Friday, December 22, 2023

Filem Abang Adik, Filem Wajib Tonton...

Assalamualaikum...
Salam Perpaduan...
Salam Malaysia Madani...

Seminggu dua ni, aku agak sibuk untuk study serba sedikit berkenaan dengan Negara India, dimana aku akan travel secara backpackers ke sana pada awal 2024. Persiapan ini memerlukan aku meneliti banyak benda untuk aku susun itinerary aku supaya explorasi aku ke sana nanti dapat tawan sebahagian kecil India seperti Amritsar, Kashmir, New Delhi, Agra & Jaipur.

FILEM ABANG ADIK, FILEM WAJIB TONTON...

Sebenarnya aku nak kongsikan serba sedikit mengenai filem 'Abang Adik' yang bagi aku filem ini sangat-sangat memberikan kesan kepada aku bilamana aku dapat meyusuri setiap babak-babak yang wujud di dalam filem ini. Sebelum pergi lanjut, jom aku kongsikan sinopsis filem ini :-

" 'Abang' lakonan Kang Ren Wu dan 'Adik' lakonan Jack Tan yang tiada status warganegara menjalani kehidupan miskin di kawasan Pudu, yakni di tempat tinggal pekerja asing. Mereka tidak boleh menikmati kebajikan umum negara, tidak boleh memohon pasport serta membuka akaun bank.

Abangnya, Abang dilahirkan tanpa upaya pendengaran, bekerja keras dan menerima nasib, dan hanya mahukan kehidupan yang stabil. Adik pula tidak mahu tunduk kepada nasibnya dan menjual dokumen palsu secara haram. Dia hanya mahu membuat wang dan bawa saudaranya pergi dari tempat yang menjijikkan itu.

Kedua-dua orang yang pada asalnya menjalani kehidupan yang tidak sama rata kerana keghairahan pekerja sosial, Jia En menawarkan diri untuk membantu mengesan maklumat ibu bapa asal dan sijil kelahiran. Namun, kebaikannya membawa kepada kemalangan, dan pada masa yang sama, Abang dan Adik sekali lagi jatuh ke dalam kesempitan."

Filem yang diarahkan dan ditulis oleh Jin Ong ini menjadi antara filem yang paling aku nanti-nantikan untuk tahun 2023 dan walaupun tak semua pawagam di Kuala Lumpur menayangkan filem ini, aku tetap mencuri masa untuk tonton filem ini di TGV Suria KLCC dan boleh kata ramai juga la penonton masa tu.

Pertamanya aku nak puji lakonan hebat Abang dan Adik iaitu Kang Ren Wu dan Jack Tan yang bagi aku kekuatan terhadap lakonan mereka sangat-sangat membantu menghidupkan penceritaaan filem ini. Sangat terserlah adalah watak Abang yang cukup-cukup memberikan aku satu inspirasi dalam meneruskan kehidupan walaupun berada dalam keadaan yang serba kekurangan.

Penceritaan bagi filem ini juga sangat jelas dan straight forward iaitu si Abang sangat-sangat nakkan Adik nya ada IC yang sedang diuruskan oleh Jia En. Dengan adanya IC, dorang dapat menikmati kehidupan sebagai rakyat Malaysia. Kritikan sinis terhadap isu ini sedikit sebanyak memberikan satu 'tamparan' buat pihak berwajib perlu turun padang untuk membantu menyelesaikan isu ini.

Latar belakang filem ini yang sangat dekat dengan keadaan yang sangat realistik membuatkan filem ini 'hidup' untuk membawa aku terus menonton dari satu babak ke babak yang lain sehinggalah terjadinya satu peristiwa yang tidak disengajakan dan membuatkan plot cerita ini terus menjadi menarik.

Aku terus menghayati dan menyelami setiap tindakan yang si Abang lakukan sehinggalah sampai di 'klimaks' dia, aku sendiri tak mampu untuk tahan air mata aku yang terus mengalir deras. 😭😭😭 Rasanya 3 kali aku mengalirkan air mata dan setiap babak tersebut cukup-cukup membuatkan aku sebak dan mengganggu emosi aku. Fullstop!

Secara keseluruhan, aku bagi 11/10 bintang untuk filem ini dan aku isytiharkan filem ini WAJIB ditonton oleh korang semua. Serius, memang takkan rugi. Aku sendiri akan pergi sekali lagi ke pawagam untuk tonton filem ini. Tahniah untuk semua tenaga kerja filem ini!

Aku amat yakin, filem Abang Adik pasti mampu memenangi mana-mana kategori di Festival Filem Malaysia 2023 nanti. Insyaallah...

*Aku teringin sebenarnya nak jumpa si Jack Tan ni sebab rasanya hampir semua filem lakonan dia, aku tonton di pawagam seperti Shuttle Life (2017), Rise Ini Kalilah (2018), Fly By Night (2018), Air Force The Movie - Selagi Bernyawa (2022) dan terbaru adalah Abang Adik (2023). Hopefully, suatu hari nanti dapat berjumpa dan bergambar dengan beliau.

Sekian, wallahua'lam...

Ikhlas dari,
WMHMY
wan_hazem19@yahoo.com
Yan, Kedah Darul Aman
19 Disember 2023

0 comments: