Thursday, March 3, 2011

Mahasiswa Berkualiti, Agen Transformasi Masyarakat...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…



Mahasiswa merupakan generasi pelapis bagi hampir setiap bidang atau perkara yang telah mereka mahirkan ketika mana masih menuntut di universiti mahupun tempat menuntut ilmu. Sedarkah kita, masih banyak perkara yang perlu kita mahirkan lagi sama ada berkaitan dengan kepimpinan, keyakinan diri dan sebagainya.

Faktor utama yang menyebabkan mahasiswa sekarang kelihatan agak mundur dari aspek selain dari bidang keilmuan adalah faktor psikologi dan faktor sosiologi. Psikologi bermaksud kajian tentang proses mental dan pemikiran, terutamanya berhubung dengan perlakuan manusia dan haiwan; pola pemikiran dan perlakuan seseorang atau sesuatu kumpulan tertentu; dan kebijaksanaan memahami sifat manusia.

Manakala sosiologi pula membawa maksud ilmu yang membicarakan apa yang sedang terjadi saat ini, khususnya pola-pola hubungan dalam masyarakat serta berusaha mencari pengertian-pengertian umum, rasional, empiris serta bersifat umum.

Walaupun kedua-duanya mempunyai perbezaan yang nyata namun kedua-dua perkara ini mempunyai hubungkait yang amat rapat dan saling bergantungan. Dalam proses seseorang kanak-kanak meningkat ke alam remaja dan dewasa, kedua-dua faktor ini perlu dikukuhkan dalam diri setiap individu sebagai kekuatan untuk mereka melangkah ke hadapan.

Jika ditanya pada saya, adakah mahasiswa sekarang boleh dikatakan “LESU”. Jawab saya adalah “YA”. Perkara ini pernah dibangkitkan oleh kumpulan saya semasa di Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar IPTA 2010 yang diketuai oleh YDP MPMUM untuk diketengahkan ke peringkat Nasional.

Saya yakin sekiranya mahasiswa sekarang cakna dengan perkembangan di sekeliling kita, Insyaallah, mahasiswa kita selayaknya untuk digelar ‘IKON’ sekiranya 4 perkara ini dapat diseimbangkan iaitu Keilmuan/Pengetahuan, Kerohanian/Keperibadian, Psikologi/Pemikiran dan Sosiologi. Mahasiswa kita perlulah seimbang antara satu sama lain agar emosi tidak kuasai diri.

Sebagainya contoh, program University Social Responsibility Universiti Teknologi Malaysia di Bukit Katil, Melaka 2010 (USR-UTM@Melaka’10) yang diketuai oleh saya sendiri selaku Pengarah Program menerapkan keempat-empat aspek ini sebagai asas pembangunan modal insan yang diketengahkan sebagai agenda merealisasikan matlamat program yang bertemakan “Mahasiswa Agen Transformasi Masyarakat”.

Keilmuan/Pengetahuan iaitu melibatkan kemahiran, ilmu kepakaran dan pengetahuan oleh mahasiswa bagi Pembinaan Tugu 1 Malaysia dan Wakaf. Kerohanian/Keperibadian iaitu majlis tahlil/yasiin dan program anak angkat yang dapat menunjukkan keperibadian generasi hari ini masih dapat mendepani masyarakat sekitar.

Psikologi/Pemikiran iaitu kita merealisasikan kajian selidik kawasan setempat berkenaan dengan aspek-aspek yang perlu diketengahkan di Parlimen Bukit Katil berdasarkan respon atau maklum balas yang diperolehi. Dan sosiologi pula iaitu kenduri sekampung, sukan-sukan perdana, kembara desa dan sebagainya lagi.

Program ini dapat dijadikan contoh sebagai langkah mahasiswa sekarang mampu untuk mentransformasikan landskap pemikiran generasi muda yang sering dikaitkan dengan Mahasiswa sebagai ‘Lesu’. Tiada bicara dapat dibuktikan sekiranya hanya tin kosong sahaja yang berdentum-dentum, tetapi inilah bukti yang mampu ditunjukkan oleh Mahasiswa UTM IC dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka.

Setiap peringkat dan lapisan, masing-masing mempunyai kelebihan dan kemahiran yang perlu dikutip oleh setiap mahasiswa semasa di universiti. Bidang Keilmuan menjadi keutamaan dan seterusnya kepimpinan, rantaian, kemahiran, dan sebagainya lagi merupakan bidang-bidang yang perlu bergerak seiring sebagai persediaan awal kita dalam menempuh hari kemudian.

Lambakan buku-buku motivasi, strategi organisasi dan sebagainya yang menyentuh segala aspek untuk dikuasai dan dihayati oleh mahasiswa. Lambakan ini menunjukkan betapa pentingnya ilmu-ilmu sedemikian. Dato’ Saifuddin Abdullah, Dr Mujahid Yusof Rawa dan beberapa lagi pemimpin muda politik yang dilihat dari latar belakangnya merupakan mahasiswa yang dianggap dapat menguasai segala aspek yang diperbincangkan di atas.

Belajarlah dari kesilapan supaya kesilapan itu dapat diperbaiki dan menjadi lebih baik dari semasa ke semasa supaya istilah/isu “Mahasiswa Lesu” itu benar-benar dikuburkan pada generasi akan datang. Mahasiswa yang berkualiti adalah mahasiswa yang dapat menyeimbangkan antara duniawi dan ukhrawi. Mahasiswa yang berpotensi adalah mahasiswa yang dapat kuasai 4 perkara iaitu ilmu pengetahuan, rohani/keperibadian, psikologi/pemikiran dan sosiologi.

Sekian, Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
Mantan Exco Majlis Perwakilan Mahasiswa
Universiti Teknologi Malaysia International Campus
wan_hazem90@yahoo.com

0 comments: