RSS Feed

Tuesday, November 3, 2026

#REVIEWBUKU2026 - KORBAN TERBITAN FIXI

Assalamualaikum...
Salam Sejahtera...
Salam Malaysia Madani...

#REVIEWBUKU2026 - KORBAN TERBITAN FIXI 

Penulis : Crystal Anabella
Terbitan : Fixi
Bil Muka Surat : 319 halaman


First kali bila tengok tajuk dan cover yang dipertunjukkan di FB, aku sudah rasa sangat-sangat tertarik untuk menjadi pembaca terawal buku bertajuk KORBAN ini.

Sinopsis yang dikongsikan juga membuatkan aku rasa bersemangat dan berkobar untuk membaca satu persatu bab-bab yang ada dalam buku novel ini.

Permainan Realiti Content Video Seram, demi wang! Siapa yang tak nak duit kan?

Aku tertarik dengan permulaan cerita di bab-bab terawal novel ini yang membawa aku ke satu permainan realiti melibatkan 7 orang yang dikenali sebagai Lucky-7 yang terdiri oleh Dollah, Sam, Mira, Ed, Prity, Kazar dan X.

7 peserta ini mempunyai latar belakang yang berbeza-beza dan mempunyai impian utk memenangi hadiah yang ditawarkan oleh penganjur. Setiap dari mereka mempunyai cerita mereka tersendiri, kenapa mereka kejar hadiah wang tunai yang ditawarkan oleh penganjur.

Setiap cerita dari setiap watak ini diperjelaskan secara berselang seli sehinggalah pembaca dapat menghayati sesi temuduga yang dijalankan oleh En Abbas membuatkan aku sendiri rasa cemas. Aku sendiri tertarik dengan cerita mereka terutamanya Dollah. Latar belakang Dollah sedikit sebanyak membuatkan aku sendiri 'buka mata' bila mengetahui dia adalah mangsa dera.

Itu belum diceritakan lagi, latar belakang Mira, Sam dan lain-lain. Masing-masing hidup dalam masalah mereka sendiri tapi wujudnya Lucky-7 ini , mempertemukan mereka dalam mengejar impian masing-masing untuk memenangi sejumlah wang yang ditawarkan.

Benar! Tiga peraturan yang tak masuk akal itu sememangnya logik bilamana aku sendiri rasa cemas bilamana satu persatu kekecohan timbul semasa mereka bertujuh telah berada di resort Qulantis tersebut.

Beberapa watak sampingan juga dipertunjukkan supaya pembaca dapat menyelusuri setiap hari sehinggalah hari terakhir permainan tersebut. Babak kejam atau 'gore scene' juga diselitkan di beberapa bab yang membuatkan aku nak tahu lagi dan lagi apa yang berlaku sebenarnya.

Khayalan atau Realiti?

Saat semakin getir bilamana beberapa peserta yang tinggal (setelah ada peserta yang telah mati) cuma memahami dan merungkai misteri disebalik kejadian-kejadian aneh yang berlaku sepanjang mereka berada di resort berkenaan.

Setiap hari tepat jam 11.58 malam, En Abbas akan datang mengutip video-video seram yang dibuat oleh para peserta mengenai kisah-kisah yang ada di dalam resort.

Hantu Koboi, Hantu Loceng, Hantu Api dan Hantu Kayu yang muncul jugak sedikit sebanyak memberikan elemen seram dan suspen sepanjang aku menghabiskan novel ini.

Siapakah yang selamat? Aku tak nak 'spoil' kan tapi aku rasa aku sangat puas hati dengan pengakhiran seperti itu. Aku sendiri cuba berteka-teki siapa yang akan selamat tapi boleh kata permainan ini nampak sangat real. Aku sendiri rasa seperti menjadi kawan-kawan kepada dorang - Mira, Dollah dll.

Sejujurnya, aku sangat-sangat puas hati dan seronok membaca novel terbaru buku FIXI ini. Terima kasih FIXI atas buku ini! πŸ˜ƒπŸ˜

Ikhlas dari,
Wan Muhammad Hazem MY
Bukit Baru, Melaka
wan_hazem19@yahoo.com

Di Sebalik Dinding Yang Tidak Kelihatan...

Assalamualaikum...
Salam Sejahtera...
Salam Malaysia Madani...

DI SEBALIK DINDING YANG TIDAK KELIHATAN...

Ada satu fasa dalam kehidupan yang tidak pernah kita jangka akan kita lalui. Fasa apabila tempat yang dahulunya menjadi ruang untuk bekerja, menyumbang idea dan membina kerjaya, perlahan-lahan berubah menjadi tempat yang membuatkan kita berasa asing. Kita masih hadir seperti biasa, masih menjalankan tanggungjawab, masih menyelesaikan tugasan yang diberikan, tetapi jauh di sudut hati, ada sesuatu yang semakin berubah. Kita mula merasakan kehadiran kita tidak lagi diraikan. Suara kita tidak lagi didengari. Malah, kewujudan kita seolah-olah semakin dipinggirkan, khususnya oleh mereka yang berada pada kedudukan dan jawatan lebih tinggi.

Perkara yang paling menyakitkan bukanlah apabila seseorang secara terang-terangan menunjukkan ketidaksukaan terhadap kita. Sebaliknya, ia adalah apabila kita mula merasakan perubahan sikap yang sukar dijelaskan. Ada perbezaan dalam layanan, ada jarak yang semakin melebar dan ada suasana yang membuatkan kita tertanya-tanya apakah sebenarnya yang sedang berlaku. Kita cuba berfikiran positif, cuba mencari kemungkinan bahawa semuanya hanyalah salah faham. Namun, apabila perkara yang sama berulang, sedikit demi sedikit keyakinan terhadap persekitaran sendiri mula terhakis.

Lebih sukar apabila kita sampai ke satu tahap yang membuatkan kita tidak tahu lagi siapa yang boleh dipercayai. Orang yang selama ini kita anggap sebagai rakan seperjuangan mula kelihatan jauh. Perbualan biasa pun kadangkala membuatkan kita berfikir panjang. Setiap perkataan ditimbang, setiap tindakan diperhatikan dan setiap keputusan dirasakan perlu dibuat dengan penuh berhati-hati. Kita bukan lagi bekerja dalam suasana yang memberikan ketenangan, sebaliknya seolah-olah sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga dan tidak harmoni. Ironinya, tempat yang sepatutnya menyatukan manusia atas dasar profesionalisme akhirnya menjadi ruang yang membuatkan kita mempersoalkan keikhlasan sesama sendiri.

Dalam keadaan sebegini, perkara yang paling membimbangkan ialah kewujudan tangan-tangan yang tidak kelihatan atau bahasa mudah - tangan ghaib. Bukan semestinya mereka yang tampil secara terbuka, tetapi pengaruh yang mungkin bergerak melalui bisikan, cerita yang disampaikan dari satu pihak kepada pihak yang lain, tafsiran yang diubah dan persepsi yang dibentuk. Hasut-menghasut, jika benar berlaku, tidak semestinya meninggalkan bukti yang jelas. Namun, kesannya boleh dirasai melalui perubahan hubungan, suasana yang semakin dingin dan kepercayaan yang semakin sukar dibina. Akhirnya, kita sendiri tertanya-tanya sama ada sesuatu perkara itu benar-benar berlaku atau sekadar persepsi yang terbentuk akibat keadaan yang semakin menekan.

Inilah situasi yang paling aku takutkan. Bukan sebab aku tak mampu menghadapi cabaran pekerjaan, tetapi kerana aki tak pernah membayangkan bahawa suatu hari nanti aki perlu bergelut dengan suasana yang membuatkan aku berasa begitu bersendirian. Aku boleh menerima tugasan yang sukar. Aku boleh menerima tanggungjawab yang besar. Aku juga boleh menerima teguran dan kritikan sekiranya ia bertujuan memperbaiki kelemahan diri. Tetapi apabila segala-galanya berlaku serentak, tanpa sokongan moral dan tanpa ruang yang cukup untuk memahami keadaan sebenar, perjuangan itu menjadi jauh lebih berat daripada yang mampu dilihat oleh orang lain.


Aku masih ingat bagaimana aku cuba memberikan komitmen terhadap satu penyertaan pertandingan yang aku sendiri tak pernah lalui. Sesuatu yang pada asalnya aku lihat sebagai peluang untuk membawa nama organisasi ke hadapan. Aku mencurahkan masa, tenaga, idea dan kreativiti untuk memastikan perkara tersebut yang dihasilkan mempunyai nilai serta manfaat utk semua. Aku percaya 'inovasi' bukan sekadar pertandingan untuk mendapatkan pengiktirafan, tetapi satu usaha untuk membuktikan bahawa perubahan boleh bermula daripada sekumpulan kecil individu yang mempunyai kesungguhan.

Namun, perjalanan itu tidak semudah yang dibayangkan. Ada kalanya aku merasakan seolah-olah bergerak sendirian. Perjuangan yang sepatutnya menjadi usaha bersama terasa seperti tanggungjawab yang perlu dipikul tanpa sokongan moral yang sewajarnya. Aku tak mengharapkan semua orang memberikan pujian. Aku juga tak mengharapkan layanan istimewa. Cukuplah sekadar sedikit dorongan, kepercayaan dan keyakinan bahawa usaha yang dilakukan mempunyai makna. Kadangkala, satu perkataan semangat daripada orang yang kita hormati sudah cukup untuk memberikan tenaga baharu. Tetapi apabila perkara sekecil itu pun sukar diperoleh, kita mula memahami betapa sunyinya sesuatu perjuangan.

Lebih merumitkan keadaan apabila kritikan hebat mula kedengaran dalam mesyuarat-mesyuarat yang berada di bawah seliaan sendiri. Mesyuarat yang sepatutnya menjadi medan perbincangan, penyelarasan dan penyelesaian masalah kadangkala bertukar menjadi ruang yang membuatkan kita berasa tertekan. Setiap keputusan seolah-olah mempunyai ruang untuk dipersoalkan. Setiap kelemahan diperbesarkan. Setiap usaha pula seakan-akan tidak mempunyai nilai yang cukup untuk dipertimbangkan. Aku tak menolak hakikat bahawa seseorang pemimpin perlu bersedia menerima kritikan. Malah, kritikan yang membina adalah sebahagian daripada proses kepimpinan. Tetapi apabila kritikan disampaikan tanpa keseimbangan, tanpa pertimbangan terhadap keadaan sebenar dan tanpa niat yang jelas untuk mencari penyelesaian, ia boleh menjejaskan keyakinan seseorang yang sedang berusaha menjalankan amanahnya.

Kadangkala aku terfikir, adakah ini harga yang perlu dibayar apabila seseorang terlalu bersungguh-sungguh melakukan sesuatu? Adakah usaha untuk membawa perubahan akhirnya menjadikan seseorang mudah dipersoalkan? Atau adakah dalam sesetengah keadaan, keikhlasan dan kesungguhan tidak lagi menjadi ukuran utama apabila persepsi sudah terlebih dahulu dibentuk?

Aku takde semua jawapan terhadap persoalan tersebut.

Apa yang aku tahu, setiap hari aku masih perlu bangun dan meneruskan tanggungjawab. Aku masih perlu hadir ke pejabat, berhadapan dengan manusia yang sama, menyelesaikan urusan yang sama dan membuat keputusan yang memerlukan pertimbangan profesional. Di sebalik wajah yang cuba kelihatan biasa dan tenang, ada banyak perkara yang sedang difikirkan dan bermain di fikiran. Ada perasaan yang tidak mampu diluahkan. Ada persoalan yang tidak tahu kepada siapa harus ditanyakan. Dan ada perjuangan yang mungkin tidak akan pernah diketahui oleh mereka yang hanya melihat seseorang itu dari luar.

Mungkin inilah antara ujian paling besar dalam kehidupan profesional seseorang. Apabila kita bukan sahaja perlu menyelesaikan tugasan, tetapi pada masa yang sama perlu mengurus emosi dan mental, menjaga kewarasan pertimbangan, mempertahankan integriti dan memastikan diri tidak hilang arah akibat keadaan sekeliling.

Aku semakin memahami bahawa tak semua orang akan memahami perjuangan kita. Tidak semua orang akan berdiri bersama kita ketika keadaan menjadi sukar. Dan tidak semua perkara perlu dijawab dengan penjelasan yang panjang. Ada masanya kita perlu membiarkan hasil kerja menjadi bukti, rekod menjadi sandaran dan prinsip menjadi pegangan. Jika ada perkara yang tidak benar, biarlah fakta dan proses yang sewajarnya menentukan kedudukan sebenar, bukannya kita terperangkap dalam kitaran prasangka dan andaian.

Namun, aku juga manusia biasa. Aku mempunyai batas kemampuan, mempunyai perasaan dan mempunyai hari-hari apabila segala-galanya terasa terlalu berat. Aku tak mahu berpura-pura bahawa semuanya baik-baik sahaja. Aku tak mahu terus menyembunyikan hakikat bahawa keadaan ini sedang menguji diri aku. Aku cuma berharap agar suatu hari nanti, aku dapat kembali bekerja dalam suasana yang lebih sihat, saling menghormati dan memberikan ruang kepada setiap individu untuk menyumbang tanpa dibayangi permainan persepsi.

Buat masa ini, mungkin aku perlu belajar membezakan antara perkara yang benar-benar berlaku dengan perkara yang masih menjadi persoalan. Aku perlu berhati-hati tanpa membiarkan ketakutan menguasai setiap keputusan. Aku perlu mendengar tanpa mempercayai setiap cerita, dan aku perlu menilai sesuatu berdasarkan fakta, bukan semata-mata bisikan. Paling penting, aku perlu pastikan bahawa segala tekanan ini tidak mengubah diri saya menjadi seseorang yang aku sendiri tidak mahu menjadi.

Kerana pada akhirnya, aku tak mahu kehilangan prinsip hanya kerana terpaksa berhadapan dengan keadaan yang sukar. Aku tak mahu membalas sesuatu yang tidak baik dengan tindakan yang sama. Aku juga tak mahu membiarkan pengalaman ini memadamkan minat, kreativiti dan semangat yang pernah menjadi sebahagian daripada diri aku.

Mungkin hari ini aku sedang berada di sebalik sebuah dinding yang tidak kelihatan. Dinding yang memisahkan aku daripada mereka yang suatu ketika dahulu saya anggap sebagai rakan seperjuangan. Dinding yang membuatkan aku tertanya-tanya tentang kepercayaan, kesetiaan dan keikhlasan. Tetapi aku masih mempunyai pilihan untuk menentukan bagaimana aku mahu meneruskan perjalanan ini.

Aku tak tahu berapa lama keadaan ini akan berterusan. Aku juga tak tahu bagaimana pengakhirannya. Tetapi aku berharap agar aku tak kehilangan diri sendiri dalam usaha untuk terus bertahan.

Kerana ada perjuangan yang tidak memerlukan tepukan, ada pengorbanan yang tidak menuntut pengiktirafan dan ada kesunyian yang tidak mampu diterjemahkan melalui kata-kata.

Dan mungkin, perjuangan yang paling sukar bukanlah untuk membuktikan sesuatu kepada orang lain, tetapi untuk memastikan kita masih mampu berdiri dengan prinsip dan maruah sendiri, walaupun ketika sokongan yang diharapkan tidak lagi berada di sisi.

Dan apa yang aku rasa sekarang adalah aku give-up! πŸ₯ΊπŸ₯Ή Dan aku akan mengalah! 

Wallahua'lam...

Dari,
WMHMY
Bukit Baru, Melaka
01 November 2026


Friday, October 9, 2026

A Conversation with Pita Limjaroenrat...

Assalamualaikum...
Salam Sejahtera...
Salam Malaysia Madani...

Kita bertemu kembali setelah lama tak bersiaran di sini. Kesibukan kerja dan beberapa komitmen lain yang membuatkan diri ini tidak dapat meluangkan masa untuk terus berkongsi berkenaan dengan beberapa perkara. Tapi takpe, aku ada nak kongsikan satu aktiviti terbaru berkenaan dengan peluang aku untuk menyertai program 'A Conversation With Pita Limjaroenrat' di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dari Melaka ke Kuala Lumpur: Bersama Pita Limjaroenrat dan Buku 'The Almost Prime Minister'...

Ada perjalanan yang kita lakukan kerana urusan kerja, ada perjalanan yang kita lakukan kerana mahu bercuti, dan ada pula perjalanan yang kita lakukan kerana kita tahu mungkin ada satu peluang yang tidak datang berkali-kali. 

Bagi aku, perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur pada 26 September 2026 dengan menaiki bas pada awal pagi adalah suatu perjalanan yang penuh dengan tujuan dan penuh dengan harapan iaitu berjumpa dan berinteraksi dengan seorang ikon politik muda dari Thailand iaitu Mr Pita Limjaroenrat, bekas pemimpin Parti Move Forward dan bekas Calon Pilihan sebagai Perdana Menteri Thailand.

Seawal aku mengetahui bahawa Mr Pita Limjaroenrat akan hadir ke Kuala Lumpur untuk sebuah program bertajuk “A Conversation with Pita Limjaroenrat – Lessons from Thailand: Democracy, Reform and the Future of Southeast Asia”, aku telah meletakkan satu harapan yg sangat tinggi iaitu aku nak jumpa dia, aku nak beli buku dia dan aku nak bergambar dengan dia. Dan paling penting, aku tahu aku perlu hadir. 

Ianya bukan semata-mata kerana mahu melihat seorang tokoh politik Thailand secara dekat, tetapi kerana aku mahu mendengar sendiri cerita seorang individu yang pernah menjadi antara watak paling penting dalam episod politik Thailand selepas Pilihan Raya Umum 2023. 

Lebih teruja, aku meletakkan harapan yg sangat tinggi utk membeli dan memiliki buku yang sudah lama aku nantikan iaitu The Almost Prime Minister memoir tulisan Mr Pita sendiri. Jadi, dalam kepala aku sejak awal lagi sudah ada satu misi kecil: hadir ke program, dengar perkongsian beliau, dan kalau ada rezeki, dapatkan tandatangan Mr Pita pada buku tersebut.

Sebenarnya, keterujaan itu bermula beberapa hari sebelum aku bertolak ke Kuala Lumpur. Sebaik sahaja gaji masuk, antara perkara yang bermain dalam fikiran aku ialah bagaimana mahu mendapatkan naskhah The Almost Prime Minister. Sewaktu aku call Kinokuniya KLCC, buku tersebut masih belum ada di pasaran mereka. 

Bagi sesetengah orang, membeli buku mungkin perkara biasa. Tetapi bagi aku, buku ini mempunyai cerita tersendiri. Aku sudah lama mengikuti perjalanan politik Mr Pita dan Move Forward Party, khususnya selepas pilihan raya Thailand pada 2023. Jadi apabila mengetahui bahawa Mr Pita sendiri menulis sebuah memoir tentang perjalanan tersebut, aku merasakan buku ini memang perlu berada dalam koleksi aku. Penerbit Penguin Random House Southeast Asia menyifatkannya sebagai sebuah memoir politik yang menceritakan perjalanan Mr Pita daripada tahun-tahun beliau belajar dan bekerja dalam dunia perniagaan, sebelum menjadi wajah penting gerakan pro-demokrasi Thailand dan membawa Move Forward Party kepada kemenangan pilihan raya 2023 yang disokong lebih 14 juta pengundi. 

Aku bukan sekadar mahu membaca buku tersebut. Aku mahu memilikinya sebagai sebahagian daripada pengalaman aku mengikuti kisah politik Asia Tenggara. Dan apabila aku tahu penulis buku itu sendiri akan berada di Kuala Lumpur untuk beberapa hari kemudian, terus timbul satu impian kecil iaitu alangkah seronoknya kalau buku ini dapat ditandatangani sendiri oleh Mr Pita.


Bagi yang tidak begitu mengikuti politik Thailand, mungkin perlu aku ceritakan sedikit mengapa nama Pita Limjaroenrat begitu menarik perhatian aku. Dalam pilihan raya Thailand pada Mei 2023, Move Forward Party muncul sebagai parti yang memperoleh jumlah undi dan kerusi terbanyak. Parti tersebut memenangi 151 daripada 500 kerusi Dewan Perwakilan menerui pilihan raya. Mr Pita sebagai pemimpin parti kemudiannya berusaha membentuk kerajaan dan menjadi Perdana Menteri Thailand. Namun, sistem politik Thailand pada ketika itu mempunyai satu mekanisme yang menjadikan proses tersebut jauh lebih rumit. Selain ahli Dewan Perwakilan, Senator yang dilantik turut mempunyai peranan dalam undian pemilihan Perdana Menteri. 

Dalam undian pada Julai 2023, Pita memperoleh 323 undi, tetapi masih kurang daripada 375 undi yang diperlukan. Hanya sebahagian kecil sokongan datang daripada Senator. Selepas itu, perjalanan politik Mr Pita berdepan beberapa lagi perkembangan undang-undang dan institusi, termasuk penggantungan sementara daripada tugas sebagai Ahli Parlimen, sebelum Move Forward Party akhirnya dibubarkan pada Ogos 2024 dan Mr Pita dikenakan larangan memegang jawatan politik selama 10 tahun. 

Kisah inilah yang menjadikan tajuk The Almost Prime Minister begitu menarik bagi aku. Ia bukan sekadar cerita tentang seseorang yang hampir menduduki jawatan tertinggi kerajaan. Ia adalah cerita tentang sebuah kemenangan pilihan raya, harapan yang besar, sistem politik yang kompleks dan apa yang berlaku selepas sebuah impian politik tidak menjadi seperti yang diharapkan.

Dan akhirnya, tibalah pagi yang aku tunggu-tunggu. Dari Melaka aku bergerak ke Kuala Lumpur dengan satu perasaan yang sukar digambarkan. Ada rasa teruja, ada rasa tidak sabar, dan dalam masa yang sama ada sedikit rasa seperti “Betulkah aku akan jumpa Mr Pita hari ini?” Benda yang pada awalnya hanya aku baca dalam berita dan media sosial tiba-tiba menjadi sesuatu yang benar-benar berlaku di depan mata. 

Apabila tiba di lokasi pintu utama bangunan AICB, aku bertembung dengan Mr Pita dan sempat bersalaman. Suasana bangunan tersebut sangat 'korporat' dan suasananya terasa berbeza daripada program biasa. Apa pun, aku tahu aku berada di situ bukan sekadar sebagai peserta yang mahu duduk, mendengar dan kemudian pulang tetapi aku datang dengan rasa ingin tahu yang sangat besar serta keinginan aku untuk mendapatkan buku 'The Almost Prime Minister'. 

Program yang dianjurkan oleh Allianz Centre for Governance (ACG) dengan kerjasama Universiti Malaya dan Penguin Random House Southeast Asia ini membawa tema yang cukup luas iaitu demokrasi, reformasi dan masa depan Asia Tenggara. ACG sendiri memang ada menganjurkan pelbagai forum yang membawa tokoh dan pemikir untuk membincangkan isu berkaitan tadbir urus, masyarakat dan masa depan negara. Sebab itu aku rasa program ini mempunyai nilai yang tersendiri. 

Ia bukan semata-mata acara bertemu ahli politik tetapi ia adalah ruang untuk aku mendengar sendiri pengalaman dan pandangan seseorang yang pernah melalui satu episod politik yang sangat luar biasa. Bagi aku, perkara paling menarik ialah peluang untuk mendengar Mr Pita bukan sebagai nama yang muncul di skrin telefon atau di halaman berita, tetapi sebagai manusia yang pernah berada di tengah-tengah semua peristiwa tersebut.

Apa yang aku nantikan sebenarnya bukan sekadar cerita tentang bagaimana beliau hampir menjadi Perdana Menteri. Aku lebih tertarik dengan apa yang berlaku selepas itu. Bagaimana seseorang menerima hakikat bahawa keputusan pilihan raya yang memberikan mandat besar kepada parti yang dipimpinnya tidak membawa kepada pembentukan kerajaan seperti yang diharapkan? Bagaimana seseorang melihat semula semua pengalaman tersebut selepas beberapa tahun? Dan apakah yang beliau fikir boleh dipelajari oleh generasi muda Thailand serta negara-negara lain di Asia Tenggara? 

Ini juga sebabnya aku rasa memoir seperti The Almost Prime Minister begitu menarik untuk aku miliki. Bagi aku, membaca memoir seseorang yang pernah berada di tengah-tengah sejarah memberikan pengalaman yang berbeza daripada sekadar membaca laporan berita tentang peristiwa tersebut di media arus perdana semata-mata.

Sebagai orang Malaysia, aku juga datang dengan satu lagi rasa ingin tahu. Kita mungkin berbeza daripada Thailand dari segi sejarah politik, sistem institusi dan pengalaman masyarakat, tetapi kita tetap berkongsi satu rantau yang sama. Apa yang berlaku di Thailand sering menjadi sesuatu yang menarik untuk diperhatikan oleh rakyat negara jiran. 


Aku sendiri tertanya-tanya apakah sebenarnya pengajaran yang boleh dibawa daripada pengalaman Thailand kepada Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara yang lain. Sebab itu salah satu persoalan yang aku fikirkan sebelum menghadiri program ini adalah daripada pengalaman Mr Pita itu sendiri, apakah satu perkara yang beliau percaya Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara lain boleh pelajari daripada perjalanan demokrasi Thailand? Bagi aku, soalan seperti ini lebih menarik daripada sekadar bertanya tentang siapa menang atau siapa kalah. 

Politik bukan hanya mengenai jawatan. Ia juga mengenai institusi, generasi, aspirasi rakyat dan bagaimana masyarakat membayangkan masa depan mereka. Baru-baru ini pun, Mr Pita terus terlibat dalam perbincangan mengenai masa depan Thailand dan kepimpinan generasi seterusnya, termasuk melalui pelbagai forum dan wawancara selepas tempoh politik aktifnya.

Satu perkara yang paling aku suka tentang pengalaman tersebut ialah aku dapat melihat bagaimana sebuah buku boleh menjadi jambatan antara pembaca dengan sebuah pengalaman politik yang besar. Sebelum hari itu, aku tercari-cari bagaimana utk memiliki buku The Almost Prime Minister ini. Tetapi selepas menghadiri program tersebut, buku itu berjaya dimiliki dan menjadi antara orang terawal yg berjaya membeli buku tersebut (difahamkan buku tue dibawa dengan kuantiti yg terhad).


Dan ya, antara perkara yang paling aku nantikan tentunya ialah tandatangan Pita. Bagi orang lain mungkin perkara itu nampak kecil. Tetapi bagi aku, ia adalah satu peluang untuk aku bertemu dengan Ikon Politik Asia Tenggara.

Aku membeli bukunya kerana aku tertarik dengan kisahnya. Aku membaca dan mengikuti perjalanan politik Mr Pita kerana ingin memahami apa yang berlaku selepas kemenangan Move Forward Party pada 2023. Kemudian aku mengetahui bahawa beliau akan hadir ke Kuala Lumpur. Aku terus mendaftar demi memastikan aku ada seat utk program tersebut. 

Dalam kehidupan, kita mungkin tidak boleh menyimpan semua pengalaman. Tetapi kadang-kadang kita boleh menyimpan satu buku, satu gambar, satu tandatangan atau satu tiket sebagai bukti bahawa kita pernah berada di sana ketika sesuatu yang bermakna berlaku.

Selepas program selesai, perjalanan aku sebenarnya belum berakhir. Aku masih perlu kembali ke Melaka semula dan meneruskan agenda lain pada hari tersebut. Kalau difikirkan semula, memang agak kelam-kabut juga jadual pada hari tersebut. Dari Melaka ke Kuala Lumpur untuk program bersama Mr Pita, kemudian perlu bergegas kembali ke Melaka untuk satu lagi acara pada sebelah malam, dan selepas itu kembali semula ke Kuala Lumpur pada hari berikutnya untuk persediaan mesyuarat. 

Dalam celah-celah semua itu, sempat pula aki memasukkan satu lagi misi kecil iaitu mencari tote bag Colgate x Harry Potter sebelum meninggalkan Kuala Lumpur. Haha... Penat memang penat, tetapi ada pengalaman yang membuatkan penat itu terasa berbaloi. Dan pagi bersama Mr Pita Limjaroenrat adalah salah satu daripadanya.

Apabila aku fikir semula tentang keseluruhan pengalaman ini, aku sedar bahawa aku sebenarnya tidak datang ke program tersebut semata-mata untuk melihat seorang tokoh politik Asia Tenggara. Aku datang untuk memahami sebuah cerita. Kisah tentang bagaimana seseorang boleh bergerak daripada dunia perniagaan kepada politik, menjadi pemimpin sebuah parti, membawa parti tersebut memenangi pilihan raya, berada begitu hampir dengan jawatan Perdana Menteri dan kemudiannya berdepan dengan satu siri cabaran institusi dan undang-undang yang mengubah seluruh perjalanan politiknya. 

Aku juga datang untuk mendengar bagaimana beliau melihat semuanya selepas pengalaman tersebut. Apa yang aku bawa pulang akhirnya bukan sekadar gambar dan buku. Aku bawa pulang satu lagi perspektif tentang politik Asia Tenggara bahwa keputusan pilihan raya, demokrasi, institusi dan perubahan masyarakat semuanya saling berkait, dan kadang-kadang perjalanan politik seseorang jauh lebih kompleks daripada apa yang boleh kita fahami hanya melalui tajuk berita.

Mungkin itu sebabnya tajuk The Almost Prime Minister terus melekat dalam fikiran aku. “Almost” adalah satu perkataan yang sangat mudah, tetapi di sebaliknya terdapat sebuah perjalanan yang panjang. Hampir menjadi Perdana Menteri bukan bermakna tiada apa-apa yang berlaku. Sebaliknya, “hampir” itu sendiri menjadi sebahagian daripada sejarah dan pengalaman seseorang. 

Buku tersebut, bagi aku, bukan hanya tentang sebuah jawatan yang tidak sempat disandang. Ia tentang perjalanan menuju ke arah jawatan itu, manusia yang ditemui sepanjang perjalanan, kemenangan yang diraih, cabaran yang dihadapi dan persoalan tentang apa yang dilakukan selepas impian tersebut berubah arah. Dan mungkin itulah nilai sebenar sebuah memoir yang akan memberi kita peluang untuk melihat sejarah melalui pengalaman seseorang yang pernah berada di dalamnya.

Aku pulang daripada Kuala Lumpur dengan satu perasaan yang sukar diterangkan. Penat, sudah tentu. Tetapi dalam masa yang sama, ada kepuasan yang sangat besar. Aku pernah membayangkan bagaimana rasanya berada dalam sebuah ruang dan mendengar sendiri Mr Pita Limjaroenrat berkongsi tentang perjalanan yang selama ini aku ikuti dari jauh. 

Sekarang aku sudah memilikinya. Buku The Almost Prime Minister yang pada awalnya hanya berada dalam wishlist aku, kini sudah berada dalam tangan.

Pada akhirnya, mungkin itulah yang aku akan ingat daripada 26 September 2026. Bukan hanya nama program, bukan hanya siapa yang berada di atas pentas dan bukan hanya apa yang tertulis dalam buku tetapi suatu pengalaman yg paling tak diduga.

Sekian, wallahua'lam...

Ikhlas dari,
WMHMY
09 Oktober 2026
Kampung Baru, Kuala Lumpur 
wan_hazem19@yahoo.com

Sunday, August 9, 2026

Tiket Sehala - Survival Mangsa Scammer Kerja di Korea Selatan...

Assalamualaikum...
Salam Perpaduan...
Salam Malaysia Madani...

Cuaca hari nie di Melaka agak membahang. Mungkin mengambil mood 'panas' menjelang pembubaran DUN Negeri Melaka yang dijangka pada bila-bila masa. Tahniah kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) kerana mempunyai majoriti 2/3 untuk membentuk Kerajaan Baharu di Negeri Sembilan pasca Pilihanraya DUN Negeri Sembilan yg ke-16 pada minggu lepas. Tahniah!

TIKET SEHALA : SURVIVAL MANGSA SCAMMER KERJA DI KOREA SELATAN


Tadi aku berkesempatan untuk menonton filem tempatan terbaharu di GSC Dataran Pahlawan, Melaka iaitu filem Tiket Sehala arahan Puan Rahila Ali yang menampilkan kerjasama produksi Malaysia - Korea Selatan yang jarang-jaranh berlaku.

First sekali aku tahu berkenaan dgn movie ini setelah terlihat posternya di Media Social GSC. Poster dia sahaja membuatkan aku terus tertarik untuk menonton filem ini bilamana highlights utama yg aku nampak adalah 'Dibunuh atau Membunuh'. Wow!

Posternya sahaja boleh membuatkan penonton mengetahui bahawa filem ini pasti ber'genre' aksi. Ya, betul! Filem ini berselang seli dengan aksi. Di awal filem kita terpukau dengan aksi fight melibatkan watak bernama Puteri dengan sekumpulan penjahat.

AKSI - SURVIVAL - KEKELUARGAAN

3 perkataan ini menjadi perkataan yg paling sesuai setelah aku menonton filem ini tadi. Pengarah, Produksi Filem dan Pelakon-Pelakon filem ini memberikan sebuah karya yang sangat-sangat menarik dan mampu membawa aku turut merasai keperitan yang berlaku bilamana menjadi salah seorang mangsa scammer kerja di Korea Selatan.

Tahniah buat Nokki yg membawa watak Aliff, Jaa Suzuran (Taqy), Ainee Mustafa (Puteri) dan Sharifah Sakinah (Kak Sal) yang sangat-sangat memberi jiwa kepada lakonan mereka yang bagi aku serba cukup untuk menarik penonton merasai apa yang mereka rasai di Korea Selatan.

Ada satu babak bilamana salah seorang mereka dihukum, sangat-sangat menyentuh hati dan kita sendiri turut menangis dengan scene tersebut. 

Para pelakon dari Korea Selatan jugak sangat menarik dan membuatkan aku geram melihat perilaku mereka dalam filem ini cukup 'hidup' sebagai sindiket scammer. Apa yang menarik, filem ini turut menampilkan Jun Tarzan iaitu salah seorang peserta 100 Physical South Korea Netflix 1st Season.

Aku rasa watak Ardell sebenarnya adalah scammer yg berada di Malaysia dan menjadi tali barut kepada sindiket di Korea Selatan.

Watak Indra (Naufal Samudra - peninju Indonesia) dan Dao (Ninja Aphisit Usadee) terlalu simple dan tidak menonjol. Kalaulah Pengarah dapat menghidupkan lagi 2 watak nie pasti menarik. Contohnya, bagaimana orang Indonesia & Thailand turut menjadi mangsa Scammer Kerja ini.

Secara keseluruhan, aku bagi 4/5 bintang untuk filem Tiket Sehala ini dan aku cadangkan korang semua pergi ke pawagam terdekat dan tonton filem ini. Rugi kalau tak tengok sendiri filem ini di pawagam.

Sebelum tue, aku nak kongsikan beberapa gambar kenang-kenangan bilamana aku berpeluang bergambar dengan para pelakon filem ini.


Sekian, wallahua'lam...

Ikhlas dari,
WMHMY
wan_hazem19@yahoo.com
Dataran Pahlawan, Melaka
09 Ogos 2026

Sunday, July 12, 2026

Dilema Melanda...~

Assalamualaikum...
Salam Sejahtera...
Salam Malaysia Madani...

Banyak perkara yang sedang bermain di fikiran aku sekarang ni. Soal kerja yang berterusan, soal rumah, soal trip travel, dan macam-macam lagi persoalan bermain di fikiran aku sekarang.

Sometimes aku rasa macam give-up untuk hadap semua benda ini. Paling terbaru aku mengakui kesilapan yg dilakukan oleh aku sendiri direct dengan seseorang itu akibat aku terlepas pandang terhadap perkara yang tak sepatutnya berlaku.

Mulanya agak janggal dan agak malu untuk aku berbuat sedemikian, tapi aku kena akui bahawa kesilapan itu berlaku disebabkan aku tak alert untuk buat semakan berkali-kali dengan pihak ketiga.

Pastu, aku dihimpit dengan masalah dalaman keluarga sampai terbawa-bawa dalam mimpi. Bayangkan dalam mimpi tue, aku berdepan situasi pemergian orang yg paling aku sayang. Dunia aku jadi gelap seketika, aku takde tempat nak luah, aku takde tempat nak berborak sehinggalah aku terjaga dari tidur. Aku menangis sepuas-puasnya bilamana itu hanyalah mimpi sahaja.

Tapi dalam mimpi tue, aku tersedar satu perkara, bilamana orang yg paling aku sayang tiada, secara automatic aku tidak dapat nak terima kenyataan dan mungkin aku give-up untuk teruskan hidup. Itu yang aku rasa...


Selain tue, aku kecewa dengan banyak perkara di sekeliling aku. Banyak benda! Tapi aku taktau nak kongsikan dimana. Hanya mampu simpan sahaja.

Terbaru, aku rasa ralat sikit dengan kehidupan. Lagi aku menjauhi seseorang itu, lagi dekat dia datang. I don't know, why?? But dia antara orang yang paling aku benci dan paling aku tak suka. Dia muncul secara tiba-tiba. Dan dia selalu cuba berlawan dengan aku dari semua sudut. Aku kekadang malas nak layan...tapi tue la, dia muncul semula dalam kehidupan aku...

Sekarang aku merasa agak keseorangan. Bilamana satu persatu orang yang aku rapat , makin jauh dari aku. Bukan disebabkan bermasalah atau apa, tapi disebabkan jarak aku dengan dorang. Aku di Melaka dan dorang di Kuala Lumpur.

Aku suka sebenarnya menetap di Melaka nie cuma aku tiada kawan di sini. Rasa terlalu keseorangan! Tiada geng untuk bersukan, tiada geng untuk menonton wayang, tiada geng untuk lepak makan.
Sedih juga kekadang bilamana fikir pasal nie...

Insyaallah...apa-apa pun, jumpa lagi semua nanti.

Ikhlas dari,
WMHMY
wan_hazem19@yahoo.com
Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur 

Saturday, June 20, 2026

Semua Akan Baik-Baik Saja...

Assalamualaikum...
Salam Sejahtera...
Salam Malaysia Madani...

Kembali kita sekali lagi ke blog aku yang tak seberapa ini. Ikutkan hati, aku nak berkongsi berkenaan dengan trip solo backpackers aku ke beberapa buah negara seperti Laos, Nepal, Uzbekistan, Tajikistan & Kazakhstan. Tapi aku lebih nak berkongsi mengenai sebuah filem yang aku tonton semalam iaitu filem 'Semua Akan Baik-Baik Saja'.

SEMUA AKAN BAIK-BAIK SAJA...

Kebetulan, aku baru sahaja terima guest dari Indonesia iaitu Johanes seorang cikgu yang mengajar alat muzik di Sotkamo, Finland. Dan terdetik di hati nak tonton filem 'Semua Akan Baik-Baik Saja' di pawagam selepas aku tertarik menonton trailernya dan juga tertarik dengan posternya.


Filem arahan Baim Wong ini menampilkan beberapa pelakon pilihan ramai iaitu Reza Rahadian, Christine Hakim dan beberapa pelakon lain. Ternyata, mata aku tertumpu kepada lakonan hebat Christine Hakim yang kali ini membawa watak seorang ibu dan nenek yang penuh sifat kasih sayang terhadap sebuah keluarga yang hampir berpecah.

Filem ini mengingatkan aku kepada filem-filem karya Almarhumah Yasmin Ahmad seperti Gubra, Sepet, Muallaf, Mukhsin dan sebagainya. Dimana genre drama yang mengangkat kisah realiti kehidupan sebuah keluarga yang susah dalam mendepani dunia hari ini.

Reza Rahadian yang membawa watak Langit menjadi tunggak utama dalam membawa pengkisahan seorang lelaki bujang yang tidak mempunyai pekerjaan tetap namun masih mempunyai sifat kasih sayang sebagai seorang pakcik dalam memberi sinar kepada anak buahnya yang baru sahaja kehilangan ibunya (kakak kepada Langit).

Ibu Wida lakonan Christine Hakim juga mencuri pandangan dalam membawa watak yang cukup-cukup hidup dalam pembawaan watak yang pelbagai emosi dimana beliau kehilangan anak perempuannya yang sulung, kemarahannya terhadap menantunya yang cuba mengambil harta anaknya, cintanya kepada anak cucunya seperti Alim, Malika dan Syafa serta perjuangannya dalam menyayangi anaknya walaupun mengetahui 'dark side' anak perempuannya iaitu Bintang.

Penceritaan yang dibawa dalam filem ini cukup menyentuh pelbagai emosi dimana ada elemen sedihnya sehingga mampu mengalirkan air mata, elemen marah dan sakit hati, elemen lucu dan sebagainya lagi yang boleh dianggap penuh perisanya.

Pengajaran atau iktibar juga boleh diambil di dalam filem ini kerana pelbagai watak dan scene yang boleh memberikan kita semangat baharu untuk menjadi lebih baik bilamana kesempatan yang singkat ada di depan mata. Cuma kita perlu pertimbangan samada untuk ambil atau biarkannya.

Selain itu, aku juga tertarik dengan latar belakang beberapa babak terutamanya babak di flat kos rendah yang cukup lain dari apa yang ada di Malaysia. Satu gambaran baharu yang mampu membawa penonton untuk menyelami kehidupan bagi masyarakat B40.

Apa-apa pun, secara keseluruhannya, aku bagi 9/10 Bintang untuk filem ini. Tahniah diucapkan kepada Baim Wong diatas sebuah filem yang cukup menarik dan berbaloi untuk dibayar harga tiketnya. Tahniah!

*P/s - aku menjangkakan bahawa Christine Hakim dan Reza Rahadian mampu berada di Top 5 sebagai Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik Filem di Festival Filem Indonesia 2026 yang akan datang.

Sekian, wallahua'lam...

Ikhlas dari, 
WMHMY
wan_hazem19@yahoo.com
Tamu Hotel, Kuala Lumpur 
19 Jun 2026


Monday, January 26, 2026

Survive In January 2026!

Assalamualaikum...
Salam Perpaduan...
Salam Malaysia Madani...

Kecoh kat semua media sosial berhubung dengan pertembungan antara Puteri Balqis dan Mia Sara. Aku sekadar membaca sahaja tapi tak nak ulas apa-apa. Dan keputusan Mahkamah Tinggi terhadap kes yang melibatkan Dai Syed. Nie pun aku tak nak ulas.

SURVIVE IN JANUARY 2026!

Yeahhh boleh kata, aku masih 'survive' dalam Januari 2026 ini bilamana aku hempuknya semua KPI untuk sukuan pertama bagi kerja-kerja aku ke Januari. Alhamdulillah, 9 jenis mesyuarat yang memerlukan aku sebagai Setiausaha , telah aku selesaikan pada 21 Januari 2026 yang lalu.


Semuanya aku anggap hasil dari wujudnya 'TAKWIM PENGURUSAN 2026' yang aku sediakan pada akhir Disember 2025 yang lalu sebagai guide / hala tuju kepada aku dalam mengetuai Wing Pengurusan. Alhamdulillah...

Sebenarnya, bukan bab kerja saja, perkara lain turut aku buat dalam Januari 2026 ini adalah selesaikan beberapa bacaan aku, planning utk next trip secara Solo Backpackers, uruskan keperluan lain dan terbaru dapat merasa duduk di 2 buah hotel yang aku impikan selama ini iaitu Sunway Putra Hotel dan Seri Pacific Hotel yang kedua-duanya terletak di Kuala Lumpur.

Bab bacaan, sekarang ini aku ngah selesaikan bacaan buku terbaru keluaran FIXI iaitu HWJN karya Ibraheem Abbas, Hikayat Si Kembar 2: Ramalan Jagat Raya, dan beberapa buku lain.

Dalam kesibukan aku ini, aku rasa sedih jugak sebenarnya sebab terpaksa 'GUGURKAN' plan aku untuk explore secara Solo Backpackers ke Tehran, Iran dan explore seluruh Iran. Paling mendukacitakan aku adalah setelah terima maklumbalas dari pihak Embassy Malaysia di Tehran yang menyarankan aku supaya tangguhkan dahulu perancangan aku untuk masuk ke Iran.

Rasa sedih sangat... Teringin sebenarnya nak masuk ke Iran. Tapi apakah daya, terpaksa reda sahaja terutamanya bilamana terpaksa burn ticket flight Air Arabia yang aku dh beli sebelum ini.

Banyak sebenarnya yang aku nak explore di Iran nie, dan jarang-jarang untuk kita merasa dan menghayati bumi Iran secara Solo Backpackers. Harapan aku tetap menggunung tinggi, sekiranya di masa akan datang, aku dapat peluang untuk masuk ke Iran. Insyaallah...

Nie aku sekarang di Kuala Lumpur. Tengahari semalam aku gerak dari Melaka semata-mata untuk jumpa adik aku yang stay di rumah aku di Kuala Lumpur. Besok dia ada exam, so dapat la bawak dia makan-makan tadi. πŸ˜…πŸ˜…πŸ˜…

Pagi nanti, aku akan ke Port Dickson pulak untuk 'Pelan Tindakan Bencana Rekod'. Benda nie masih baru bagi aku, tapi aku pun ada perancangan sendiri. Hopefully, semuanya berjalan dengan lancar. Insyaallah...

Sekian, wallahua'lam...

Ikhlas dari,
WMHMY
wan_hazem19@yahoo.com
Setapak, Kuala Lumpur 
26 Januari 2026