Sunday, June 24, 2012

Almarhum Ustaz Fadzil Noor Dalam Kenangan (1937-2002)...

Assalamualaikum...
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

23 Jun 2012, genaplah 10 tahun pemergian Almarhum Ustaz Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor iaitu seorang tokoh pejuang Islam di Malaysia. Almarhum Ustaz Fadzil Noor atau nama sebenarnya Fadzil@Ali bin Mohd Noor dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, Alor Star, Kedah Darul Aman. Ayahnya, Mohd Noor Abdul Hamid dan Ibunya, Hindun Abdul Rahman meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil. Moyangnya pula, Tuan Guru Hj Idris yang lebih dikenali sebagai Tuan Syeikh Idris Al-Jarumi adalah seorang Ulama’ terkenal di Kedah yang berasal dari Patani. 

Almarhum Ustaz Fadzil Noor mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga (1946-1949). Beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat Menengah di Maktab Mahmud Alor Star (1949-1958) dan peringkat tinggi (1958-1962). Pada Tahun 1962, almarhum melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, Mesir. Pada tahun 1967, almarhum berjaya menamatkan pelajaran dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Syariah. Sekembalinya dari Mesir, almarhum menjadi tenaga pengajar di Maktab Mahmud (1967-1973) dan pada tahun 1973 menerima tawaran sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur.



Bakat kepimpinan almarhum Ustaz Fadzil Noor terserlah pabila beliau bergerak cergas dalam persatuan pelajar dan terkenal sebagai pemidato yang pintar dan dihormati di Maktab Mahmud. Ketika di Mesir, almarhum memimpin Kesatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) sebagai Ketua Penerangan, Setiausaha dan akhirnya sebagai Timbalan Presiden. 

Almarhum juga pernah menjadi Setiausaha Persatuan Ulama Malaysia (1974-1976), Setiausaha Penerangan Angkatan Belia Islam Malaysia-ABIM (1973-1974) dan Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia-ABIM (1974-1978). Almarhum juga pernah menjadi Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) cawangan Kedah. 

Semasa memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Almarhum Ustaz Fadzil Noor turut terlibat dalam demontrasi membela rakyat miskin di Baling, Kedah Darul Aman pada tahun 1974. Ketika Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA di Kamunting dari tahun 1974 hingga 1976, almarhum menjadi Pemangku Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia-ABIM. Dan almarhum juga pernah menjadi Ketua Pembangkang dalam Parlimen Malaysia selepas Pilihanraya Umum 1999 setelah memenangi kerusi Parlimen Pendang. 

Almarhum Ustaz Fadzil Noor juga amat berjaya di bidang Dakwah dan Pendidikan. Selaku Pesuruhjaya PAS Kedah pada tahun 1985, beliau telah membeli sebuah estet kecil seluas 35 ekar untuk dijadikan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam yang dinamakan Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah Darul Aman. Institusi ini adalah standing kehebatannya pada zaman kegemilangan Maahad Al-Ehya Al-Sharif yang diasaskan oleh Ustaz Abu Bakar Al-Baqir. 

Almarhum Ustaz Fadzil Noor kembali ke rahmatullah pada pagi 23 Jun 2002 setelah 2 minggu mengalami koma selepas pembedahan yang dijalaninya. Dengan arahan kerajaan Pusat, jenazahnya diterbangkan dengan pesawat Tentera Udara Di Raja Malaysia ke Kedah. Jenazah dibawa ke Muassasah Darul Ulum iaitu Institusi Ilmu yang diasas dan diperjuangkannya.

 

 Pada hari beliau dikebumikan pada malam 23 Jun 2002, hampir setengah juta orang berkumpul di situ. Dari Alor Star hingga ke kawasan itu, hampir 30KM orang ramai penuh sesak di sepanjang jalan menunggu jenazahnya lalu. Malah pada sekitar terakhir jenazah hendak dikebumikan, tiada lagi kenderaan dapat bergerak sepanjang hampir 10KM menuju ke Muassasah Darul Ulum. Tidak kurang 50,000 orang menunaikan solat jenazahnya pada malam itu. Ia dikira satu rekod terbesar dalam sejarah Umat Islam di negara ini. 

Akhir kata, marilah bersama-sama kita sedekahkan ‘AL-FATIHAH’ buat Almarhum Ustaz Fadzil Noor (1937 - 2002) agar rohnya dirahmati Allah dan ditempatkan di kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh. Amin… 

Sekian, Wallahua’lam… 

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH 
wan_hazem19@yahoo.com

0 comments: