Friday, December 10, 2010

Bersyukur Apa Yang Ada...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

“Alangkah menakjubkan perilaku orang mukmin, jika ia mendapat kebahagiaan, ia bersyukur, jika ia ditimpa musibah, ia bersabar”
-Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Dawood-

Terdetik di hati saya apabila melangkah kaki masuk kembali ke kampus pada malam tadi untuk meneruskan beberapa program/projek untuk membuat satu penulisan berkaitan dengan pentingnya bersyukur atas nikmat Allah yang diberikannya secara menyeluruh dan beransur-ansur kepada seluruh hamba-Nya tidak kira sama ada muslim mahupun bukan muslim.

Setiap manusia yang dicipta-Nya mempunyai kelebihan dan keistimewaan masing-masing, dan setiap individu itu sendirilah yang sepatutnya mencungkil dan mengembangkan apa kelebihannya itu. Setiap nikmat yang diberikan itulah sepatutnya kita memuhasabahkan diri untuk terus bersyukur kepada Yang Maha Esa.

Terdengar juga suara-suara rakan-rakan mengeluh dengan cabaran dan kesusahan yang ditimpa tetapi perasankah kita bahawa setiap apa yang diberikan-Nya itu, sebenarnya ada hikmah yang terselindung di sebaliknya? Banyak kita lihat sekarang, ada individu-individu yang begitu angkuh di kerusi empuk dan egonya yang tinggi membuatkan kita menyampah dengan sikap yang sedemikian.

Mengapa kita perlu bersyukur? Cuba lihat ke dalam diri kita. mata yang berkelip-kelip membaca tulisan ini dan akal yang memahaminya. Jantung yang berdegup hingga ke saat ini. Siapakah sebenarnya yang mengawasi segala sistem aturan dalam diri kita sendiri? Tak lain tak bukan, hanya pada Allah juga kita bergantung.





Bersyukur itu merupakan perkara yang sentiasa perlu kita tanamkan dalam diri kita tidak kiralah sama ada ianya berbentuk yang menggembirakan atau yang menyakitkan. Contohnya, kita bersyukur disebabkan kita mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan akhir tetapi adakah kita bersyukur dengan kejayaan kita itu? Dan sekiranya kita gagal, adakah patut kita berputus asa dari mencari apa sebenarnya kekhilafan diri kita?

Pembentukkan jati diri dan pembangunan sahsiah diri perlu menjadikan “Bersyukur” itu menjadi keutamaan dalam diri kita untuk terus kita memperolehi kejayaan yang berganda pada masa akan datang. Percayalah pada diri sekiranya kita terus bersyukur dengan nikmat yang diberikan-Nya, Insyaallah…nikmat itu akan terus kekal ke akhirnya.

Sekian, Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
Exco Majlis Perwakilan Mahasiswa
Universiti Teknologi Malaysia International Campus
wan_hazem90@yahoo.com

0 comments: