Thursday, May 13, 2010

Rasuah...Segala-galanya...


Bismillahirahmanirrahim...

Assalamualaikum,
Salam Perpaduan dan
Salam 1 Malaysia...


Mencari harta dan kekayaan adalah keperluan dalam kehidupan sama ada sebagai mahasiswa mahupun orang yang telah berkerjaya. Setiap manusia terutamanya Umat Islam memang disuruh mencari kekayaan. Namun, ia hendaklah selari dengan kehendak dan landasan Islam. Ia boleh bagi memenuhi tuntutan dan membiayai keperluan hidup sendiri, keluarga, negara dan seterusnya membangunkan ummah.

Harta penting bagi kehidupan manusia terutamanya Umat Islam menuju ke jalan yang diredhai Allah. Contohnya, kita memerlukan wang untuk mengerjakan haji dan mengeluarkan zakat. Sehubungan itu, Islam tidak menegah manusia mencari habuan untuk kehidupan di dunia. Namun begitu, janganlah pula dilupai bekalan akhirat.


Ini jelas dinyatakan Allah SWT dengan firman-Nya yang bermaksud :

“Carilah apa-apa yang dikurniakan Allah untuk kebahagiaan di akhirat dan janganlah pula lupa untuk habuan kamu di dunia”

Surah al-Qasas 28 : 77


Perlu diingatkan juga yang harta dan kekayaan tiada berguna tanpa keberkatan. Dengan adanya keberkatan, harta atau rezeki yang sedikit dirasakan banyak dan mencukupi. Sebaliknya, harta yang banyak tanpa keberkatan dirasakan sempit dan susah serta tidak berguna.

Menurut hukum syarak, rasuah tergolong dalam perbuatan berdosa besar. Ini kerana ia termasuk dalam perkara memakan atau mengambil harta orang lain dengan jalan yang salah. Ia berdasarkan dalil al-Quran.

Allah SWT berfirman yang bermaksud :

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) antara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (member rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”
Surah al-Baqarah 2 : 188


Dalam ayat lain, Allah SWT menyatakan, yang mafhumnya :

“Mereka sangat suka mendengar berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya)…”

Surah al-Maaidah 5 : 42


Berdasarkan ayat al-Quran di atas, Allah SWT melarang hamba-Nya memakan atau mengambil harta orang lain dengan jalan salah. Perbuatan rasuah termasuk dalam kategori memakan harta dengan jalan salah. Ayat berikutnya pula menjelaskan sifat atau karakter orang Yahudi yang sentiasa mengagungkan kebatilan, pembohongan dan amalan rasuah.

Pengharaman rasuah juga disebut oleh Rasulullah SAW dengan hukuman dilaknat atau dikutuk Allah SWT dan rasul-Nya. Antara hadis yang membincangkan mengenai rasuah ialah yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru. Beliau berkata, yang bermaksud :

Bersabda Rasulullah SAW, ‘Laknat Allah ke atas pemberi rasuah dan penerima rasuah’
Riwayat Ibnu Majah

Di Malaysia, kita sering mendengar ungkapan seperti : suap, tumbuk rusuk, sogok, duit bawah meja, pelincir, persen dan duit kopi. Malah, saguhati dan hadiah pun digunakan untuk menggantikan perkataan rasuah. Ini menunjukkan amalan rasuah adalah salah laku yang umum menganggap sebagai perbuatan tidak bermoral dan zalim. Bagi ‘menghalalkan’ amalan itu, pelbagai nama lain digunakan bagi mengaburi mata masyarakat seolah ia bukan rasuah.

Perubahan pada nama lain dan istilah di sesuatu tempat dan masa umpama si penjenayah menukar nama dan imej untuk mengelirukan orang ramai atau melarikan diri daripada undang-undang. Sekadar mengubah ungkapan tidak dapat mengubah hakikat yang rasuah itu zalim, kotor, jelik dan najis.





Wan Muhammad Hazem Bin Mohd Yusoh
Exco Majlis Perwakilan Mahasiswa
UTM IC KL

0 comments: