Sunday, March 13, 2011

Simfoni Budaya Negeri Kelantan...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

“Simfoni Budaya” anjuran Persatuan Penggiat Seni Budaya, Warisan dan Pelancongan Kuala Krai Kelantan (Pewaris) yang bertempat di Dewan Taman Rekreasi Jalan Peel Kuala Lumpur pada 11 Mac 2011 merupakan satu bentuk program bagi mengenalkan seni budaya Kelantan ke masyarakat luar.



Saya merasakan program seperti cukup memberi manfaat kepada tetamu yang hadir sekiranya ia diadakan dengan lebih sempurna atau lebih teratur. Dan saya sebagai tetamu yang hadir menganggap ianya satu peluang yang cukup baik untuk saya mengenali seni warisan yang belum pernah saya lihat di depan mata. Antaranya, Menora, Makyung, Silat Cantik, Tomoi Siam dan Dikir Barat.

Asal 'Menora' adalah daripada kerajaan Legor yang merangkumi kawasan Selatan Siam dan Utara Tanah Melayu. Legor telah berada sejak tahun TM400 dan hilang apabila orang-orang Utara menguasainya dalam tahun 1250, tetapi menora masih bernafas hingga kini. menora adalah hak milik kita, warisan budaya kita yang harus dipertahankan kewujudannya dan dipelihara dari hilang ditelan zaman.

“Makyung” merupakan sejenis tarian Melayu traditional. Drama tari Mak Yong ini merupakan sebagai suatu bentuk drama-tari Melayu yang menggabungkan unsur-unsur ritual, lakonan dan tarian yang digayakan, muzik vokal dan instrumental, lagu, cerita dan teks percakapan yang formal dan bersahaja. Drama-tari ini dipertontonkan terutamanya di Kelantan, Terengganu , Patani, Kedah, Perlis serta di Kepulauan Riau - Indonesia.



“Silat Cantik” ini mengabungkan keindahan gaya gerakan tari silat dan juga kehebatan pesilat menewaskan lawannya. Diawal pembelajaran, murid-muird akan diajar cara bertari silat dengan baik terlebih dahulu. Apabila tari sudah kemas dan cantik, diajar pula cara bertapang (tapak empat). Ia adalah cara bertari sambil melangkah dalam 4 penjuru. Setelah boleh bertari dan bertapang barulah diajar cara berlawan(bergomol). Didalam silat ini tujuan bertarung adalah untuk menjatuhkan pihak lawan. Teknik-teknik seperti tumbukan dan tendangan adalah dilarang sama sekali. Ia hanya menggunakan kebijaksanaan pesilat untuk menjatuhkan lawan mereka. Jika dilihat secara kasar ianya sama seperti seni bela diri dari jepun seperti sumo dan judo.

“Tomoi Siam” adalah seni mempertahankan diri yang dipercayai wujud sejak lebih 2,000 tahun lalu. Seni tempur Siam ini berkembang sejak beberapa dekad lalu dan menjadi sukan gelanggang utama di Thailand. Seni yang diadaptasi daripada kemahiran berperang tentera Thai ini menjadi seni bela diri rakyat - baik di kalangan lelaki atau wanita. Malah, ia menjadi sebahagian daripada warisan kebudayaan masyarakat Thailand. Muay Thai atau bermaksud tinju bebas adalah seni mempertahankan diri yang mewakili pelbagai unsur bela diri utama. Teknik serangannya hampir menyamai seni bela diri Pradal Serey di Kemboja, Lethwei (Myanmar), Kali (Filipina), Jun Fan dan pencak silat Melayu. Sejarah awal kewujudan Muay Thai tidak dapat dipastikan tetapi sejarah perkembangannya banyak dikaji. Ini termasuk ketika peperangan Thailand dan Myanmar yang membawa kepada terciptanya dua teori.

“Dikit Barat” adalah suatu permainan tradisional yang paling digemari oleh masyarakat Melayu di Kelantan. Ia wujud di kalangan masyarakat biasa di kampung kampung dan pinggir bandar. Di dalam persembahan Dikir Barat terdapat satu kumpulan yang diketuai oleh seorang Tukang karut dan Tok Juara. Mereka akan mengarut sambil berbalas - balas pantun dan diikuti oleh awak awak sebagai suara latar dengan suara yang kuat dan lantang. Dikir barat ini boleh dipersembahkan sebagai hiburan atau pun dipertandingkan. Permainan ini biasanya dimainkan oleh masyarakat di musim menuai padi dan juga di majlis perkahwinan. Pertandingan selalunya diadakan oleh persatuan-persatuan belia tempatan, badan-badan kerajaan ataupun orang-orang tertentu untuk mengutip wang.

Akhir kata, perkongsian ilmu ini diharapkan pembaca blog semua dapat mengetahui serba-sedikit mengenai seni budaya warisan negeri Kelantan yang cuba dipertahankan agar tidak tenggelam dek perubahan zaman. Insyaallah…

Sekian, Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
Diploma Pengurusan Harta Tanah
Universiti Teknologi Malaysia International Campus
wan_hazem90@yahoo.com

0 comments: