Wednesday, February 23, 2011

Hitam Putih Politik Kampus...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Percaturan dalam melibatkan diri dalam politik kampus merupakan satu tindakan yang perlu kita semua berfikir panjang. Banyak baik dan buruknya mengaitkan diri kita sekiranya kita meneruskannya, sedikit demi sedikit diri kita dihanyutkan ke lembah fitnahan serta menjadi perbualan hangat di seluruh kampus.

Setiap langkah akan diperhatikan, setiap tindakan akan dipersoalkan dan pelbagai lagi yang akan memberikan kita tekanan yang tinggi tetapi sekiranya kita seorang yang professional dan dapat menyesuaikan diri, tidak mungkin kita akan goyah hanya dengan perkara-perkara yang remeh-temeh seperti itu.

Pengalaman mengajar diri kita untuk terus berfikir baik dan buruk setiap tindakan yang kita putuskan. Ada yang akan mengangguk tanda bersetuju. Ada juga yang akan menggeleng tanda membantah. Tetapi menjadi asam garam seorang pemimpin untuk berhadapan dengan kedua-dua situasi ini. Jika kita benar, perjuangan akan tetap diteruskan juga tetapi jika kita salah, perjuangan hanyalah menjadi retorik semata-mata.

Segelintir belia remaja di seluruh Malaysia sering mengatakan bahawa politik Malaysia itu kotor termasuklah jugak politik kampus yang kian tidak terkawal sejak akhir-akhir ini. Apa sebenarnya yang menjadi kepentingan kepada sesetengah individu sekiranya ingin menguasai politik kampus? Apa sebenarnya matlamat perjuangan yang ingin diperlebarkan sekiranya cara kotor diguna pakai?

Tiada apa yang boleh saya perkatakan berkenaan dengan politik kampus ini melainkan setelah setahun Berjaya merebut kerusi Umum UTM IC. Setahun merupakan satu jangka masa yang amat pendek untuk saya membuat konklusi berkenaan dengan politik kampus ini. Banyak lagi sebenarnya ilmu yang perlu saya pelajari untuk terus berjuang dan bangkit kembali.

Sekiranya aku tewas dengan tuntutan duniawi yang semata-mata untuk menguasai tampuk kepimpinan tetapi keadilan dan kesaksamaan diketepikan, minta maaflah kerana saya bukan orang sedemikian. Saya masih percaya rezeki saya bukan di tangan manusia tetapi ditentukan oleh Allah Taala, cuma kita manusia yang diberikan akal fikiran ini perlulah berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal.

Memang perit dalam melayari sebuah bahtera dalam sebuah kepimpinan tetapi perlulah bertahan melayani karenah penumpang untuk sama-sama kita sampai ke destinasi masing-masing. Tetapi sekiranya kita membuat perkara yang tidak menyenangkan, akan ada pertikaian sehingga menyebabkan kepimpinan goyah dan terus karam di lautan.

Setiap individu berhak membuat keputusan masing-masing selagi tidak bertentangan dengan hukum Allah. Tiada orang berhak menentukan haluan kanan atau kiri yang dipilih setiap individu untuk terlibat dalam politik ini. Demokrasi dan Keadilan adalah perkara yang perlu diambil dan digariskan oleh setiap individu. Persepakatan dan persefahaman adalah perencah utama untuk kita terus bersatu sesama kita bagi melahirkan sebuah kepimpinan yang harmoni era globalisasi.

Akhir kata, sekiranya kita masih berfikiran sempit iaitu memperbataskan setiap individu yang terlibat dengan politik kampus ini, tiada guna memperjuangkan konsep “Keadilan dan Demokrasi” ini tetapi tidak mengamalkan pada kepimpinan yang diterajuinya dan di tempat yang sepatutnya. Berubahlah sebelum terlambat.

Sekian, Wallahua’lam…


Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
Mantan Exco Majlis Perwakilan Mahasiswa
Universiti Teknologi Malaysia International Campus
wan_hazem90@yahoo.com

2 comments:

JEBAT said...

berfalsafah nye ayt, hehe

WMHMY said...

Firwan, sekadar perkongsian setelah bergelar mantan..hahaha =)