Saturday, March 26, 2011

Bahasa Wahana Ikatan Perpaduan...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

“Bahasa Wahana Ikatan Perpaduan” itulah tajuk penulisan saya pada kali ini. Kamus Dewan Edisi Keempat menyatakan bahawa istilah ‘Bahasa’ ialah sistem lambing bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (antara seorang individu dengan individu yang lain dan sebagainya).

Setiap bangsa di dunia ini, ada bahasanya yang tersendiri. Setiap penggunaan bahasa tersebut adalah sebagai alat untuk berurusan antara satu sama lain bagi mencapai kesejahteraan hidup dan meneruskan proses kehidupan masing-masing. Contohnya, Bahasa Melayu digunakan pakai oleh Bangsa Melayu dan Bahasa Jepun dengan Bangsa Jepunnya.

Bahasa itu sendiri menjadi lapangan sama ada untuk kebaikan atau kejahatan. Bahasa juga berperanan dalam pembentukkan tamadun bagi sesuatu bangsa di dunia ini. Di kalangan masyarakat Melayu, kita menganggap bahasa itu sebagai jiwa kepada sesuatu bangsa, bak kata pepatah Melayu, “Bahasa Jiwa Bangsa”.



Dalam agama Islam, berbahasa dengan bahasa yang terbaik adalah amat perlu kerana ia mencerminkan tahap keimanan dan ketakwaan seseorang. Sebagai contoh, penyebaran agama Islam di rantau alam Melayu, Bahasa Melayu adalah alat / bahasa pengantaraannya. Agama Islam sendiri menggalakkan umatnya menguasai bahasa asing.

Abdullah Munsyi, Abdul Samad al-Falambani, Hamzah Fansuri, Tun Sri Lanang, Raja Ali Haji dan sebagainya lagi adalah tokoh-tokoh ilmuwan dan agamawan Melayu tersohor yang telah mengarang dan menyebarkan pemikiran agama dengan penggunaan bahasa Melayu.

Tiada yang mustahil jika dikatakan bahasa memainkan peranan yang amat penting dalam pembentukkan sesebuah tamadun. Bahasa itu boleh dianggap sebagai alat utama dalam sesebuah penyebaran agama atau sesuatu ilmu yang ingin kita kongsikan kepada masyarakat sekeliling.

Bahasa Melayu contohnya diperkasakan di Malaysia melalui penggubalan undang-undang. Dalam Perkara 152 mencatatkan bahawa Perlembagaan Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan negara kita. Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967, Bahasa Melayu ialah bahasa rasmi dan hendaklah digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan..

Apa yang membanggakan ialah Bahasa Melayu telah dituturkan oleh lebih 250 juta manusia dan telah menjadi salah satu bahasa yang ditawarkan untuk dipelajari di 118 institusi pengajian tinggi di dunia. Oleh itu, dengan bahasa ini, secara tidak langsung, perpaduan yang diimpikan melalui dasar ‘Memartabatkan Bahasa Melayu’ dapat dilaksanakannya.

Kesimpulannya, marilah kita bersama-sama memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kita dengan menyumbang tenaga dan fikiran untuk terus mengangkat dan memartabatkan Bahasa Melayu agar ia menjadi bahasa agama, bahasa ilmu, bahasa ekonomi dan bahasa budaya kita serta tidak menghalang bahasa ibunda setiap kaum yang lain bagi mengukuhkan lagi ikatan perpaduan yang sememangnya diimpikan oleh kita semua sebagai rakyat Malaysia. Insyaallah.

Sekian, Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
Diploma Pengurusan Harta Tanah
Universiti Teknologi Malaysia International Campus
wan_hazem90@yahoo.com

1 comments:

Anonymous said...

bahasa akar bangsa