Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…
Kita sering ditanya, “Apa cita-cita kamu?” pada masa kita masih lagi kecil iaitu ketika di bangku sekolah. Pekerjaan seperti Guru, Pegawai Polis, Pemain Bola Sepak, Askar dan sebagainya lagi yang kerap disebut di bibir-bibir para pelajar ketika itu. Ada juga yang bercita-cita tinggi untuk menjadi seorang Perdana Menteri dan berjaya dalam hidup.
Tetapi itu hanyalah sekadar jawapan untuk menjawab pertanyaan yang dilemparkan ketika itu. Sedarkah kita sejauh mana kita bergerak ke hadapan untuk mencapai impian dan cita-cita kita tersebut? Setebal manakah lagi ilmu yang perlu kita cari untuk mencapai ke semua cita-cita dan impian kita itu? Adakah kita semua ini yakin bahawa kita akan menggenggam kejayaan seperti yang kita harapkan itu?
Persolan ini sekadar pembuka hujah saya untuk membawa para pembaca dan mahasiswa UTM IC untuk mengimbas kembali belasan tahun ke belakang, ketika mana kita masih lagi di umur 5-10 tahun. Ketika itu, kita masih lagi diibaratkan seperti KAIN PUTIH yang dicorakkan satu persatu dengan amalan yang dipupuk oleh ibu ayah kita ketika di rumah dan sebagainya.
Hati kita ketika itu masih lagi bersih tanpa sebarang titik-titik hitam yakni perbuatan maksiat yang dilakukan oleh kita. Bebas dari segala fitnahan dan umpatan dari sesiapa saja. Dari hari ke hari kita membesar sehinggalah kita mencapai akhir baligh yang berupaya untuk kita berdikari secara manusia yang mempunyai akal fikiran untuk sentiasa berfikir baik buruk sesuatu tindakan yang akan kita lakukan.
Setelah hampir 20 tahun saya hidup di muka bumi ini, pelbagai masalah, halangan, dugaan, ujian dan sebagainya lagi telah saya hadapi seorang diri dalam meneruskan usaha saya untuk terus kejar akan segala apa yang diimpikan. Berpaksikan ilmu yang dikutip satu persatu dan berasaskan niat kerana Allah membuatkan diri ini terus yakin untuk melangkah ke hadapan bergerak seiring dengan peredaran zaman yang semakin mencabar pada era ini.
Perkongsian demi perkongsian berkenaan kehidupan ini oleh sesama para sahabat, kawan-kawan, senior-senior dan junior-junior kepada saya membuatkan saya dapat berfikir sejenak bahawa bukan saya seorang yang berhadapan dengan pelbagai masalah kritikal tetapi mereka juga mengalaminya dan terpaksa menyelesaikannya untuk terus hidup di dunia ini.
Bergelinangan air mata ketika mana terbayang perubahan terhadap diri ini yang suatu masa dahulu pernah dihina, dipulau dan sebagainya lagi demi untuk memperjuangkan hak dan kehidupan seorang manusia yang bernama Wan Muhammad Hazem. Satu persatu saya redahi dan terpaksa bergerak seorang diri hanya demi untuk merubahkan diri untuk menjadi seorang muslim yang berjaya. Insyaallah.
Pengalaman lampau itu bukan hanya menyebabkan saya pernah tersungkur teruk tetapi pernah membuatkan saya hampir berputus asa untuk menerima kenyataan ini sehingga pernah terfikir, “Kenapa aku perlu lalui semua perkara ini, sedangkan saya tidak pernah mengganggu ketenteraman orang-orang selalu dengki terhadap diriku ini?”
Mungkin ada hikmah disebaliknya pada setiap masalah yang berlaku itu. Sebut saja apa yang tidak pernah saya lalui, semuanya pernah dilalui walaupun hanya Allah saja tahu apa yang pernah berlaku terhadap diriku ini. Memang tidak dinafikan, sungguh perit apabila kita memandang ke belakang tetapi itulah benteng kekuatan yang membuatkan diri kita akan terus kuat untuk membuat perubahan yang memang diimpikan oleh setiap manusia hina seperti saya ini.
Insyaallah…saya menyeru kepada seluruh Mahasiswa UTM IC dan seluruh sahabat-sahabat agar tidak terus leka dengan kehidupan duniawi yang sementara ini dan tidak terus dibuai mimpi yang berkemungkinan besar akan menjadi mimpi ngeri dalam hidup anda semua. Ingatlah Allah, Ibu dan ayah kamu, sebelum membuat apa-apa keputusan yang akan merosakkan diri anda semua. Ciptalah kecemerlangan diri dan bukannya mencipta kerosakan diri.
Sekali lagi, saya berharap agar semua Mahasiswa UTM IC terutamanya Mahasiswa Tahun 1 & 2 supaya menggunakan akal fikiran yang diberika Allah sebelum membuat sesuatu tindakan. Fikirlah secara rasional dan janganlah sesekali menggadai maruah diri hanya kerana mengikut hawa nafsu yang akan membuatkan hidup anda terus merana dan terseksa dek kesalahan yang dilakukan itu.
Sekian, wallahualam…
“BERSAMA MENCIPTA KECEMERLANGAN DIRI”
Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
Exco Majlis Perwakilan Mahasiswa
Universiti Teknologi Malaysia International Campus
wan_hazem90@yahoo.com
Monday, October 18, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment