



Muzium ini terletak di atas Mount Fortress bersebelahan dengan Ruins Of St. Paul's. Alang-alang sudah disitu, tidak rugi berkunjung ke Muzium ini untuk mempelajari tentang sejarah Macao.

3. Mount Fortress


Kubu ini siap dibina oleh kaum Jesuit pada tahun 1626. Ia berbentuk trapezoid dan berkeluasan 10,000 meter persegi. Ia merupakan struktur pertahanan ketenteraan utama Macao di zaman dahulu.

4. Senado Square


Dataran ini diturap dengan batu 'cobble' hitam putih bercorak ombak dan dikelilingi oleh bangunan gaya barat yang dibina pada abad ke-19 dan ke-20. Ia membuatkan seolah-olah berada di Eropah.

5. Leal Senado Building


Dibina dengan seni reka Eropah Selatan pada tahun 1784 sebagai Pejabat Perbandaran Macao. Reka bentuk perpustakaan di tingkat satu adalah seperti Perpustakaan di Istana Mafra, Portugal.

6. Holy House of Mercy



Diasaskan sebagai pusat kerja amal oleh Bishop Macao yang pertama. Di sinilah terletaknya hospital barat pertama di China, taman asuhan kanak-kanak dan juga rumah anak yatim. Bangunan ini dibina pada tahun 1569, tetapi struktur neo-klasik yang dapat dilihat kini dibina pada tahun 1905.

7. Mandarin's House



Kediaman keluarga tokoh sastera Zhen Guanying. Struktur yang berkeluasan 4,000 meter persegi ini dibina pada tahun 1869. Rek bentuk luaran rumah menunjukkan unsur seni bina Cina manakala reka bentuk dalaman rumah menunjukkan pengaruh gaya barat.

8. A-Ma Temple


Tokong terkenal ini adalah tempat persinggahan wajib bagi kebanyakan pelancong. Tokong ini dibina untuk Dewi Laut 'Mazu' dan telah wujud sebelum Macao. Asal-usul nama 'Macao' dikatakan datang dari nama tokong ini ; A-maa-gok.

9. Maritime Museum


Selain koleksi model dan diorama kapal dan pesawat laut, muzium ini juga memaparkan Sejarah Maritim Cina dan Portugal menerusi pelbagai pameran interaktif.

10. Macau Fisherman's Wharf


Pusat pelancongan dan hiburan pertama yang bertema, terletak berdekatan kawasan dermaga dan pelabuhan. Dengan seni bina Eropah dan Amerika Syarikat, bangunan tersebut juga menempatkan hotel, pusat membeli-belah, restoran dan sebagainya.

11. St. Dominic's Church



Dibina oleh Dominican Priests pada tahun 1587, merupakan gereja pertama yang dibina di China, dan pada mulanya dibina dari bilah kayu. Reka bentuk gereja adalah mewah. Muzium kecil juga terdapat di sini yang mempunyai hampir 300 artifak Kotolik Macau.

12. Moorish Barracks


Bangunan ini berunsurkan seni bina Mughal dan juga Gotik. Asalnya ia dibina untuk menempatkan lebih 200 rejimen askar dari Goa yang dibawa masuk untuk memperkuat sistem keselamatan Macao. Kini bangunan ini berfungsi sebagai ibu pejabat Biro Marin dan Air, tetapi pelancong boleh mengambil gambar di sekitar beranda bangunan ini.

13. Macao Tower


Dengan ketinggian 338 meter, terdapat pelbagai aktiviti lasak seperti Bungee Jumping, Skywalk, Skyjump dan aktiviti memanjat di menara ini. Macao Tower ini merupakan tempat santai dan hiburan. Boleh membeli belah, menonton wayang, dan juga bersantai di kafe dan restoran sambil melihat pemandangan indah bandar Macao.

14. Guia Fortress (including Guia Chapel & Guia Lighthouse)




Guia Fortress ini dibina pada 1622 dan merupakan puncak tertinggi di Macao dengan pemandangan seluruh semanjung Macao. Guia Fortress ini mengandungi Guia Chapel dan Guia Lighthouse. Untuk naik ke puncak ini, korang perlu menaiki cable car dari Flora Garden dengan hanya 3MOP untuk return.

15. Grand Prix & Wine Museum


Muzium ini antara muzium yang wajib untuk dilawati tetapi apakan daya sekarang muzium ini dalam proses renovation. So, aku tak berpeluang untuk masuk melihat pameran yang amat-amat menarik di sini.

16. Golden Lotus Square


Golden Lotus Square adalah antara tarikan terbaru pelancongan di Macau yang meraikan kedaulatan Macau.

17. Grand Lisboa Macao


Grand Lisboa ini merupakan salah satu mercu tanda kemewahan hotel dan casino di Macao. Dengan senibinanya yang unik dan berwarna emas, ianya menampilkan lagi kemewahan yang terdapat di sini.


Cukuplah setakat ini gambar-gambar yang aku dapat kongsikan. Kalau ikutkan banyak lagi gambar aku nak upload, tapi biarlah ia jadi kenangan buat aku saja...hahaha ;)

Ok, ini saja yang sempat aku kongsikan dan aku pergi sepanjang beberapa hari di Macao ketikamana sedang musim panas yang sangat-sangat panas berbanding Malaysia. Bagi aku secara keseluruhannya, Macao sememangnya menarik untuk dilawati dan perbelanjaan sebanyak RM594.48 ini adalah cukup berbaloi untuk aku menerokai Macao secara solo. 

Apa-apa pun, aku ucapkan sekali lagi ucapan terima kasih kepada semua pihak yang membantu aku untuk memudahcara sepanjang aku berada di sana. Apa-apa pun, semoga entry ini mendapat manfaat dan dapat memberikan sedikit sebanyak info buat rakyat Malaysia yang ingin mengembara secara solo ke Macao. Aku ada satu buku menarik sebagai rujukan untuk anda berserta MAP, kalau ada yang berminat bolehlah contact aku via emel aku.

Di bawah ini adalah link-link tempat menarik di beberapa tempat / negara yang telah aku lawati iaitu :-
1. Seoul, South Korea
2. Gold Coast, Australia
3. Hong Kong
4. Yogyakarta, Indonesia
5. Manila, Philippines
6. Singapore
7. Osaka, Japan
8. Kyoto & Kobe, Japan

Sekian, wallahua'lam... doakan aku dipermudahkan untuk travel ke Negara yang ke-13 pulak selepas ini...yeahhh ;)

Ikhlas dari,
WMHMY
wan_hazem19@yahoo.com
My Instagram : @catatanajim

0 comments: