Monday, January 30, 2012

Wacana Sinar Harian : Masih Relevenkah AUKU ?

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Terdetik di hati saya untuk kongsikan wacana yang dianjurkan oleh Sinar Harian berkenaan dengan ‘Masih Relevenkah AUKU?’ Jom ikuti bersama…



Wacana Sinar Harian siri ke-10 membuka tirai tahun baru 2012 dengan membawakan tajuk ‘Masih Relevenkah AUKU?’. Wacana kali ini membawa lima barisan panel iaitu Pakar Undang-Undang dan Perlembagaan, Profesor Abdul Aziz Bari; Pengerusi Jawatankuasa Pindaan AUKU yang juga Rektor Hal Ehwal Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod; Pengerusi Majlis Belia Malaysia, Mohamad Maliki Rapiee; Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Profesor Dr Anuar Ahmad dan Presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia, Mohd Shahar Abdullah.
Ikuti wawancara penuh wacana yang dipengerusikan oleh bekas Pemimpin Pelajar yang juga Pengacara TV Al-Hijrah, Amin Idris.

Masih relevenkah AUKU?
SHAHAR : AUKU tidak releven untuk dipinda dan dimansuhkan kerana ini adalah akta yang diwujudkan untuk mengurus tadbir dan menyelaras segala aktiviti di universiti. AUKU juga ditubuhkan sebagai akta melindungi hak majoriti mahasiswa yang matlamat utamanya memberi fokus kepada akademik.
Sebelum pindaan AUKU pada 2009, tidak ada penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), namun setelah dipinda membenarkan mahasiswa terlibat secara aktif dengan NGO yang berdaftar. Di sini wujud ruang lompong yang perlu diperbaiki. Pindaan AUKU 2009 masih belum dikuatkuasakan dan belum diraikan lagi.
Justeru, Aspirasi melihat tidak perlu ia dipinda meskipun menyokong kepimpinan Perdana Menteri, tetapi tidak menyokong dengan cadangan beliau supaya AUKU dipinda.

Sebagai Pengerusi Pindaan AUKU, Apakah perkembangan terkini mengenainya? Adakah pindaan bakal menjadi realiti?
NIK AHMAD : Jawatankuasa Pindaan AUKU dilantik untuk meminda AUKU, bukan untuk memansuhkannya. Kami, seramai 7 ahli panel telah mengadakan pelbagai bentuk maklum balas, secara dalam talian dalam laman web, selain mengadakan 4 konsultasi awam iaitu dua di Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak. Kami juga menyeru universiti awam mengadakan maklum balas dalaman.
Jawatankuasa Pindaan AUKU juga menerima pelbagai ulasan dan maklum balas daripada semua pihak. Ia seterusnya dikumpulkan dan akan bentangkan dalam bentuk cadangan untuk dikemukakan kepada Kementerian. Maka ia terpulang kepada kementerian untuk membuat keputusan.

AUKU bukan sahaja melibatkan mahasiswa, tetapi kesannya juga ahli akademik. Cadangan piagam universiti pada Januari 1978 yang dikemukakan ahli akademik untuk menggantikan AUKU. Kesemua mencadangkan AUKU diganti dengan akta yang lebih bebas kepada ahli akademik, ini memberi persoalan, AUKU dilihat tidak releven sejak dahulu lagi?
AZIZ BARI : Kalau kita melihat konteks universiti sebagai pusat ilmu dan perkembangan manusia, AUKU tidak pernah releven. Senario waktu itu, mengapa diwujudkan AUKU harus difahami. Buang masa untuk mengkaji perkara yang tidak releven.
Satu perkara yang jelas menunjukkan masyarakat tidak menerima perkara yang mengekang kebebasan mahasiswa dan akademik juga terkekang. Kita mengandaikan seolah-olah bahawa dengan kewujudan AUKU, mahasiswa dan ahli akademik tidak cerdik, saya fikir ia seperti menghina.
Negara yang sudah mempunyai undang-undang, sudah ada perlembagaan, sudah ada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), tidak perlu AUKU. Katakan soal AUKU sebagai garis panduan, adakah yang dilantik sebagai Naib Canselor dan sebagainya tidak melakukan kerja yang telah dipertanggungjawabkan?
Pada saya, kenyataan bahawa Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia sudah lama wujud sebelum AUKU dan kewujudan mereka sudah cukup cantik. Dan bila kita sudah bicara politik sekarang, tak banyak penambahbaikan kualiti selepas AUKU, malah sebaliknya.
Masalah disiplin pelajar, meniru dalam peperiksaan, kualiti universiti dan kedudukan universiti kita di dunia. Justeru, mengapa perlunya AUKU dikekalkan.

Apa komen Maliki?
MALIKI : AUKU dipinda, masih releven untuk terus dikekalkan. Asas ini adalah hakikat, satu perkara atau persekitaran perlu mekanisme untuk urus tadbir. AUKU bukan hanya berkaitan kebebasan bersuara dan ekspresi mahasiswa terhadap sesuatu perkara semata-mata tetapi lebih kepada keseluruhan dunia akademik dan universiti kira tiga kelompok golongan muda sebelum ia dapat dilaksanakan.
Pindaan itu tidak dapat dielakkan bagi memastikan kelompok orang muda berusia bawah 40-an termasuk mahasiswa, tidak duduk dalam dunia yang berbeza.
Tiga kelompok itu, adalah mereka yang tidak melanjutkan pengajian di Universiti; mereka bebas menyertai mana-mana parti politik dan menjadi pemimpin.
Keduanya, yang melanjutkan pengajian ke universiti luar Negara; mereka boleh teruskan menyertai pelbagai aktiviti kepartian seperti Kelab UMNO Luar Negara dan kelompok ketiga; yang melanjutkan pengajian di universiti dalam Negara; namun mereka mendapat halangan dan diasingkan.
Pindaan terhadap AUKU kelak, perlu memberikan hak kepada mahasiswa untuk terlibat dengan pembangunan Negara sekurang-kurangnya menjadi ahli parti politik.

Pandangan Prof, adakah AUKU masih releven?
ANUAR : Pada perkara 15.3 dalam AUKU, adalah perkara yang menyedihkan saya. Ia menyatakan tiada sesiapa apa jua ketika menjadi seorang pelajar universiti boleh berbuat sesuatu yang boleh ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap persatuan, parti politik, sekerja dan sebagainya.
Ini sangat menggerunkan, sekiranya pelajar memperjuangkan kebenaran seperti rasuah kebetulan parti politik pembangkang. Mereka boleh dituduh menyebelahi pembangkang dan amat berbahaya kepada Negara.
Banyak perkara yang tidak releven, kerana kenyataan begini menimbulkan ketakutan kepada pelajar untuk menyatakan pandangan mereka berhubung soal politik, kita perlu melihat politik dalam definisi sebenarnya, bukan semata-mata untuk memilih pemimpin, tetapi politik sebagai membawa ideologi, satu perjuangan.

Melalui kajian yang dilakukan terhadap pelajar undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), satu tika dahulu, ramai yang masih tidak mengetahui apa itu daftar pemilih, meskipun telah berumur 23 tahun. Di mana silapnya, adakah AUKU, silap pihak universiti atau ibu dan ayah mereka?
NIK AHMAD : Mahasiswa seharusnya tahu, apakah hak dan tanggungjawab mereka. Ia adalah silap pelajar itu sendiri yang sibuk dengan dunia mereka sendiri. Kita juga mungkin salah, kerana tidak memberi kesedaran dan memaklumkan perkara itu.
Tetapi kini sudah berubah, apabila universiti juga memainkan peranan mengambil inisiatif itu membawa pihak terbabit ke dalam universiti untuk mendaftarkan mereka. Ini penting kerana masa depan terletak di tangan mereka, dan kesedaran kini telah bertambah baik.

Senario tadi, yang tidak tahu dan sikap mahasiswa, ketakutan. Jika bersuara, di gelar… apa pandangan Shahar?
SHAHAR : Kesedaran mahasiswa, tidak memikirkan agenda nasional harus digerakkan oleh mahasiswa, kerana agenda universiti harus dipelajari dahulu kerana inilah demokrasi kampus sebagai refleksi kepada demokrasi Negara.
Sekiranya tidak berdaftar, adakah ini salah AUKU? Kita ada parlimen mahasiswa, majlis pimpinan mahasiswa kebangsaan. Ini semua proses melatih mahasiswa menjadi pemimpin. Persoalannya, adakah ia mewakili majoriti mahasiswa atau hanya dikatakan membawa isu nasional dan rentak tarinya mirip kepada pembangkang.
Gerakan ini akhirnya menjamin pemikiran mahasiswa yang tidak tersusun. Kita mahu menjadikan mahasiswa yang mempunyai pandangan beserta dengan kajian. Sebab itu, Aspirasi bangkit menyatakan bahawasanya, AUKU masih releven dengan mengadakan persidangan meja bulat, mendapat pandangan semua pihak yang berkepentingan terhadap AUKU. AUKU adalah undang-undang bagi memastikan matlamat utama ke universiti dapat melahirkan mahasiswa yang Berjaya.

Komen saudara terhadap Seksyen 15 D dalam AUKU menyatakan sekiranya mahasiswa di dakwa di mahkamah, di atas kesalahan jenayah, walaupun belum dibuktikan bersalah, universiti boleh membuang mereka. Tindakan ini jelas bertentangan dengan prinsip keadilan.
SHAHAR : Peraturan dalam universiti , telah dimaklumkan sedari awal. Mereka ada rakan-rakan lain dan pengurusan universiti.
Kalau tiada undang-undang yang dinyatakan tadi, seolah-olah kita tidak perlu ada undang-undang malah Perlembagaan Malaysia tidak perlu ada. Ini persepsi yang sentiasa menyalahkan undang-undang yang niatnya di buat mendasari perjuangan mahasiswa.
Kita seolah-olah menyatakan AUKU akan menyebabkan perkara itu terjadi. Kita juga harus faham, mendepani masa depan di tangan anak muda, dan yakin Negara tidak mendengar pandangan anak muda, Negara akan hancur. Negara juga akan hancur kalau mahasiswa yang dididik tidak berkualiti.

Memetik kata Dr Yusuf Qardawi dalam kitabnya bahawa generasi muda harus berpegang teguh kepada realiti, dan tradisi ilmu, kerja untuk membina masyarakat, bersifat robbaniah dan ikhlas, menghayati Islam, dakwa serta jihad, fleksibel dan sederhana, komen Maliki?
MALIKI : Kepimpinan mahasiswa perlulah berbeza dengan belia marhaen yang lain, iaitu cara pergaulan dan berfikir itu berbeza. Ilmu itu perlulah menyebabkan mahasiswa berkualiti baik, mempunyai adab dan ilmu digabungkan bersama.
Perkara ini perlu difahami, tidak mungkin kepimpinan datang daripada sekelip mata. Ia juga perlukan pakej dan perlu difahami dengan mendalam dan ia adalah suatu proses yang berterusan. Tidak mungkin kepimpinan itu datang sekelip mata dan melihat kemampuan dan keperluan masyarakat hari ini.
Kalau mahasiswa telah hilang nilai idealisme dan perjuangan, tidak kira AUKU pun ia tetap tidak releven kepada masyarakat. Ini penting. Kalau hendak berjuang perlu ada ketabahan. Baru kata tidak boleh sekali, terus menyalahkan AUKU sebagai kambing hitam, itu bukanlah perjuangan yang betul.

Komen berhubung tindakan pihak universiti yang membuang pelajar atas alasan memalukan universiti?
MALIKI : Itu merupakan hak kepada universiti, menentukan pentadbiran dan peraturan yang ada. Lepaskan kepada pihak universiti membuat penilaian tertentu, tentang perkara yang berlaku di dalamnya.
Jika sudah terikat kepada peraturan, haruslah mengikutinya. Undang-undang ada perlu dipatuhi.

Bercakap tentang proses, adakah AUKU dilihat membantu memperkasakan mahasiswa? Dalam AUKU, sekiranya mahasiswa dipanggil ke mahkamah universiti, mereka tiada hak untuk diwakili, sedangkan di mahkamah sebenar kita mempunyai hak untuk diwakili?
ANUAR : Pelajar di universiti ia telah mengalami proses pendidikan yang lama di sekolah. Tahun pertama di universiti, mereka membawa proses pendidikan lama.
Saya agak dukacita melihat pelajar tahun satu di Universiti Selangor (Unisel) yang takut menyuarakan pandangan berbanding pelajar asing. Mengapa perkara ini berlaku dan adakah AUKU menambahkan lagi teruk, ia perlu di fikirkan.
Pelajar ini dididik oleh guru-guru Maktab dan UPSI yang mengalami proses AUKU yang begitu dahsyat, takut mengeluarkan pendapat kerana digantung atau sebagainya.
Pelajar yang telah dididik begitu lama dan disuruh berubah di universiti akan mengambil masa yang cukup sukar. Proses AUKU sepatutnya menjadikan pelajar lebih berani, adil dan bertanggungjawab mengeluarkan pendapat mereka.

SOALAN PENONTON : AUKU digubal untuk mengelak anasir subversif, jadi siapakah yang menentukan tafsiran subversif itu?
NIK AHMAD : Pindaan 2009 membenarkan Naib Canselor yang menentukan persatuan itu subversif. Adil atau tidak keputusan itu, hanya boleh ditentukan mahkamah. Jika tidak puas hati dengan tafsiran diberikan Naib Canselor, cara yang seterusnya boleh dibawa ke mahkamah.
Dalam melihat kepada proses yang berlaku, Naib Canselor akan menimbangkan persatuan itu membawa kebaikan atau keburukan terhadap pelajar dan universiti hanya mahkamah, dan tiada peringkat atasan lain yang boleh dibawa.

SOALAN PENONTON : Adakah politik itu terhad kepada parti politik sahaja?
NIK AHMAD : Saya rasa tidak, kerana ruang lingkupnya luas. Adakah politik perlu kepada parti politik sahaja? Sebab itu pindaan terhadap AUKU dibuat untuk memberi terma rujukan yang lebih luas.

SOALAN PENONTON : Bagaimana menentukan suara majoriti mahasiswa sedangkan ada yang setuju dimansuhkan, setuju dipinda malah tidak bersetuju dipinda dan dimansuhkan?
AZIZ BARI : Setiap perkara ditentukan oleh majoriti seperti mana Negara ini ditentukan oleh majoriti rakyat. Kalau di universiti masih ada yang tidak bersetuju, namun majoriti telah menentukan keputusannya, minoriti tidak ada hak untuk menafikannya.

SOALAN PENONTON : Di manakah bangsa lain dalam menyuarakan AUKU?
MALIKI : Sebenarnya, pihak kami Majlis Belia Malaysia (MBM) mengadakan perbincangan di peringkat dalaman. Kenyataan MBM dibuat oleh MBM adalah menyeluruh yang mengambil kira gabungan 41 termasuk Belia Majlis Orang Asli Malaysia. Berkenaan rakan-rakan kepimpinan kaum Cina dan India, mereka bersama dengan pandangan ini. Kita berbincang secara bersama malah Pertubuhan Human Youth Organization (HYO), Malaysia India Youth Council (MIYC) dan Kelab Belia Tamil Kebangsaan. Bagi kaum Cina pula melibatkan persatuan Young Malaysia Movement, Gerakan Belia Bersatu (GBB) dan lapan pertubuhan belia Cina utama. Mereka bersetuju AUKU tetap releven dan perlu melakukan beberapa pindaan sahaja untuk penyesuaian.

SOALAN PENONTON : Unisel tidak mengamalkan AUKU, tetapi bagaimana dwi standard yang diterima kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung disekat untuk melakukan aktiviti dan bersuara di Unisel?
DR ANUAR : Kenyataan Unisel tidak mengikuti dan mengamalkan AUKU tidak betul kerana semua kolej dan universiti mesti mengikuti AUKU dan di universiti swasta, ia ditambah Akta 55. Mengenai dwi standard dalam Unisel tidak tepat kerana ada pelajar Unisel membuat demontrasi dalam Unisel. Kita benarkan walaupun demontrasi itu menjatuhkan nama Unisel. Pelajar berkenaan dipanggil, saya maklumkan kepada Jawatankuasa Disiplin bagi saya kesalahan itu serius mungkin pelajar digantung dua atau tiga semester. Tetapi oleh kerana kita melaksanakan pendidikan social di mana kita benarkan pelajar mengadakan demontrasi kita hanya memberikan amaran sahaja. Kita terbuka, baru-baru ini Adam Adli datang buat konvensyen dan meminta untuk membuat ‘Speaker Corner’. Buat konvensyen lebih formal dengan adab dan bertanggungjawab. Tidak ada dwi standard. Pelajar Unisel bertuah, GPMS meminta kebenaran, kita benarkan.

SOALAN PENONTON : Pendapat mengenai campur tangan parti politik dalam kampus?
DR ANUAR : Tidak boleh dinafikan adanya parti politik dalam gerakan mahasiswa. Mahasiswa ini adalah warganegara yang lebih sedikit kematangannya berbanding yang tidak belajar di universiti. Adalah menjadi pelik, pelajar tidak masuk universiti boleh daftar dan kempen politik tetapi yang belajar di universiti tidak boleh berbuat demikian. Ada satu tidak boleh diterima oleh pelajar iaitu orang cerdik tidak masuk politik, yang kurang sedikit cerdiknya dibenarkan berpolitik. Itu satu perkara yang perlu difikirkan di mana logiknya.

Semua universiti ada akta mereka sendiri seperti Akta Universiti Malaya (UM), Akta Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Apa relevennya AUKU?
MALIKI : Analogi seseorang yang pernah saya temui dahulu ketika memberikan penerangan mengenai AUKU ialah ‘Saya tak suka AUKU ini, macam bawa kereta tiba-tiba ada lampu isyarat, sedang laju kena berhenti saya tak suka. Tapi masalahnya kereta saya bukan satu-satunya di atas jalan raya, ada beberapa lagi kereta lain.’ Penyesuaian perlu ada walaupun Akta Universiti telah ada. Akta menyeluruh di urus tadbir oleh satu sistem, pihak universiti ada kaedah tersendiri mengikut suasana yang ada. Pada saya perlu ada proses kawalan dan mekanisme dalam kehidupan. AUKU sekarang dalam proses pemindaan, transformasi berlaku. Universiti ada kaedah sendiri disesuaikan dengan suasana yang ada.
AZIZ BARI : Saya tak kata free for all, tak perlu undang-undang tapi AUKU sahaja.
DR ANUAR : Burung kalau lama dalam sangkar, kalau kita buka, dia tidak mahu keluar, takut untuk mencari makanan. Saya kecewa kalau kita bandingkan ekonomi Korea dan Jepun maju. Dari segi pendidikan, kebebasan dan sebagainya perlu ada satu badan. Saya cadangkan kerajaan buat penyelidikan pendidikan di Malaysia daripada zaman sekolah tadika sehingga 15 tahun. Jangan buat tergesa-gesa. Perlu ada usaha institusi buat rangka kerja dan penyelidikan.

Kesimpulan mengenai wacana pada hari ini?
SHAHAR : AUKU membebaskan mahasiswa meletakkan pemikiran tidak betul, bebaskan fikiran. Kita tidak boleh buat tafsiran dalam kehendak kepentingan diri sendiri tetapi majoriti mahasiswa. Kita mesti tengok AUKU dilaksanakan, bagaimana pindaan adakah lagi mengetatkan atau terbuka. Jika ketatkan, dahulunya 2009 harmoni, penglibatan NGO masuk universiti, bebas untuk lakukan yang terbaik. Pensyarah tidak bebas, pandangan yang diberikan pensyarah masuk berucap 30 minit, lima minit pasang radio gerakan reformis. Kebebasan akademik, pensyarah masuk daftar mengundi, kuat mengampu. Keadaan macam ini kebebasan dalam kerangka pemikiran kita sendiri, kepentingan sendiri. Pelajar mesti bebas dan kita mahu 100 peratus bebas yang boleh mempengaruhi mahasiswa.
NIK AHMAD KAMAL : Melalui pengalaman, kita dapat maklum baals kumpulan mahasiswa, orang awam, parti politik misalnya adakah kalau masuk politik, terletak dalam kampus. Wakil parti politik pembangkang dan kerajaan mahukan pelajar bebas daripada politik masih kuat. Semangat kuat kalau pelajar berpolitik di luar, kampus jadi tempat dikecualikan kebebasan misalnya dibenarkan berucap mengenai ideology dan isu-isu mahasiswa dan sebagainya.
Kalau kita lihat pandangan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang juga berbeza. Mereka berpendapat politik harus dibenarkan tidak ada halangan tetapi apabila berada dalam kampus, berkecuali dan tidak guna kuasa mereka di luar dan masuk ke dalam. Ini adalah pandangan yang diberikan jadi kita lihat realiti. Jawatankuasa akan lihat perkara ini suatu yang penting. Kita lihat senario pada masa akan datang, pelajar universiti bebas berpolitik di luar, boleh menjadi ahli politik dan pegang jawatan tetapi mereka seharusnya berkecuali di dalam kampus, jadi kebebasan dan berkecuali sangat penting.
Pandangan umum, peraturan perlu ada dan cabaran yang harus dihadapi universiti bagaimana untuk mengekang kebebasan politik berlaku dalam kampus. Kalau pakai lencana dan sebagainya, ia boleh dihalang. Kempen dalam kampus melalui laman maya seperti Facebook, bagaimana kita nak haling? Kebebasan itu ada dan berlaku melibatkan pelajar dalam dan luar kampus.
Saya lihat penting pada dasarnya ialah akan berlaku pindaan (kalau berlaku) kita pulangkan kepada KPT, kita lihat senario berlaku kebebasan. Berlaku kekangan dalam kampus dan kebebasan terpimpin dalam kampus dan tidak terpimpin di luar kampus.
AZIZ BARI : Saya lihat wacana releven atau tidak, ini satu petanda prihatin kepada institusi undang-undang. Mungkin khalayak tentukan, bukan sahaja AUKU tetapi ISA, Akta Polis dan Akta Hasutan sebagainya. Saya rasa Negara maju tidak banyak undang-undang.
Kita terlepas pandang soal lain, soal lebih besar kewujudan universiti tidak dibincangkan. Masalah yang saya lihat AUKU tidak secara hitam putih tetapi menyediakan peluang campur tangan tidak baik kepada kebebasan akademik.
Kita lihat sekarang kegiatan melobi untuk Naib Canselor, Rektor dikaitkan dengan isteri Perdana Menteri, memalukan. Saya rasa kebebasan tak penting, mahasiswa dan Profesor matang dan cerdik untuk menentukan siapa mereka. Wacana diteruskan, pendidikan diteruskan dan jangan salah pandang AUKU. Masyarakat perlu faham kebebasan autonomi.
MALIKI : Saya yakin, kematangan orang muda bukan sahaja dalam dunia mahasiswa tetapi orang muda diluar kerangka universiti untuk kawal diri. Proses kematangan dimulakan dengan mengiktiraf kematangan orang muda sejak sekolah tadika lagi kerana kita mahu pemikiran dan persekitaran berubah.
Saya fikir dalam keadaan kerangka masyarakat Malaysia berbeza. Formula Malaysia berbeza dari tempat lain. Suasana Malaysia diberikan perhatian. Dalam masa yang sama harapan untuk mendengar suara anak muda tidak terhenti. AUKU pindaan 2009, beri ruang mahasiswa menyertai pertubuhan bukan politik sebenarnya itu satu bukaan luas. Mana-mana persatuan saya percaya kalau nak suara pandangan ia lebih kuat kalau ada platform.
AUKU perlu dipinda. Harapan kepada anak muda untuk suarakan pandangan bukan satu-satunya melalui parti politik, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan MBM mewujudkan Parlimen Belia Malaysia di 222 kawasan. Kita berikan ruang anak-anak muda memohon menjadi wakil.
Cabaran dunia universiti ialah menentukan citra dan nilai yang dipegang. Saya tahu mahasiswa tidak suka dilabelkan sebagai orang UMNO, BN dan PKR. Mereka nak dilihat sebagai mahasiswa. Maka perlu ciptakan satu nilai yang diterima secara bersama dan tidak kita apa ideology dalam universiti. Cabaran mahasiswa dan universiti ialah bagaimana menjadi seorang sederhana dan perjuangan diteruskan dengan tegas tetapi tidak merosakkan kehidupan sendiri.
DR ANUAR : Isu ini perlu dikaji dengan mendalam. Saya dalam proses pembentukan insan yang holistik. Kita tidak boleh lari isu penting. Saya memahami politik itu ‘prudential’ iaitu meletakkan satu nilai kepada tempatnya. Pelajar tidak diberi ruang untuk melihat ideologi mana yang tidak, itu perkara sangat berbahaya.
Saya tidak bersetuju pensyarah setengah jam belajar dan setengah jam berpolitik. Sekiranya berlaku Unisel, buat laporan kerana ia tidak betul. Saya setuju isu AUKU dan mengekang rakyat Malaysia menjadi lebih kreatif. Perkara penting ialah isu hutang Negara domestic, hutang pinjaman perumahan, kereta dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Apabila ia dilaporkan di Parlimen sangat tinggi iaitu RM700 bilion yang melibatkan 60 peratus perumahan, 30 peratus kereta dan 10 peratus PTPTN. Orang berhutang menjadi hamba kepada pemberi hutang. Apabila melawan, kereta kena tarik, mereka ketakutan. Ketakutan menjadikan kita kurang kreatif dan inovatif. Kalau tengok Negara maju, pendidikan percuma dari tadika hingga universiti seperti di Thailand dan pendidikan percuma 2009 untuk 15 tahun. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di Thailand lebih rendah iaitu 27 peratus untuk pendidikan manakala Malaysia kurang daripada 15 peratus. Bangkok juga memperuntukkan perbelanjaan kepada pendidikan supaya lebih baik tetapi malang kerana banjir baru-baru ini. Itu isu yang penting dan boleh dibahaskan di wacana.

Sumber : Sinar Harian

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com

0 comments: