Friday, October 9, 2026

A Conversation with Pita Limjaroenrat...

Assalamualaikum...
Salam Sejahtera...
Salam Malaysia Madani...

Kita bertemu kembali setelah lama tak bersiaran di sini. Kesibukan kerja dan beberapa komitmen lain yang membuatkan diri ini tidak dapat meluangkan masa untuk terus berkongsi berkenaan dengan beberapa perkara. Tapi takpe, aku ada nak kongsikan satu aktiviti terbaru berkenaan dengan peluang aku untuk menyertai program 'A Conversation With Pita Limjaroenrat' di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dari Melaka ke Kuala Lumpur: Bersama Pita Limjaroenrat dan Buku 'The Almost Prime Minister'...

Ada perjalanan yang kita lakukan kerana urusan kerja, ada perjalanan yang kita lakukan kerana mahu bercuti, dan ada pula perjalanan yang kita lakukan kerana kita tahu mungkin ada satu peluang yang tidak datang berkali-kali. 

Bagi aku, perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur pada 26 September 2026 dengan menaiki bas pada awal pagi adalah suatu perjalanan yang penuh dengan tujuan dan penuh dengan harapan iaitu berjumpa dan berinteraksi dengan seorang ikon politik muda dari Thailand iaitu Mr Pita Limjaroenrat, bekas pemimpin Parti Move Forward dan bekas Calon Pilihan sebagai Perdana Menteri Thailand.

Seawal aku mengetahui bahawa Mr Pita Limjaroenrat akan hadir ke Kuala Lumpur untuk sebuah program bertajuk “A Conversation with Pita Limjaroenrat – Lessons from Thailand: Democracy, Reform and the Future of Southeast Asia”, aku telah meletakkan satu harapan yg sangat tinggi iaitu aku nak jumpa dia, aku nak beli buku dia dan aku nak bergambar dengan dia. Dan paling penting, aku tahu aku perlu hadir. 

Ianya bukan semata-mata kerana mahu melihat seorang tokoh politik Thailand secara dekat, tetapi kerana aku mahu mendengar sendiri cerita seorang individu yang pernah menjadi antara watak paling penting dalam episod politik Thailand selepas Pilihan Raya Umum 2023. 

Lebih teruja, aku meletakkan harapan yg sangat tinggi utk membeli dan memiliki buku yang sudah lama aku nantikan iaitu The Almost Prime Minister memoir tulisan Mr Pita sendiri. Jadi, dalam kepala aku sejak awal lagi sudah ada satu misi kecil: hadir ke program, dengar perkongsian beliau, dan kalau ada rezeki, dapatkan tandatangan Mr Pita pada buku tersebut.

Sebenarnya, keterujaan itu bermula beberapa hari sebelum aku bertolak ke Kuala Lumpur. Sebaik sahaja gaji masuk, antara perkara yang bermain dalam fikiran aku ialah bagaimana mahu mendapatkan naskhah The Almost Prime Minister. Sewaktu aku call Kinokuniya KLCC, buku tersebut masih belum ada di pasaran mereka. 

Bagi sesetengah orang, membeli buku mungkin perkara biasa. Tetapi bagi aku, buku ini mempunyai cerita tersendiri. Aku sudah lama mengikuti perjalanan politik Mr Pita dan Move Forward Party, khususnya selepas pilihan raya Thailand pada 2023. Jadi apabila mengetahui bahawa Mr Pita sendiri menulis sebuah memoir tentang perjalanan tersebut, aku merasakan buku ini memang perlu berada dalam koleksi aku. Penerbit Penguin Random House Southeast Asia menyifatkannya sebagai sebuah memoir politik yang menceritakan perjalanan Mr Pita daripada tahun-tahun beliau belajar dan bekerja dalam dunia perniagaan, sebelum menjadi wajah penting gerakan pro-demokrasi Thailand dan membawa Move Forward Party kepada kemenangan pilihan raya 2023 yang disokong lebih 14 juta pengundi. 

Aku bukan sekadar mahu membaca buku tersebut. Aku mahu memilikinya sebagai sebahagian daripada pengalaman aku mengikuti kisah politik Asia Tenggara. Dan apabila aku tahu penulis buku itu sendiri akan berada di Kuala Lumpur untuk beberapa hari kemudian, terus timbul satu impian kecil iaitu alangkah seronoknya kalau buku ini dapat ditandatangani sendiri oleh Mr Pita.


Bagi yang tidak begitu mengikuti politik Thailand, mungkin perlu aku ceritakan sedikit mengapa nama Pita Limjaroenrat begitu menarik perhatian aku. Dalam pilihan raya Thailand pada Mei 2023, Move Forward Party muncul sebagai parti yang memperoleh jumlah undi dan kerusi terbanyak. Parti tersebut memenangi 151 daripada 500 kerusi Dewan Perwakilan menerui pilihan raya. Mr Pita sebagai pemimpin parti kemudiannya berusaha membentuk kerajaan dan menjadi Perdana Menteri Thailand. Namun, sistem politik Thailand pada ketika itu mempunyai satu mekanisme yang menjadikan proses tersebut jauh lebih rumit. Selain ahli Dewan Perwakilan, Senator yang dilantik turut mempunyai peranan dalam undian pemilihan Perdana Menteri. 

Dalam undian pada Julai 2023, Pita memperoleh 323 undi, tetapi masih kurang daripada 375 undi yang diperlukan. Hanya sebahagian kecil sokongan datang daripada Senator. Selepas itu, perjalanan politik Mr Pita berdepan beberapa lagi perkembangan undang-undang dan institusi, termasuk penggantungan sementara daripada tugas sebagai Ahli Parlimen, sebelum Move Forward Party akhirnya dibubarkan pada Ogos 2024 dan Mr Pita dikenakan larangan memegang jawatan politik selama 10 tahun. 

Kisah inilah yang menjadikan tajuk The Almost Prime Minister begitu menarik bagi aku. Ia bukan sekadar cerita tentang seseorang yang hampir menduduki jawatan tertinggi kerajaan. Ia adalah cerita tentang sebuah kemenangan pilihan raya, harapan yang besar, sistem politik yang kompleks dan apa yang berlaku selepas sebuah impian politik tidak menjadi seperti yang diharapkan.

Dan akhirnya, tibalah pagi yang aku tunggu-tunggu. Dari Melaka aku bergerak ke Kuala Lumpur dengan satu perasaan yang sukar digambarkan. Ada rasa teruja, ada rasa tidak sabar, dan dalam masa yang sama ada sedikit rasa seperti “Betulkah aku akan jumpa Mr Pita hari ini?” Benda yang pada awalnya hanya aku baca dalam berita dan media sosial tiba-tiba menjadi sesuatu yang benar-benar berlaku di depan mata. 

Apabila tiba di lokasi pintu utama bangunan AICB, aku bertembung dengan Mr Pita dan sempat bersalaman. Suasana bangunan tersebut sangat 'korporat' dan suasananya terasa berbeza daripada program biasa. Apa pun, aku tahu aku berada di situ bukan sekadar sebagai peserta yang mahu duduk, mendengar dan kemudian pulang tetapi aku datang dengan rasa ingin tahu yang sangat besar serta keinginan aku untuk mendapatkan buku 'The Almost Prime Minister'. 

Program yang dianjurkan oleh Allianz Centre for Governance (ACG) dengan kerjasama Universiti Malaya dan Penguin Random House Southeast Asia ini membawa tema yang cukup luas iaitu demokrasi, reformasi dan masa depan Asia Tenggara. ACG sendiri memang ada menganjurkan pelbagai forum yang membawa tokoh dan pemikir untuk membincangkan isu berkaitan tadbir urus, masyarakat dan masa depan negara. Sebab itu aku rasa program ini mempunyai nilai yang tersendiri. 

Ia bukan semata-mata acara bertemu ahli politik tetapi ia adalah ruang untuk aku mendengar sendiri pengalaman dan pandangan seseorang yang pernah melalui satu episod politik yang sangat luar biasa. Bagi aku, perkara paling menarik ialah peluang untuk mendengar Mr Pita bukan sebagai nama yang muncul di skrin telefon atau di halaman berita, tetapi sebagai manusia yang pernah berada di tengah-tengah semua peristiwa tersebut.

Apa yang aku nantikan sebenarnya bukan sekadar cerita tentang bagaimana beliau hampir menjadi Perdana Menteri. Aku lebih tertarik dengan apa yang berlaku selepas itu. Bagaimana seseorang menerima hakikat bahawa keputusan pilihan raya yang memberikan mandat besar kepada parti yang dipimpinnya tidak membawa kepada pembentukan kerajaan seperti yang diharapkan? Bagaimana seseorang melihat semula semua pengalaman tersebut selepas beberapa tahun? Dan apakah yang beliau fikir boleh dipelajari oleh generasi muda Thailand serta negara-negara lain di Asia Tenggara? 

Ini juga sebabnya aku rasa memoir seperti The Almost Prime Minister begitu menarik untuk aku miliki. Bagi aku, membaca memoir seseorang yang pernah berada di tengah-tengah sejarah memberikan pengalaman yang berbeza daripada sekadar membaca laporan berita tentang peristiwa tersebut di media arus perdana semata-mata.

Sebagai orang Malaysia, aku juga datang dengan satu lagi rasa ingin tahu. Kita mungkin berbeza daripada Thailand dari segi sejarah politik, sistem institusi dan pengalaman masyarakat, tetapi kita tetap berkongsi satu rantau yang sama. Apa yang berlaku di Thailand sering menjadi sesuatu yang menarik untuk diperhatikan oleh rakyat negara jiran. 


Aku sendiri tertanya-tanya apakah sebenarnya pengajaran yang boleh dibawa daripada pengalaman Thailand kepada Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara yang lain. Sebab itu salah satu persoalan yang aku fikirkan sebelum menghadiri program ini adalah daripada pengalaman Mr Pita itu sendiri, apakah satu perkara yang beliau percaya Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara lain boleh pelajari daripada perjalanan demokrasi Thailand? Bagi aku, soalan seperti ini lebih menarik daripada sekadar bertanya tentang siapa menang atau siapa kalah. 

Politik bukan hanya mengenai jawatan. Ia juga mengenai institusi, generasi, aspirasi rakyat dan bagaimana masyarakat membayangkan masa depan mereka. Baru-baru ini pun, Mr Pita terus terlibat dalam perbincangan mengenai masa depan Thailand dan kepimpinan generasi seterusnya, termasuk melalui pelbagai forum dan wawancara selepas tempoh politik aktifnya.

Satu perkara yang paling aku suka tentang pengalaman tersebut ialah aku dapat melihat bagaimana sebuah buku boleh menjadi jambatan antara pembaca dengan sebuah pengalaman politik yang besar. Sebelum hari itu, aku tercari-cari bagaimana utk memiliki buku The Almost Prime Minister ini. Tetapi selepas menghadiri program tersebut, buku itu berjaya dimiliki dan menjadi antara orang terawal yg berjaya membeli buku tersebut (difahamkan buku tue dibawa dengan kuantiti yg terhad).


Dan ya, antara perkara yang paling aku nantikan tentunya ialah tandatangan Pita. Bagi orang lain mungkin perkara itu nampak kecil. Tetapi bagi aku, ia adalah satu peluang untuk aku bertemu dengan Ikon Politik Asia Tenggara.

Aku membeli bukunya kerana aku tertarik dengan kisahnya. Aku membaca dan mengikuti perjalanan politik Mr Pita kerana ingin memahami apa yang berlaku selepas kemenangan Move Forward Party pada 2023. Kemudian aku mengetahui bahawa beliau akan hadir ke Kuala Lumpur. Aku terus mendaftar demi memastikan aku ada seat utk program tersebut. 

Dalam kehidupan, kita mungkin tidak boleh menyimpan semua pengalaman. Tetapi kadang-kadang kita boleh menyimpan satu buku, satu gambar, satu tandatangan atau satu tiket sebagai bukti bahawa kita pernah berada di sana ketika sesuatu yang bermakna berlaku.

Selepas program selesai, perjalanan aku sebenarnya belum berakhir. Aku masih perlu kembali ke Melaka semula dan meneruskan agenda lain pada hari tersebut. Kalau difikirkan semula, memang agak kelam-kabut juga jadual pada hari tersebut. Dari Melaka ke Kuala Lumpur untuk program bersama Mr Pita, kemudian perlu bergegas kembali ke Melaka untuk satu lagi acara pada sebelah malam, dan selepas itu kembali semula ke Kuala Lumpur pada hari berikutnya untuk persediaan mesyuarat. 

Dalam celah-celah semua itu, sempat pula aki memasukkan satu lagi misi kecil iaitu mencari tote bag Colgate x Harry Potter sebelum meninggalkan Kuala Lumpur. Haha... Penat memang penat, tetapi ada pengalaman yang membuatkan penat itu terasa berbaloi. Dan pagi bersama Mr Pita Limjaroenrat adalah salah satu daripadanya.

Apabila aku fikir semula tentang keseluruhan pengalaman ini, aku sedar bahawa aku sebenarnya tidak datang ke program tersebut semata-mata untuk melihat seorang tokoh politik Asia Tenggara. Aku datang untuk memahami sebuah cerita. Kisah tentang bagaimana seseorang boleh bergerak daripada dunia perniagaan kepada politik, menjadi pemimpin sebuah parti, membawa parti tersebut memenangi pilihan raya, berada begitu hampir dengan jawatan Perdana Menteri dan kemudiannya berdepan dengan satu siri cabaran institusi dan undang-undang yang mengubah seluruh perjalanan politiknya. 

Aku juga datang untuk mendengar bagaimana beliau melihat semuanya selepas pengalaman tersebut. Apa yang aku bawa pulang akhirnya bukan sekadar gambar dan buku. Aku bawa pulang satu lagi perspektif tentang politik Asia Tenggara bahwa keputusan pilihan raya, demokrasi, institusi dan perubahan masyarakat semuanya saling berkait, dan kadang-kadang perjalanan politik seseorang jauh lebih kompleks daripada apa yang boleh kita fahami hanya melalui tajuk berita.

Mungkin itu sebabnya tajuk The Almost Prime Minister terus melekat dalam fikiran aku. “Almost” adalah satu perkataan yang sangat mudah, tetapi di sebaliknya terdapat sebuah perjalanan yang panjang. Hampir menjadi Perdana Menteri bukan bermakna tiada apa-apa yang berlaku. Sebaliknya, “hampir” itu sendiri menjadi sebahagian daripada sejarah dan pengalaman seseorang. 

Buku tersebut, bagi aku, bukan hanya tentang sebuah jawatan yang tidak sempat disandang. Ia tentang perjalanan menuju ke arah jawatan itu, manusia yang ditemui sepanjang perjalanan, kemenangan yang diraih, cabaran yang dihadapi dan persoalan tentang apa yang dilakukan selepas impian tersebut berubah arah. Dan mungkin itulah nilai sebenar sebuah memoir yang akan memberi kita peluang untuk melihat sejarah melalui pengalaman seseorang yang pernah berada di dalamnya.

Aku pulang daripada Kuala Lumpur dengan satu perasaan yang sukar diterangkan. Penat, sudah tentu. Tetapi dalam masa yang sama, ada kepuasan yang sangat besar. Aku pernah membayangkan bagaimana rasanya berada dalam sebuah ruang dan mendengar sendiri Mr Pita Limjaroenrat berkongsi tentang perjalanan yang selama ini aku ikuti dari jauh. 

Sekarang aku sudah memilikinya. Buku The Almost Prime Minister yang pada awalnya hanya berada dalam wishlist aku, kini sudah berada dalam tangan.

Pada akhirnya, mungkin itulah yang aku akan ingat daripada 26 September 2026. Bukan hanya nama program, bukan hanya siapa yang berada di atas pentas dan bukan hanya apa yang tertulis dalam buku tetapi suatu pengalaman yg paling tak diduga.

Sekian, wallahua'lam...

Ikhlas dari,
WMHMY
09 Oktober 2026
Kampung Baru, Kuala Lumpur 
wan_hazem19@yahoo.com