Saturday, December 25, 2010

Antara Garisan...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

“Antara Garisan” satu simbolik kepada satu persimpangan hidup manusia sama ada dalam memilih ke arah kebaikkan atau keburukkan. Simbolik memberi satu gambaran baru kepada insani dalam membuat perhitungan diri dalam mencari sinar kebenaran-Nya.



Drama yang ditunjangi oleh Norkhiriah ini merupakan satu bentuk drama yang memberi satu kritikan hebat kepada mereka yang terlalu taksub kepada agama Allah tetapi tewas dengan pujuk rayu iblis laknatullah kerana sifat angkuh, bongkak dan terlalu mengikut hawa nafsu.

“Antara Garisan” juga memberi satu bentuk transformasi drama Melayu yang kuat mesejnya memberi sedikit keinsafan yang perlu kita sama-sama fikirkan dan hayati. Percaya atau tidak, manusia tidak boleh menghukum sesama sendiri dan bertindak melulu dengan mengatakan seseorang itu ahli neraka sedangkan hukuman itu hanya Allah sahaja yang tahu, nasib seseorang hamba-Nya di akhirat kelak.

Perubahan manusia boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa kita sedari sama ada ianya bergerak secara langsung atau beransur-ansur tetapi yang pastinya adalah perubahan itu tetap berlaku. Ancaman dan dorongan oleh pelbagai pihak sedikit sebanyak menguatkan lagi hujah ini dalam mengatakan bahawa perubahan itu akan sentiasa berlaku hampir setiap minit pergerakan manusia.


Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah Ar-Ra’d ayat 11 yang bermaksud:
'Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka'.

Di sini saya ingin mengajak para pembaca blog semua untuk bersama-sama menonton drama “Antara Garisan” kerana begitu mendalam mesej yang ingin disampaikan oleh pengarah drama tersebut. Percayalah sekali anda menonton, terdetik di hati anda untuk memahami apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan “Antara Garisan”.

Saya juga di sini ingin mengucapkan “TAHNIAH” kepada produksi drama “ANTARA GARISAN” kerana berjaya dinobatkan sebagai Drama Terbaik bagi Anugerah Skrin TV3 2010. Dengan kejayaan yang dikecapi ini, saya doakan agar produksi tersebut terus membuat transformasi terhadap drama Melayu yang lebih perlu memberi kesedaran dan keinsafan bahawa Islam itu Indah.

Akhir kata, saya doakan agar kita sama-samalah meniti garisan yang curam itu untuk memilih haluan kiri atau kanan yang akan terus memberi maksud-maksud tertentu tentang kehidupan kita pada masa akan datang.

Sekian, Wallahua’lam…


Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
Exco Majlis Perwakilan Mahasiswa
Universiti Teknologi Malaysia International Campus
wan_hazem90@yahoo.com

0 comments: