Sunday, January 2, 2011

Di Sebalik Permasalahan...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Membuat sebarang keputusan merupakan satu perkara yang begitu memberi kesan terhadap diri kita. Ia disebabkan setiap tindakan yang kita lakukan sama ada ianya membawa ke arah kebaikkan mahu pun ke arah keburukkan. Tetapi itulah yang patut kita teruskan untuk meneruskan perjalanan liku-liku kehidupan kita.






Memang benar, sesekali tindakan yang kita lakukan pasti akan ada sahaja perkara sampingan yang akan berlaku. Itulah sebenarnya yang dinamakan kehidupan yang hakiki. Kita tidak boleh lari dari sebarang permasalahan walaupun kita ini mempunyai pangkat atau darjat.

Perkara seperti itu sebenarnya mematangkan kita dalam sehari-hari kita meneruskan langkah bagi mencorak kehidupan yang kita bina ini. Begitulah juga jika kita bergelar suami isteri. Permasalahan seperti ini yang dinamakan asam garam dalam berumah tangga.

Kita bukan meminta perkara seperti ini berlaku dan tidak pernah terfikir pun ianya akan berlaku, tetapi itulah sebenarnya qada’ dan qadar yang telah tersurat sejak azali lagi yang diberikan Allah kepada hamba-Nya di muka bumi ini.

Saya pernah dinasihati dan diberitahu oleh seorang hamba Allah yang saya percayai sejak dulu lagi, beliau sering berkata bahawa jika kita mempunyai masalah, ini bermakna Allah sayang pada kita dan kita dianggap bertuah kerana kita dapat atasi setiap masalah yang berlaku itu. Kerana setiap permasalahan itu, pasti ada hikmah di sebaliknya.

Sepanjang Tahun 2010, pelbagai permasalahan berlaku dan ianya merupakan paling memberi kesan kepada hidup saya terutamanya apabila difitnah di blog dan dikritik hebat oleh seorang “tuuut” sehingga berani mengugut untuk menyaman diri saya dan portfolio saya. Tetapi Alhamdulillah, sekiranya kita di pihak yang benar, ALLAH akan bersama-sama dengan kita.

Ingatlah, selagi kita berhadapan dengan sabarang permasalahan yang kita tidak pernah jangkakan, janganlah sesekali kita lupakan kepada-Nya kerana hanya pada-Nya saja ketika bergantung dan memohon pertolongan dan diberi petunjuk.

Hari ini saya terpanggil untuk berkongsi perkara sedemikian kerana ia merupakan satu perkongsian yang sepatutnya kita fikirkan dan kita hayati. Kerana di akhir zaman ini, ramai belia remaja kita kecundang dan tersungkur dalam menghadapi permasalahan yang berlaku sehingga terpaksa melakukan kemungkaran semata-mata bagi melepaskan tekanan yang dialami.

Cuba kita perhatikan rakan-rakan dan masyarakat di sekeliling kita, di dada-dada akhbar dan sebagainya lagi, dan kita akan dapat lihat setiap ragam manusia yang kecundang dan terpaksa melakukan perubahan diri bagi melenyapkan masalah yang dihadapi termasuklah melakukan perkara-perkara yang sia-sia dan membuang masa.

Pernahkah anda tertanya, kenapa Mat Rempit, Bohsia dan sebagainya terpaksa meneruskan kehidupan mereka seperti itu??? Kehidupan yang dianggap seperti sia-sia sahaja hidup di muka bumi ini. Percayalah, rata-rata di kalangan mereka itu pasti mempunyai masalah seperti diabaikan oleh keluarga, percintaan, pergaduhan ibu ayah dan sebagainya lagi.

Dan apa yang ingin saya beritahu di sini, kita sepatutnya sedar akan perkara ini kerana generasi akan datang belum tentu sama seperti sekarang dan berkemungkinan akan lebih membahayakan. Adat Timur dan berpaksikan Islam lebih perlu ditekankan di sini kerana Ilmu agama itu sendiri semakin pudar sehinggakan dilaporkan hampir 100,000 remaja kita murtad.

Oleh itu, saya menyeru kembali agar kita sama-samalah memuhasabahkan diri dan berazam untuk terus majukan diri dan memantapkan ilmu agama dan pemikiran kita bagi menegakkan Agama Allah. Insyaallah…

Sekian, Wallahua’lam…


Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
Exco Majlis Perwakilan Mahasiswa
Universiti Teknologi Malaysia International Campus
wan_hazem90@yahoo.com

0 comments: