Monday, March 14, 2011

Yang Lemah Menunggu Peluang, Yang Hebat Mencipta Peluang...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

“Orang yang lemah menunggu peluang, Orang yang hebat mencipta peluang” itulah bait-bait ungkapan yang telah diungkapkan oleh Orison Swett Marden. Penulisan pada kali ini saya ingin bincangkan adalah berkenaan dengan peluang.

Banyak pembahagian peluang yang dapat kita kategorikan tetapi maksudnya hanya membawa kepada satu iaitu satu bentuk elemen yang bisanya akan muncul tanpa dirancang. Saya menganggap merebut peluang ini adalah perkara yang amat penting untuk memajukan diri kita dan membuat perubahan pada diri kita.

Sebagai contoh, Mohandas Karamchand Gandhi, Bapa Kebebasan India yang bijak melihat dan menggunakan ‘Krisis’ sebagai peluang bagi mencengkam pengaruhnya dalam membawa agenda kemerdekaan bagi India dari taklukan penjajah dan bukan halangan baginya. Namun kebijaksanaannya mengawal diri dan mengetahui apa yang patut diluahkan dan masa yang tepat bagi meluahkannya.



Selain itu, setiap di antara kita perlu menyedari bahawa peluang perlu diciptakan dan bukannya hanya menunggu peluang itu tiba dengan sendirinya. Sekiranya kita bijak dalam mengawal diri kita, Insyaallah, secara tak langsung, pintu peluang itu terbuka dengan seluas-luasnya dan kita sendiri yang perlu membuat keputusan sama ada berani berdepan dengan segala kemungkinan atau pun tidak.

Saya bagi contoh yang kedua, kehidupan seorang mahasiswa penuh dengan pintu-pintu peluang untuk melebarkan lagi ilmu-ilmu manfaat, mengembangkan lagi kemahiran-kemahiran sampingan tetapi disebabkan dek ‘buta’ dengan peluang itu, mahasiswa lebih cenderung dengan menghabiskan masanya dengan aktiviti yang tidak berfaedah.

Mahasiswa juga boleh mencipta pelbagai peluang sampingan untuk menambahkan ‘network’nya sama ada dalam bentuk menyelesaikan tugasan akademiknya atau pun melakukan sebarang bentuk program sebagai daya untuk mengukuhkan lagi peluang pada masa hadapan.

Penyelesaian tugasan akademik, merupakan satu bentuk kewajipan yang perlu dilalui oleh semua mahasiswa tak kiralah dari mana-mana kursus dan fakulti pengajiannya. Sebagainya contoh, Kursus Pengurusan Harta Tanah. Kursus pengajian ini melibatkan pelbagai tugasan akademik seperti menilai hartanah, pengurusan hartanah dan sebagainya.

Mahasiswa kursus ini terpaksa berjumpa pelbagai pihak luar seperti Pejabat Tanah, JUPEM, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan sebagainya lagi dan inilah yang dinamakan sebagai satu bentuk peluang menambahkan ‘networking’ untuk kepentingan masa hadapan.

Seterusnya, Program Mahasiswa. Saya bagi contoh, USR-UTM@Melaka2010. Program tersebut melibatkan pelbagai pihak bagi menjayakannya. Secara tak langsung, saya berpeluang menambahkan ‘networking’ saya dengan Pihak Kerajaan Negeri Melaka, MP Bukit Katil, Persatuan Belia, Jabatan Pelajaran Melaka, wartawan akhbar dan sebagainya lagi.

Kewujudan program sebegini adalah diibaratkan sebagai mencipta peluang yang secara tidak langsung semua yang terlibat mendapat manfaat disebalik penghasilan program seperti ini. Inilah yang dinamakan kebijaksanaan dalam mencipta peluang.

Bekas Perdana Menteri Britain, Benjamin Disraeli menyebut : “Rahsia kejayaan bagi seseorang dalam hidupnya ialah kesediaannya mengambil peluang yang terhidang.” Manakala Krueger dan Brazael dalam artikel yang diterbitkan dalam jurnal Entrepreneurship Theory and Practice pula menambah bahawa peluang hanya akan dapat disambar oleh mereka yang bersedia.

Akhir kata, saya menyeru agar seluruh mahasiswa dan belia Malaysia perlulah sentiasa mencelikkan mata dan cerap serta pantau setiap keadaan yang membolehkan pintu peluang itu ternganga luas. Kemudian bolos saja pintu itu bak kata Ziza, Raja Lawak.

Sekian, Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
Mantan Exco Majlis Perwakilan Mahasiswa
Universiti Teknologi Malaysia International Campus
wan_hazem90@yahoo.com

0 comments: