Wednesday, October 27, 2010

Penggerak Mahasiswa (1)...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Menjadi penggerak kepada satu transformasi baru bagi sesebuah masyarakat kampus adalah satu perkara yang tidak mudah. Tohmahan, cacian dan fitnahan datang bertalu-talu dan silih berganti. Tetapi itulah yang berlaku apabila bergelar sebagai seorang Pemimpin Mahasiswa yang mempimpin hampir 2200 mahasiswa di kampus antarabangsa, UTM ini.

Berkat kesabaran dan keikhlasan yang begitu tinggi membuat satu persatu kejayaan diperolehi walaupun terpaksa mengharungi pelbagai halangan dan rintangan yang boleh membuatkan kita akan terus tersungkur menghadap bumi. Tetapi disebabkan kebenaran yang ingin dikecapi, Insyaallah dengan doa yang berterusan serta sokongan yang padu dari mahasiswa, kejayaan akan diberikan juga oleh Yang Maha Esa.

Apa yang ingin diperkatakan pada penulisan kali ini adalah berkenaan dengan berganjak selangkah lagi ke hadapan dengan pemikiran yang terbuka tetapi berlandaskan Islam. Berganjak selangkah lagi ke hadapan membawa maksud terus ke hadapan dengan strategi yang baru dan meneruskan perjuangan yang sebelumnya.

Jika sebelum ini banyak daripada penulisan saya adalah berkaitan dengan Belia Remaja dan Mahasiswa tetapi pada kali ini saya ingin membawa pemikiran anda ke aspek seorang yang bergelar Pemimpin Mahasiswa. Memang menarik penulisan kali ini kerana ianya adalah luahan hati dari seorang Pemimpin Mahasiswa yang berhadapan dengan pelbagai rungutan dan aduan mahasiswa berhubung dengan Kebajikan & Kolej, iaitu saya sendiri selaku Exco Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM IC.

Sebenarnya memang tidak mudah untuk kita memimpin golongan cerdik pandai ini terutamanya apabila kaki telah berjaya menjejak ke Menara Gading, maka secara automatik ego kita akan bertambah tetapi hanya segelintir sahaja. Saya sering kali perhatikan sejak saya mula-mula memasuki UTM IC ini yang sebelum ini dikenali sebagai UTM City Campus sehinggalah saya tergerak untuk membuat perubahan dari masa ke semasa mengikut kekuatan diri saya sendiri serta terpaksa berhadapan dengan 1001 kemungkinan.

Bagi penulisan kali ini, saya akan fokuskan kepada Persatuan Akademik sahaja iaitu pengalaman saya sendiri. Jika ditanya apa itu Persatuan Akademik, tentu antaranya jawapannya ialah Persatuan mengikut jurusan yang kita ambil. TETAPI adakah ianya berfungsi sepertimana yang kita fahami iaitu menggerakkan sektor akademik dalam bentuk berpersatuan. Saya sendiri selaku ahli Persatuan Pengurusan Harta Tanah (PEHARTA) ketika tahun 1, pernah mempersoalkan secara terbuka berhubung organisasi dan masalah dalaman yang mesti diselesaikan secara terbuka iaitu :

• Kenapa tidak diwujudkan mahasiswa tahun1 dalam sesebuah exco atau penggerak program bagi Persatuan terebut?
• Kenapa penglibatan mahasiswa tahun1 perlu dipaksa sedangkan program yang diadakan itu tidak mengikut kehendak dan selera kami (tahun1)?
• Kenapa mahasiswa tahun1 dijadikan seperti ahli yang bukan ahli iaitu setiap apa perkembangan persatuan tersebut tidak disebarkan kepada mahasiswa tahun1?


Itulah antara persoalan yang ditimbulkan oleh saya sewaktu Annual General Meeting (AGM) 2007/2008 di Dewan Jumaah iaitu sayalah antara satu-satunya Mahasiswa Tahun1 yang bangkit mempertikaikannya. Sehinggalah kepimpinan PEHARTA 2008/2009 memecah tradisi apabila melantik saya (Tahun1) sebagai Majlis Tertinggi PEHARTA iaitu sebagai Timbalan Setiausaha PEHARTA sesi 2008/2009 dan seterusnya dilantik PRESIDEN PEHARTA bagi sesi 2009/2010 yang sempat saya menjawatnya selama 3 bulan sebelum beralih ke Kerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM IC.

Ketika saya menjadi TIMBALAN SETIAUSAHA lah, pelbagai perkara saya nampak terutamanya melalui aspek kepimpinan dan perbincangan sesuatu idea. Sehinggalah pernah menjadi 2 kelompok penggerak program dalam PEHARTA iaitu V-Camp yang diketuai oleh Setiausaha PEHARTA dan V@Ulu Yam yang diketuai oleh saya sendiri. Majoriti mahasiswa tahun3 tertarik ke V-Camp dan Mahasiswa tahun1&2 pula lebih tertarik kepada program saya. Dan ketika program V@Ulu Yam lah yang membuat perubahan besar dalam PEHARTA apabila saya memperkenalkan sistem MENTOR-MENTEE yang melibatkan semua ahli PEHARTA bagi membentuk semangat kecintaan terhadap karier Penilaian ini. Alhamdulillah, sehingga sekarang MENTOR-MENTEE ini diteruskan dan menjadi ikutan kepada beberapa persatuan akademik yang lain.

Apabila saya memegang Kerusi PRESIDEN PEHARTA bagi sesi 2009/2010, saya terus merombak semua yang berkaitan dengan persatuan ini sebagai ‘rebranding’ nama PEHARTA dengan misi, visi, matlamat, objektif dan moto yang baru sebagai penggerak dan memberi sinaran baru bagi PEHARTA. Pembaharuan ini dilakukan sebagai asas baru yang perlu dibuat dan didesak untuk meneruskan perjuangan PEHARTA ini.

Antara perbahasan pertama yang dilakukan antara saya dengan Majlis Tertinggi dan Eksekutif Tertinggi adalah berkaitan dengan aktiviti yang akan dilakukan. Antara usul yang saya bangkitkan adalah melakukan program yang berbentuk rekreasi dan riadah tetapi berpaksikan ilmiah dan ‘soft-skills’ dan antara aktiviti yang saya usahakan dan membuahkan hasil ialah Ordinary General Meeting (OGM), Ekspedisi 1 Mahasiswa 1 Suara 1 Wawasan (dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin) dan Valuation Tuition (V-Tuit).

OGM PEHARTA 2010 mengenengahkan aspek Komunikasi dan Perbahasan serta Idea Kreatif dari ahli PEHARTA sendiri. Ianya adalah sebagai langkah dan tanggungjawab saya sebagai penggerak mahasiswa berani bercakap. Tetapi saya beranggapan ianya hanya berjaya dalam 70% berbanding sasaran saya sendiri iaitu 100% ahli PEHARTA memberi hujah dan memberi cadangan kreatif sebagai kekuatan baru membawa PEHARTA ke persada UTM IC ini.

Berlainan pula dengan XPDC yang diadakan di Gunung Stong, Kelantan dengan kerjasama Mahasiswa UNISZA (yang dulunya dikenali dengan UDM), kerana inilah XPDC pertama di UTM IC yang melibatkan kerjasama 2 universiti hasil usaha 100% dari pihak mahasiswa yang diketuai oleh saya sendiri. Sehinggalah diangkat oleh Akhbar KOSMO sebagai program Integrasi Siswa. Program ini diadakan sebagai tanggungjawab saya memberi pendedahan dan ketahanan fizikal dan mental selaras dengan karier seorang penilai yang begitu sibuk dan perlukan stamina yang tinggi dalam melakukan sesuatu tugas.

XPDC ini juga dilakukan sebagai pengerat hubungan antara 2 universiti yang dipelopori oleh PEHARTA sendiri dan menjadi nadi gabungan 2 kelompok mahasiswa yang berbeza iaitu Mahasiswa Pengurusan Harta Tanah (UTM IC) dan Mahasiswa Pendidikan Islam (UNISZA). Melalui XPDC ini juga memberi gambaran baru bahawa aktiviti sebeginilah yang mampu mengeratkan hubungan antara ahli secara lebih dekat lagi.

Dan V-TUIT pula adalah program yang berlandaskan Ilmiah secara 100% iaitu Memberi penjelasan secara lebih mendalam berhubung kaedah membuat laporan penilaian mengikut standard Malaysia. Ianya diwujudkan sebagai satu proses penyelarasan yang sememangnya menjadi satu pengetahuan kepada semua ahli PEHARTA kerana ia adalah asas kepada bidang penilaian ini.

Ketika saya bergelar PRESIDEN PEHARTA juga, saya pernah dipersoalkan secara bertalu-talu berkenaan tindakan saya melantik mahasiswa tahun1 sebagai Pengarah Program, Eksekutif Tertinggi sebagai Timbalan Pengarah Program dan Majlis Tertinggi sebagai Pemantau Program. Setelah desakan demi desakan diberikan terhadap diri saya sehinggalah sayan terpaksa bersetuju untuk melantik semula mahasiswa Tahun2 sebagai Pengarah Program.

Ketika itulah saya merasa satu kesilapan besar saya lakukan iaitu mengikut desakan tersebut kerana sehingga sekarang program tersebut hanya menjadi angan-angan Mat Jenin. Saya mengangkat Mahasiswa Tahun1 kerana saya memahami keadaan mahasiswa Tahun1 sepertimana perjuangan saya dalam mengangkat mahasiswa tahun1 dalam setiap persatuan yang ada terutamanya PEHARTA sendiri. Dan saya ada alasan saya untuk tidak mengangkat dari kalangan Eksekutif Tertinggi sendiri.

Akhirnya kebenaran terbukti terhadap diri saya sendiri kerana apa yang saya rancang adalah mengikut acuan yang dirancang, dan Exco-exco dalam Eksekutif Tertinggi yang banyak memberi tekanan dan desakan itu akhirnya terdiam sehinggalah hanya sekadar nama dalam organisasi PEHARTA. Itulah yang saya katakan, gunakan AKAL FIKIRAN bukannya EMOSI yang didorong IBLIS LAKNATULLAH…

Perkongsian ini adalah sebagai jawapan terhadap pertanyaan yang bertalu-talu berhubung “bagaimana saya menggerakkan PEHARTA sebelum melangkah ke Kerusi MPM UTM IC?”. Perkongsian ini juga sebagai gambaran kepada mahasiswa UTM IC untuk terus menyemarakkan Persatuan Akademik masing-masing disamping memperolehi pengalaman yang berguna dan seterusnya menggerakkan pemikiran mahasiswa ke satu langkah lagi ke hadapan. INSYAALLAH….

Akhir kata, semoga perkongsian ini dapat dijadikan iktibar dan kenangan abadi terhadap diri saya sendiri dan seluruh pembaca blog dan penulisan bagi kali ini. Jika ada umur yang panjang, dapat lagi kita berkongsi lagi untuk Pengalaman sebagai JKM-KSJ pula….INSYAALLAH…

Sekian,Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
Exco Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM IC
wan_hazem90@yahoo.com

1 comments:

Anonymous said...

saya suka post ini