Friday, November 25, 2011

Pelajar IPT Boleh Berpolitik...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak semalam mengotakan janjinya untuk lebih terbuka memberi kebebasan kepada rakyat dengan mengumumkan hasrat kerajaan meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974 yang akan membenarkan penuntut mencapai usia 21 tahun menyertai parti politik.

Namun, bagi menjaga kepentingan peranan universiti sebagai institusi pendidikan, politik kepartian dilarang dibawa ke dalam kampus.

Perdana Menteri berkata, langkah berkenaan sebagai menghormati hak Perlembagaan mahasiswa negara yang kebanyakannya sudah mencapai umur baligh undang-undang atau 'age of majority'.

“Kerajaan akan membenarkan mereka menjadi ahli politik, tetapi bertegas tidak akan sekali-kali membenarkan politik kepartian dibawa ke dalam mana-mana kampus,” katanya ketika membentangkan usul pembatalan Proklamasi Darurat, di Parlimen semalam.

Beliau juga berkata, kerajaan percaya terhadap kematangan dan kebijaksanaan mahasiswa dan mahasiswi di negara ini.

“Ia sejajar dengan semangat pembaharuan undang-undang negara supaya selaras kehendak semasa dan mengukuhkan lagi usaha kerajaan memastikan negara sentiasa ke hadapan, mengimbangi antara keselamatan kebangsaan dan kebebasan individu,” katanya.

Najib juga menjelaskan kerajaan pada prinsipnya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang didakwa terbabit dalam kempen pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.
“Ini kerana keputusan mahkamah itu mempunyai implikasi terhadap prinsip undang-undang negara,” katanya.

Oktober lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan Seksyen 15 (5) (a) AUKU yang melarang penuntut universiti menyertai politik bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan serta menyekat kebebasan bersuara pelajar.

Sumber : Berita Harian

‘Pelajar IPT Boleh Berpolitik’ itu yang hangat diperkatakan sekarang dan terhidang meluas di dada akhbar dan sebagainya. Saya juga sebagai seorang mahasiswa menyambut baik keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan ini berkenaan dengan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1974.

Sebagai mahasiswa yang berumur lebih 21 tahun, saya merasakan ianya sebagai keputusan yang cukup baik dibuat oleh pihak Kerajaan Persekutuan. Kita acapkali mendengar rintihan dan desakan dari pelbagai pihak yang merungut dan mempertikaikan mengenai Seksyen 15 AUKU 1974 ini.

Keputusan yang dibuat seharusnya menjadi satu transformasi baru supaya setiap mahasiswa yang berumur melebihi 21 Tahun berhak untuk memilih hobi atau hala tuju yang diingini tatkala penglibatan dengan politik luar di luar kampus.

Saya juga amat bersetuju dengan keputusan Kerajaan agar politik kepartian dilarang dibawa ke dalam kampus atas alasan sebagai menjaga peranan universiti sebagai medan bagi memperolehi ilmu-ilmu akademik dan sebagainya.

Sekarang ini juga kita dapat melihat pelbagai reaksi dan maklum balas dari kalangan mahasiswa terhadap isu ini. Ada yang bersetuju kegembiraan dan ada juga yang membantah. Tapi apa yang dapat saya katakan ianya sebagai langkah awal untuk kita memastikan bahawa peranan mahasiswa itu sendiri dapat mengubah mengikut perubahan semasa.

Sekurang-kurangnya setiap mahasiswa itu dapat melihat sendiri pidato atau ucaptama dari orang-orang politik yang dikagumi samada di pihak Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat tanpa terikat dengan apa-apa undang-undang yang boleh membuat mereka digantung atau disabitkan dengan undang-undang universiti.

Banyak juga ahli-ahli politik Malaysia yang mengambil berat terhadap isu-isu yang melibatkan mahasiswa ini. YB Khairy Jamaluddin, YB Nurul Izzah Anwar, YB Dato’ Saifuddin Abdullah dan sebagainya lagi sentiasa kedengaran suara-suara pemimpin ini membahaskan atau memperkatakan apa saja perkara yang melibatkan mahasiswa.

Dan apa yang saya harapkan sekarang ini, setiap mahasiswa yang berkelayakan (umur 21 tahun ke atas), pilihlah apa yang terbaik untuk diri anda. Politik ini sebenarnya kadangkala dapat memperlihatkan anda dengan pelbagai jenis situasi yang membuatkan anda berfikir sama ada untuk memilih yang lurus ataupun yang bengkok.

Sekian, Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com

2 comments:

Unknown said...

Masing2 ada kebaikan dan keburukan. Semuanya bergantung kpd sesiapa yg terlibat dgnnya.

WMHMY said...

Setuju dengan pendapat saudara Azekzk... =)