Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…
Mahasiswa Berinovasi Negara Lestari merupakan satu tema baru yang diangkat bagi Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam 2010 yang diadakan pada 6 hingga 8 Ogos yang bertempat di Institut Latihan & Keselamatan KWSP (ESSET) Bangi, Selangor. Konvensyen yang dianjurkan oleh Universiti Malaysia Pahang dan Majlis Kepimpinan & Latihan Universiti Malaysia (MAKLUM), melibatkan 20 buah universiti di seluruh negara.
Konvensyen seperti ini yang julung kalinya diadakan bagi mempertemukan seluruh Majlis Perwakilan Pelajar di seluruh Malaysia berkumpul dalam satu majlis dan medan bagi menyuarakan pendapat masing-masing dalam berperanan membangunkan negara Malaysia dalam seluruh aspek.
Antara aktiviti yang diadakan ialah Majlis Perasmian oleh YB.Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Makan Malam bersama YAB. Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Majlis Penutupan oleh YB. Dato’ Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia dan persidangan lain.
Pelbagai isu yang telah dibahaskan, diusulkan dan dibangkitkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar IPTA Malaysia yang dirasakan dapat membantu dalam merealisasikan Model Ekonomi Baru, Konsep 1 Malaysia dan pelbagai lagi. Apa yang menariknya adalah di sini, saya dapat lihat betapa semangatnya para Perwakilan Pelajar dalam memperjuangkan hak rakyat termasuk masyarakat kampus dalam isu Global dan Antarabangsa.
Dewan bertambah hangat apabila ada beberapa idea yang menimbulkan sedikit perbahasan antara perwakilan yang membabitkan isu Konsep 1 Malaysia yang bersifat polemik. Di sini, pelbagai hujah yang dapat dijadikan panduan oleh pihak penganjur dan kerajaan dalam memperdalamkan lagi kajian sebenar dan melibatkan exco-exco Perwakilan Pelajar sebagai bahan kajian dalam menzahirkan kekuatan sebenar dalam melahirkan masyarakat yang memahami Konsep 1 Malaysia.
Tidak kurang hebatnya dari beberapa exco Perwakilan Pelajar dari Sabah dan Sarawak dalam menyuarakan betapa terpinggirnya masyarakat di Sabah dan Sarawak yang melibatkan tuntutan hak saksama seperti bekalan elektrik dan air. Saya amat menyokong tindakan barisan Majlis Perwakilan Pelajar yang terbang jauhnya nun di Sabah dan Sarawak dalam menyuarakan keluhan rakyat di Sabah dan Sarawak. Inilah yang dinamakan Barisan Pemimpin Mahasiswa yang akan mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang.
Selain itu, di Konvensyen ini juga dapat merapatkan lagi ukhuwah antara saya dan beberapa Majlis Perwakilan lain dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan beberapa lagi universiti lain yang sebelum ini hanya berhubung melalui telefon dan Facebook. Di sini juga jelas menunjukkan salah satu jalan memupuk semangat Integriti dan sebagainya lagi.
Akhir kata, semoga kita semua dapat bertemu lagi bersama idea-idea baru dan bernas yang berperanan membentuk mentaliti baru dalam mempertingkatkan ekonomi negara serta merealisasikan wawasan 2020 yang tinggal hanya 9 tahun lebih sahaja lagi. INSYAALLAH…
Sekian, Wallahua’lam…
“Mahasiswa Berinovasi Negara Lestari”
Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
Diploma Pengurusan Harta Tanah
Exco Kebajikan, Kolej dan Pengaduan Awam
Majlis Perwakilan Mahasiswa
Universiti Teknologi Malaysia International Campus
wan_hazem90@yahoo.com
Monday, August 9, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment