Thursday, November 4, 2010

Relevenkah Hab Hiburan Malam bagi Program Transformasi Ekonomi?

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

“HAB HIBURAN MALAM” diangkat sebagai pemacu industri Pelancongan Malaysia mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP). Adakah anda sebagai mahasiswa dan pembaca blog ini bersetuju dengan langkah tersebut sebagai membantu menggerakkan ekonomi Malaysia pada masa akan datang?

Antara aktiviti yang akan dilakukan sekiranya diteruskan ETP ini di lima zon iaitu Lembah Klang/Kuala Lumpur, Genting Highlands, Penang, Langkawi dan Kota Kinabalu adalah pembinaan kelab-kelab hiburan, acara konsert Antarabangsa dan sebagainya lagi. Adakah anda selaku mahasiswa dan Rakyat Malaysia masih bersetuju dengan perkara di atas ini?

Cuba anda semua menghayati dan mendalami semula Rukun Negara yang kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan. Dan cuba anda kaitkan adakah perancangan ETP ini adakah dapat mempertahankan Rukun Negara Kelima ini? Dan anda cuba perhatikan pula statistik berkenaan dengan pelbagai isu keruntuhan akhlak Belia Remaja Islam yang semakin meningkat dan parah. Adakah anda semua mahukan anak-anak anda dan seluruh generasi akan datang begitu mudah terdedah dengan aktiviti dan perancangan yang memberi kesan negatif yang begitu tinggi kepada mereka walaupun mempunyai positifnya hanya untuk peningkatan sektor ekonomi negara.

Saya selaku Exco Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM IC menegaskan di sini bahawa saya tidak menyokong perkara ini kerana saya lebih mementingkan akhlak dan masa depan belia Remaja Islam di Malaysia dan generasi akan datang. Pelbagai langkah lain dan usaha lain yang dapat meningkatkan sektor ekonomi negara tetapi kenapa perlu jadikan Hab Hiburan Malam sebagai langkah untuk ke arah itu?

Saya sendiri sebagai Pemimpin Mahasiswa di UTM IC tidak menyokong untuk membuat atau mewujudkan aktiviti/program yang dapat melekakan mahasiswa UTM IC dan menggalakkan lagi perkara Hedonisme ini yang begitu berleluasa di Malaysia tetapi saya tidak terapkannya di UTM IC. Kerana sebagai sebuah negara Islam, sepatutnya menjadikan ciri-ciri keIslaman di sini sebagai penarik golongan pelancong dan pelabur untuk meningkatkan ekonomi di sini.

Keindahan flora dan fauna serta banyak lagi perkara lain boleh dijadikan sebagai kekuatan dan menambahbaikkan sektor pelancongan tersebut sebagai daya tarikan kepada para pelancong asing dan pelabur asing. Selain itu, peruntukkan yang disediakan untuk Hab Hiburan Malam ini sebaiknya diberikan untuk menambahbaikkan sektor pendidikan di setiap Institusi Pengajian Tinggi yang berkemungkinan besar dapat melahirkan golongan Intelektual dan berkemahiran tinggi iaitu penyumbang besar untuk mentransformasikan sektor ekonomi dan melahirkan golongan kelas Pertama dan berpendapatan tinggi selarasa dengan wawasan 2020.

Seterusnya, sebagai seorang Muslim dan perwakilan Mahasiswa, saya merasakan sepatutnya kerajaan dan pihak yang mentadbir mana-mana Negeri lebih memandang ke arah pembangunan sahsiah sebagai landasan utama untuk membantu rakyat kerana perkara ini lebih penting dan menjadi kewajipan kepada setiap pemimpin di mana-mana organisasi tak kiralah sama ada di kalangan Mahasiswa mahupun Kerajaan.

Kita sepatutnya MEMBENDUNG dan bukannya MENYOKONG ke arah yang menggalakkan gejala HEDONISME diterapkan sebagai agenda membantu Rakyat dalam sektor Ekonomi. Saya bersama-sama Majlis Perwakilan Mahasiswa dari pelbagai Universiti di Malaysia pernah mengenengahkan Isu Hedonisme di kalangan Mahasiswa dan Rakyat Malaysia dengan peningkatan Program Realiti TV yang sekarangnya tidak mengenal usia untuk menyertainya sehinggalah kanak-kanak kecil yang sepatutnya diasuh dengan BACAAN AL-QURAN dan PEMBANGUNAN SAHSIAH & AKHLAK MULIA dijadikan pula sebagai sasaran untuk menarik golongan ini sebagai peserta.

Baru-baru ini juga digemparkan dengan kedatangan Ikon Gay Dunia, Adam Lambert yang akan mengadakan Konsert di Malaysia yang Mendapat tentangan hebat dari pelbagai pihak TETAPI masih dapat diteruskan dengan jayanya sehinggalah konsert tersebut dapat menutup tirainya dengan penuh kejayaan dapat menggerakkan ramai belia Remaja Islam terutamanya Wanita untuk menghadirinya. Dan kita juga pernah dikejutkan dengan kenyataan dari artis Malaysia sendiri, Wardina Safiyyah yang menyatakan bahawa golongan Artis tidak sepatutnya dijadikan IKON dan IDOLA kepada para belia Remaja ISLAM tetapi mendapat tentangan dari pelbagai pihak yang rata-ratanya adalah di kalangan artis Malaysia sendiri.

Hal ini, jelas menunjukkan bahawa sektor Hab Hiburan ini tidak membantu sebenarnya dari segi pembangunan sahsiah tetapi ianya akan menjerat semula kepada golongan BELIA REMAJA ISLAM untuk terus bergelumang dengan perkara-perkara yang melekakan dan melalaikan ini. Di mana sebenarnya perjuangan untuk menjadikan ISLAM sebagai paksinya?

Akhir kata, sebelum saya mengakhiri penulisan pada kali ini, saya ingin menegaskan sekali lagi sekiranya pembangunan ekonomi yang pesat dan tidak melekakan dan memberi impak negatif kepada golongan BELIA REMAJA ISLAM di Malaysia, saya akan menyokong sepenuhnya perkara tersebut, TETAPI sekiranya ia boleh menggadaikan aspek pembangunan sahsiah dan akhlak golongan ini, saya akan menentang sekeras-kerasnya kerana saya sayang AGAMA, BANGSA, & NEGARA saya.

Sekian, Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
Exco Majlis Perwakilan Mahasiswa
Universiti Teknologi Malaysia International Campus
Wan_hazem90@yahoo.com

2 comments:

lagenda pejuang islam said...

salam.
1)post kali ini saya sokong sangat2!
2)tak perlu batalkan program ini kalau tak mampu. cuma perlu buang bahagian hiburan tersebut. itu sahaja.
3)saya sebagai mahasiswa islam utm, mengharapkan pihak MPMUTM dapat melakukan sesuatu untuk isu ini.
~ia adalah isu kita semua..

wlm..

dell~ said...

yup! setuju!