Thursday, September 23, 2010

Hasad Dengki Pemusnah Persaudaraan...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Hasad dengki merupakan suatu wabak yang berbahaya yang ada dalam diri seseorang jika tidak dibendung atau dijaga secara wajarnya. Terutamanya ketika kita yang masih berada di gedung ilmu untuk mencapai impian masing-masing.

Hasad dengki boleh diertikan sebagai suatu sikap yang tidak senang atas kenikmatan, kesenangan atau kelebihan yang ada pada orang lain dan berusaha untuk menghilangkan kenikmatan itu agar dapat memilikinya. Dengan demikian, sifat hasad dengki boleh menyuburkan perasaan dendam, permusuhan dan suka berprasangka buruk terhadap orang lain.

Dalam Islam sifat hasad dengki adalah tercela dan tergolong amalan orang-orang munafik. Firman Allah Taala yang bermaksud :


“Ataukah mereka dengki kepada manusia (Muhammad) kerana kurnia yang telah diberikan Allah kepadanya? Sungguh, kami telah memberikan kitab dan hikmah kepada keluarga Ibrahim, dan kami telah memberikan kepada mereka kerajaan (kekuasaan) yang besar. ”
(An-Nisa’ : 54)

Orang yang mempunyai sifat hasad dengki ini juga membuatkan jiwa mereka sentiasa merasa serba kekurangan dengan apa yang mereka telah miliki. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Yang paling aku takut dari apa yang aku takut pada umatku ialah yang banyak harta pada mereka, lalu mereka saling berdengki dan berbunuh-bunuhan.”
(HR Ibnu Abid Dunya dan Amir Al-Asy’ari)

Cuba kita lihat sejak kebelakangan ini serta apa yang terjadi pada keceriaan syawal pada kali ini, kita digemparkan dengan kehilangan dan pembunuhan kejam terhadap Jutawan Kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya. Semuanya disebabkan pengaruh hasad dengki yang sudah terpekung lama di hati.

Saya sendiri pun pernah merasai suasana apabila segelintir kawan-kawan yang berdengki terhadap diri saya. Itu ibarat satu lumrah yang perlu saya tempuhi untuk terus berdiri sebagai seorang mahasiswa yang mengejar akan impiannya di universiti.

Pernah terlintas di benak hati saya satu persoalan yang mungkin tidak terjawab oleh saya sendiri, kenapa orang iri hati atau dengki terhadap diri saya? Kenapa orang tikam belakang saya? Kenapa itu semua berlaku? Persoalan ini mungkin pernah pembaca atau sahabat-sahabat alami sendiri.

Saya juga pernah berkongsi bersama seorang hamba Allah yang rapat dengan saya, berkenaan perkara yang saya alami sejak kebelakangan ini. Pesanannya ringkas, iaitu bacalah doa ini,


“Ya Allah Ya Tuhanku, kukuhkanlah hubungan aku dengan semua sahabat aku.”

Saya akan mengupas lebih mendalam mengenai perkara ini kerana saya agak terkilan melihat anak muda, belia remaja dan orang dewasa yang tidak henti-henti berdengki sesama sendiri, tidak kira dalam perniagaan mahu pun di mana saja. Sedangkan nikmat Allah itu akan datang sekiranya, kita terus berdoa dan bertawakal kepada-Nya.

Sekian, Wallahua’lam…

“HASAD DENGKI PEMUSNAH PERSAUDARAAN”

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
Exco Majlis Perwakilan Mahasiswa
Universiti Teknologi Malaysia International Campus
wan_hazem90@yahoo.com

0 comments: