Tuesday, August 10, 2021

Sawo' Matang - The Fusion Ethnic dari Noraniza Idris

Assalamualaikum...
Salam Perpaduan...
Salam Malaysia Sejahtera...

Bertemu kita semua sekali lagi ke blog aku yang tak seberapa ini. Entry sebelum ini aku pernah kongsikan mengenai satu album berunsur Melayu Klasik oleh Dayang Nurfaizah iaitu Album Belagu. 

Kali ini, aku nak berkongsikan satu lagi review berkaitan album yang berkonsepkan etnik kreatif atau Irama Malaysia yang ditampilkan oleh Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris pada Tahun 2004 iaitu Album Sawo' Matang.

Sawo' Matang - The Fusion Ethnic 

Kenapa aku terfikir untuk review Album Sawo' Matang ini? Sebabnya aku antara peminat lagu-lagu yang berentak Etnik Kreatif atau Irama Malaysia dan Album Sawo' Matang adalah antara album yang cukup hebat dalam memperlihatkan satu sisi berbeza sebuah irama Melayu yang kian terpinggir pada zaman Era 2020.

Irama Ghazal, Inang, Jawa dan sebagainya antara unsur yang cuba ditampilkan dengan menggabungkan muzik funky bagi memenuhi selera orang sekarang menerusi Album Sawo' Matang ini. Dan menjadi tanggungjawab aku untuk berkongsi secara bersahaja dan berilmiah untuk rujukan generasi akan datang dan album ini mampu dijadikan rujukan muzik irama pop etnik.

Album Sawo' Matang ini pernah memenangi Album Pop Etnik Terbaik dan menjadi finalis untuk Kulit Album Terbaik Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik 2005 dan lagu Hatinya Tak Tahan pernah memenangi Persembahan Terbaik di Anugerah Juara Lagu 19 dan lagu Ayuh Juragan pernah menjadi finalis di Anugerah Juara Lagu 20.

Sekitar tahun 2004, aku pernah beli kaset original album ini menggunakan duit poket yang aku kumpul semasa di sekolah dan sekitar akhir Tahun 2020, aku beli cd album ini dari seorang pengumpul CD dari Brunei dengan harga RM120.00 (ni antara cd termahal yang pernah aku beli sebenarnya, tetapi disebabkan album ini sangat-sangat susah dicari maka aku korbankan sikit duit aku semata-mata untuk mendapatkan album ini secara fizikal sebagai koleksi peribadi aku).

Album ini sebenarnya ada 10 track tetapi diberikan 2 bonus track yang menjadikannya secara keseluruhan sebanyak 12 track lagu. Setiap lagu yang ditonjolkan di dalam album ini, mempunyai daya tarikan yang tersendiri dimana penggunaan instrumen muzik yang berbeza serta elemen muzik beridentiti menampakkan suatu yang sangat unik dan menarik. Antara lagu yang menjadi kegemaran aku di dalam album ini adalah Hatinya Tak Tahan dan Puteri Ledang.

Track 1 - Sama Tak Serupa (Duet bersama David Arumugam)

Sebuah irama istimewa yang menggabungkan lima elemen etnik iaitu unsur Portugis, India, Latin, Melayu dan Bhangra sebagai terasnya. Perbezaannya hanyalah melalui penggunaan alat muzik yang menjadi nadi kepada identiti sesebuah etniknya. Gabungan dua karakter vokal ini turut membuktikan bahawa masyarakat berbilang kaum di Malaysia juga mempunyai satu matlamat yang sama dalam memelihara jati diri mencintai keunikan identiti sendiri walaupun berbeza agama, budaya dan adat resam.

Track 2 & 6 - Hatinya Tak Tahan / Atine Ora Tahan

Lagu ini merupakan sebuah irama etnik Jawa yang digabungkan melalui muzik moden berunsur tekno dan disko dengan gendang Ketoprak Jawa dan Gamelan Bali, selain bahasa seharian yang digunakan oleh kelompok masyarakat ini turut menyerlahkan identiti salah satu kaum yang juga menetap di Malaysia. Penggunaan dwi-bahasa sepenuhnya yang membawa maksud sama ini turut dialunkan dengan corak nyanyian mengikut identiti, dapat menghidupkan jiwa irama ini.

*Elemen Gamelan Bali dan gendang Ketoprak Jawa mengingatkan aku ketikamana travel di Yogyakarta dan Bali. Yogyakarta semasa di Chandi Prambanan, terdapat sekumpulan pemuzik membuat persembahan dengan membawa alunan muzik jawa.

Track 3 - Penawar Rindu

Lagu ini merupakan sebuah irama inang ghazal yang cukup popular dan telah dirakamkan pada sekitar hujung tahun 1969 di bawah pimpinan Allahyarham Atan Ahmad. Penyanyi asal lagu ini, Datin Orchid Abdullah merupakan idola dan dianggap sebagai 'sifu' oleh Noraniza Idris dalam menyampaikan lagu-lagu bercorak Ghazal. Beliau banyak memberi dorongan khususnya kepada generasi pelapis, juga sering menitikberatkan disiplin dan tertib dalam mengalunkan melodi mengikut kreativiti tersendiri.

Track 4 - Rajuk Rindu

Irama ini merupakan sebuah irama berentak zapin atau zapana dengan gabungan muzik moden iaitu 'funky'. Teras penggunaan alat muzik bagi irama ini masih mengekalkan darbuka dan marwas sebagai identitinya. Manakala gamelan digunakan hanya sebagai muzik penghantar dalam irama ini.

Track 5 - Dondang Di Sayang

Irama ini merupakan irama tradisional identiti Negeri Melaka yang berasaskan rentak asli, inang dan joget. Nyanyiannya berkonsep berbalas pantun secara berpasangan dengan tema usik-mengusik, nasihat dan sebagainya. Masyarakat pelbagai kaum Negeri Melaka seperti Melayu, Portugis, Baba Nyonya mahupun Chitty turut menyampaikan irama ini di pesta-pesta keramaian dengan cara tersendiri. Selain penggunaan instrumen asal seperti rebana, biola dan gong, lagu ini telah menggabungkan rentak disko klasik moden dan 'loop' sebagai pendekatan bagi menarik minat generasi masa kini terhadap etnik Dondang Sayang yang makin dipinggirkan.

Track 7 & 12 - Ayuh! Juragan / Juklah! Guru Abe

Masyarakat Orang Asli, 'Orang Asal' atau 'Orang Pertama' merupakan kelompok pribumi minoriti di Semenanjung Malaysia. Secara kolektif turut diperkenalkan oleh ahli-ahli antropologi dan pentadbir-pentadbir yang merujuk kepada 18 kumpulan etnik kecil secara amnya melalui Negrito, Senoi dan Melayu-Proto yang diklasifikasi bagi tujuan-tujuan rasmi. Irama 'Sewang' ini yang bermaksud menyanyi dengan alunan sahut-menyahut sambil menari dengan diiringi ketukan buluh sebagai identiti masyarakat Orang Asli khususnya dari Kaum Semai dan turut digabungkan dengan elemen muzik moden iaitu twist selain lirik dari bahasa Semai sepenuhnya yang juga sub-kumpulan kaum terbesar Senoi.

Track 8 - Zapin Beradat

Merupakan sebuah irama zapin klasik yang popular dikalangan budayawan dan telah digabungkan dengan elemen muzik moden iaitu 'funky'. Lagu ini pernah disampaikan oleh Tan Sri SM Salim, Datuk Sharifah Aini dan lain-lain lagi mengikut corak penyampaian tersendiri. Tajuk lagu bagi melodi ini sentiasa berubah mengikut lirik yang dicipta tapi masih mengekalkan melodi asalnya. Melalui Zapin Beradat ini, sedikit perubahan telah dilakukan dalam penyusunan semula melodi. Bagi menambahkan keceriaan dalam lagu ini, sebuah irama khas telah dicipta sebagai penyambut maksud pantun yang lebih bersifat sebagai kesimpulan dari mesej yang disampaikan.

Track 9 - Disebut Jangan Di Kenang Jangan

Sebuah irama berentak asli yang pernah dipopularkan oleh Allahyarhamah Toh Puan Setia Datuk Hajjah Rafeah Buang, yang telah kembali ke rahmatullah pada 27 Julai 2002 kerana penyakit barah. Selain meminati keperibadian penyanyi ini, Noraniza Idris juga turut mengabadikan lagu ini di dalam 'Sawo Matang' sebagai memenuhi amanat arwah ayahnya agar dapat dirakamkan semula sekiranya berkesempatan. Sebagai 'tribute' kepada perjuangan insan seni ini juga, lagu ini telah digubah dengan suntikan R&B dan asli moden tapi masih mengekalkan ciri-ciri asli melalui nyanyian dan rentak.

Track 10 - Puteri Ledang

Irama ini adalah irama ghazal yang gabungan pop inang yang berskil jawa masih mengekalkan charr dan toda sebagai identiti muziknya. Lagu ini pernah disampaikan dalam versi Jawa sepenuhnya oleh S.A Aishah yang merupakan penyanyi ghazal tersohor dan disegani satu ketika dahulu. Walaupun mempunyai suntikan moden dalam gubahan tetapi masih mengekalkan keunikan sarigama dan parsi dalam alunan yang sebenar.

*Lagu Puteri Ledang ini adalah antara lagu yang sangat menarik dengan gabungan irama ghazal dan pop inang yang sememangnya 'kuat' untuk aku menyatakan yang lagu ini adalah lagu yang sangat menarik.

Track 11 - Indung Anak Melayu

Lagu ini adalah sebuah irama keroncong moden yang disuntik dengan gabungan muzik moden berunsur 'reggae' dan masih mengekalkan penggunaan ciri-ciri instrumen asal seperti ukulele, double bass, guitar akustik dan violin. Sebagai corak asas nyanyian keroncong, kawalan alunan vokal dan lenggok yang lebih bersahaja amat perlu bagi menghidupkan jiwa nyanyian irama keroncong ini.

So, korang dah baca setiap details yang aku kongsikan bagi setiap track lagu yang terdapat di dalam Album Sawo' Matang ni? Korang boleh cari di youtube untuk mendengar satu persatu lagu yang terdapat di dalam album ini. Tapi if korang nak dapatkan cd ni secara fizikal, aku tak yakin ianya masih terjual di pasaran dan jika ada, mungkin harganya melebihi RM150.00.

Dalam banyak-banyak album Noraniza Idris nie, inlay album paling menarik adalah inlay Album Sawo' Matang dimana koleksi pakaian yang dipakai oleh Kak Ani yang sangat klasik ditambah pewarnaan inlay yang ala warna kulit masyarakat Malaysia memberikan satu keindahan untuk kita kembali seketika ke zaman dahulu yang kuat dengan elemen tradisional. Nie aku nak kongsikan poem oleh Noraniza Idris untuk album Sawo' Matang ini...

"Aku bangkit dengan segala kudrat,
Memugar segala kekuatan,
Mengerah daya selagi ada,
Tetap akan ku tatang segala impian,
Tidak mahu berpaling lagi,

Haruskah ku pejamkan mata,
Sedangkan tradisi bonda gundah gulana,
Aku sedar langkah ini masih jauh,
Onak menusuk di sepanjang jalan,
Ombak cabaran tetap kan ku rentas,
Agar terbias gerimis dugaan,

Manis pujian ku jadikan azimat,
Pahit kritikan ku jadikan semangat,
Akan ku jelajah serata maya,
Bersemat keris iltizam pusaka,
Mengkhabar sakti gerak dan irama,
Buat yang alpa dan terlupa,

Tanpa adat budaya,
Apalah yang tinggal,
Hanya hidup dalam sejarah,
Warisan berkubur tidak bernisan,
Watan merintih tidak berlaga,
Kalau tidak kerana kasih,
Tidaklah aku teguh berkarya,
Tiada dua dan tiada tiga,
Sawo Matang inilah satu-satunya,
Bingkisan azimat buat jiwa semua,
Anak bangsa ku"

Sekian, wallahua'lam...

#SaveIramaMalaysia

Ikhlas dari,
WMHMY
wan_hazem19@yahoo.com
Kuala Lumpur

0 comments: