Thursday, November 4, 2010

Berani Kerana Benar, Takut Kerana Salah...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

“BERANI KERANA BENAR, TAKUT KERANA SALAH” itulah tajuk penulisan saya pada kali ini. Saya begitu tertarik dengan ungkapan ini dan bersedia berhadapan dengan apa jua tentangan mahupun bantahan sekiranya saya berlandaskan dengan kebenaran dan keadilan. Apa sebenarnya yang anda faham dengan konsep di atas?

Jika anda merasakan bahawa anda di pihak yang benar, kenapa perlu untuk kita takut dan gentar berhadapan dengan hakikat itu sedangkan anda begitu kuat untuk buktikan kebenaran tersebut. Walaupun menjawat jawatan tertinggi di mana-mana organisasi konsep “KEADILAN” perlu diterapkan dalam setiap organisasi tersebut sebagai acuan untuk terus maju ke hadapan.

Hamka pernah berkata, “Tidak semua orang yang menolak kebenaran itu tidak tahu bahawa yang ditolakkanya itu benar.” Rasulullah juga pernah bersabda, “Katakan yang benar,sungguhpun ia pahit dan tidak digemari orang.” Ini memberi sedikit gambaran bahawa kita sebagai mahasiswa dan Rakyat Malaysia menuntut dan memperjuangkan “KEADILAN” sebagai dasar utama yang perlu diserapkan dalam pemikiran dan perilaku setiap mereka yang memimpin dan penggerak kepada mana-mana organisasi.

Saya sendiri setelah hampir 1 tahun memimpin mahasiswa di UTM IC sebagai Exco Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM IC masih bergerak ke hadapan melalui konsep “KEADILAN UNTUK MAHASISWA” dan “BERANI KERANA BENAR, TAKUT KERANA SALAH”. Saya juga bersedia dalam apa saja kemungkinan sama ada untuk MEMBAHASKAN SECARA TERBUKA mahupun BERHUJAH SECARA TERTUTUP dengan syarat setiap maklumat tersebut perlu dikongsikan secara bersama kepada seluruh masyarakat kampus.

Pemerhatian yang dibuat juga menunjukkan konsep ini kurang digunakan pakai oleh segelintir organisasi kepimpinan mahasiswa mungkin disebabkan TAKUT berhadapan dengan ahlinya mahupun apa jua alasan yang bakal dilemparkan. Kita selaku mahasiswa perlu sedar, sekiranya konsep ini tidak diterapkan dalam mana-mana organisasi kepimpinan mahasiswa ia dianggap satu tamparan hebat kepada mereka yang disingkirkan mahupun tersingkir.

Di penghujung semester ini dan awal semester hadapan, satu persatu kepimpinan persatuan mahasiswa akan beralih tampuk kepimpinan sehinggalah peralihan kuasa bagi Kabinet Mahasiswa iaitu Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM IC, dan saya amatlah berharap agar bakal-bakal Pemimpin ini akan menjadikan konsep “KEADILAN” sebagai landasan utama untuk terus berkebajikan kepada mahasiswa dan ahlinya.

Saya sendiri mungkin pernah melakukan kesalahan atau sebagainya dalam memimpin Mahasiswa di UTM IC tetapi secara jujurnya saya sendiri menuntut keadilan kepada seluruh Mahasiswa UTM IC seperti pelbagai isu yang saya ketengahkan walaupun ia dianggap perkara remeh-temeh oleh segelintir mahasiswa seperti Isu Seluar Jeans, Isu Saman Parking Motor, Isu Saman di KSJ, Isu Wireless, Isu Kafe, Isu Bilik GYM dan sebagainya lagi TETAPI itulah hakikatnya sebagai tanggungjawab saya untuk terus menuntut hak-hak dan keadilan kepada Mahasiswa.

Akhir kata, saya sekali lagi memberi harapan tinggi untuk anda semua berfikir dan bersama memuhasabahkan diri bagi kembali menggerakkan mahasiswa yang lain untuk terus bersama-sama dengan saya dalam memperjuangkan hak-hak dan menuntut keadilan Mahasiswa di UTM IC ini sekiranya ada perkara-perkara lain yang masih terlepas pandang oleh pihak saya sebagai Exco Kebajikan, MPM UTM IC di sini.

Sekian, Wallahua’lam…

Ikhlas dari saya,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
Exco Kebajikan, Kolej & Pengaduan Awam
Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM IC
wan_hazem90@yahoo.com

0 comments: