Sunday, September 26, 2010

Rukun Negara : Satu Huraian Ringkas...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Pagi ini saya ingin berkongsi sedikit maklumat yang saya perolehi daripada Majalah INFO terbitan Jabatan Penerangan Malaysia mengenai “RUKUN NEGARA”. Mahasiswa UTM IC dan pembaca blog bolehlah memahami dan menghayati huraiannya satu persatu. Insyaallah…


PRINSIP PERTAMA : KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
Bangsa dan Negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada tuhan. Sesungguhnya dengan nama tuhanlah bangsa dan Negara ini wujud sebagai sebuah bangsa dan Negara yang berdaulat. Islam adalah agama rasmi Persekutuan. Agama-agama lain dan kepercayaan-kepercayaan lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram. Tindakan membeza-bezakan seseorang atas alasan agama adalah dilarang.

PRINSIP KEDUA : KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Sistem Beraja juga diamalkan di setiap negeri dan Yang di-Pertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja. Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud bahawa setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur, dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpahkan taat setia mereka kepada raja yang memerintah negeri tersebut tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong. Kesetiaan dari sanubari kepada raja dan tanah air ini mampu menyatukan kita semua dari pelbagai rumpun menjadi satu bangsa yang bersatu padu.

PRINSIP KETIGA : KELUHURAN PERLEMBAGAAN
Perlembagaan Negara memberi perlindungan kepada setiap anggota masyarakat negara ini dari segi melindungi hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara. Perlembagaan juga meletakkan tanggungjawab-tanggungjawab dan kewajipan-kewajipan warganegara yang mendukungnya. Sejajar dengan itu, setiap warganegara harus menghormati, menghargai, serta memahami maksud dan kandungan serta latar belakang penggubalannya bagi memastikan Malaysia terus aman, makmur dan maju dalam segenap bidang. Oleh sebab perlembagaan negara digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan pihak di negara ini, maka ia merupakan kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu-gugat oleh mana-mana pihak. Perlembagaan negara juga merupakan sumber rujukan kepada semua perkara yang berkaitan dengan sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosioekonomi rakyat Malaysia.

PRINSIP KEEMPAT : KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi dalam negara Malaysia. Ketaatan kepada undang-undang negara banyak dibantu oleh pihak yang berkuasa seperti polis, penjara dan institusi kehakiman (mahkamah) yang bebas dan berwibawa. Kepatuhan kepada undang-undang mampu menjamin keharmonian masyarakat dan keselamatan negara juga lebih terjamin. Oleh itu, setiap anggota masyarakat hendaklah patuh kepada undang-undang yang telah digubal supaya keamanan negara tercapai seterusnya usaha-usaha pembangunan dapat dijalankan dengan lebih lancar. Kebebasan rakyat untuk menyuarakan buah fikiran masih tertakluk kepada beberapa perundangan tertentu bagi menjamin keamanan.

PRINSIP KELIMA : KESOPANAN DAN KESUSILAAN
Prinsip ini memberi penekanan kepada peri pentingnya personaliti dan tingkah laku seseorang dalam menggambarkan kebudayaan rakyat negara ini. Sifat sopan-santun dan tatasusila adalah penting dalam konteks perhubungan masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia. Bahasa yang lembut dan tingkah laku yang sopan dapat menjamin hubungan yang harmoni dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Pembentukan individu yang berdisiplin dan bermoral tinggi hasil didikan yang berhemah dapat menjamin kewujudan sebuah masyarakat yang saling berinteraksi dalam suasana yang bersatu padu dan aman.

Diharapkan agar semua mahasiswa dapat memahami dan menghayati sebagai mungkin dan berfikir sejenak berlatarkan apa yang berlaku dalam parlimen dan negara kita sekarang. Kita sebagai mahasiswa perlu berfikir secara bijak dalam membuat keputusan dalam memilih pemimpin negara pada masa akan datang bagi memastikan RUKUN NEGARA terus dipertahankan...

Sekian, Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
Exco Majlis Perwakilan Mahasiswa
Universiti Teknologi Malaysia International Campus
wan_hazem90@yahoo.com

1 comments:

WMHMY said...

Tempat-tempat menarik di Seoul, South Korea... =)

http://wanmuhammadhazem.blogspot.com/2013/11/tempat-tempat-menarik-di-seoul-south.html