Tuesday, November 3, 2026

#REVIEWBUKU2026 - KORBAN TERBITAN FIXI

Assalamualaikum...
Salam Sejahtera...
Salam Malaysia Madani...

#REVIEWBUKU2026 - KORBAN TERBITAN FIXI 

Penulis : Crystal Anabella
Terbitan : Fixi
Bil Muka Surat : 319 halaman


First kali bila tengok tajuk dan cover yang dipertunjukkan di FB, aku sudah rasa sangat-sangat tertarik untuk menjadi pembaca terawal buku bertajuk KORBAN ini.

Sinopsis yang dikongsikan juga membuatkan aku rasa bersemangat dan berkobar untuk membaca satu persatu bab-bab yang ada dalam buku novel ini.

Permainan Realiti Content Video Seram, demi wang! Siapa yang tak nak duit kan?

Aku tertarik dengan permulaan cerita di bab-bab terawal novel ini yang membawa aku ke satu permainan realiti melibatkan 7 orang yang dikenali sebagai Lucky-7 yang terdiri oleh Dollah, Sam, Mira, Ed, Prity, Kazar dan X.

7 peserta ini mempunyai latar belakang yang berbeza-beza dan mempunyai impian utk memenangi hadiah yang ditawarkan oleh penganjur. Setiap dari mereka mempunyai cerita mereka tersendiri, kenapa mereka kejar hadiah wang tunai yang ditawarkan oleh penganjur.

Setiap cerita dari setiap watak ini diperjelaskan secara berselang seli sehinggalah pembaca dapat menghayati sesi temuduga yang dijalankan oleh En Abbas membuatkan aku sendiri rasa cemas. Aku sendiri tertarik dengan cerita mereka terutamanya Dollah. Latar belakang Dollah sedikit sebanyak membuatkan aku sendiri 'buka mata' bila mengetahui dia adalah mangsa dera.

Itu belum diceritakan lagi, latar belakang Mira, Sam dan lain-lain. Masing-masing hidup dalam masalah mereka sendiri tapi wujudnya Lucky-7 ini , mempertemukan mereka dalam mengejar impian masing-masing untuk memenangi sejumlah wang yang ditawarkan.

Benar! Tiga peraturan yang tak masuk akal itu sememangnya logik bilamana aku sendiri rasa cemas bilamana satu persatu kekecohan timbul semasa mereka bertujuh telah berada di resort Qulantis tersebut.

Beberapa watak sampingan juga dipertunjukkan supaya pembaca dapat menyelusuri setiap hari sehinggalah hari terakhir permainan tersebut. Babak kejam atau 'gore scene' juga diselitkan di beberapa bab yang membuatkan aku nak tahu lagi dan lagi apa yang berlaku sebenarnya.

Khayalan atau Realiti?

Saat semakin getir bilamana beberapa peserta yang tinggal (setelah ada peserta yang telah mati) cuma memahami dan merungkai misteri disebalik kejadian-kejadian aneh yang berlaku sepanjang mereka berada di resort berkenaan.

Setiap hari tepat jam 11.58 malam, En Abbas akan datang mengutip video-video seram yang dibuat oleh para peserta mengenai kisah-kisah yang ada di dalam resort.

Hantu Koboi, Hantu Loceng, Hantu Api dan Hantu Kayu yang muncul jugak sedikit sebanyak memberikan elemen seram dan suspen sepanjang aku menghabiskan novel ini.

Siapakah yang selamat? Aku tak nak 'spoil' kan tapi aku rasa aku sangat puas hati dengan pengakhiran seperti itu. Aku sendiri cuba berteka-teki siapa yang akan selamat tapi boleh kata permainan ini nampak sangat real. Aku sendiri rasa seperti menjadi kawan-kawan kepada dorang - Mira, Dollah dll.

Sejujurnya, aku sangat-sangat puas hati dan seronok membaca novel terbaru buku FIXI ini. Terima kasih FIXI atas buku ini! πŸ˜ƒπŸ˜

Ikhlas dari,
Wan Muhammad Hazem MY
Bukit Baru, Melaka
wan_hazem19@yahoo.com

Di Sebalik Dinding Yang Tidak Kelihatan...

Assalamualaikum...
Salam Sejahtera...
Salam Malaysia Madani...

DI SEBALIK DINDING YANG TIDAK KELIHATAN...

Ada satu fasa dalam kehidupan yang tidak pernah kita jangka akan kita lalui. Fasa apabila tempat yang dahulunya menjadi ruang untuk bekerja, menyumbang idea dan membina kerjaya, perlahan-lahan berubah menjadi tempat yang membuatkan kita berasa asing. Kita masih hadir seperti biasa, masih menjalankan tanggungjawab, masih menyelesaikan tugasan yang diberikan, tetapi jauh di sudut hati, ada sesuatu yang semakin berubah. Kita mula merasakan kehadiran kita tidak lagi diraikan. Suara kita tidak lagi didengari. Malah, kewujudan kita seolah-olah semakin dipinggirkan, khususnya oleh mereka yang berada pada kedudukan dan jawatan lebih tinggi.

Perkara yang paling menyakitkan bukanlah apabila seseorang secara terang-terangan menunjukkan ketidaksukaan terhadap kita. Sebaliknya, ia adalah apabila kita mula merasakan perubahan sikap yang sukar dijelaskan. Ada perbezaan dalam layanan, ada jarak yang semakin melebar dan ada suasana yang membuatkan kita tertanya-tanya apakah sebenarnya yang sedang berlaku. Kita cuba berfikiran positif, cuba mencari kemungkinan bahawa semuanya hanyalah salah faham. Namun, apabila perkara yang sama berulang, sedikit demi sedikit keyakinan terhadap persekitaran sendiri mula terhakis.

Lebih sukar apabila kita sampai ke satu tahap yang membuatkan kita tidak tahu lagi siapa yang boleh dipercayai. Orang yang selama ini kita anggap sebagai rakan seperjuangan mula kelihatan jauh. Perbualan biasa pun kadangkala membuatkan kita berfikir panjang. Setiap perkataan ditimbang, setiap tindakan diperhatikan dan setiap keputusan dirasakan perlu dibuat dengan penuh berhati-hati. Kita bukan lagi bekerja dalam suasana yang memberikan ketenangan, sebaliknya seolah-olah sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga dan tidak harmoni. Ironinya, tempat yang sepatutnya menyatukan manusia atas dasar profesionalisme akhirnya menjadi ruang yang membuatkan kita mempersoalkan keikhlasan sesama sendiri.

Dalam keadaan sebegini, perkara yang paling membimbangkan ialah kewujudan tangan-tangan yang tidak kelihatan atau bahasa mudah - tangan ghaib. Bukan semestinya mereka yang tampil secara terbuka, tetapi pengaruh yang mungkin bergerak melalui bisikan, cerita yang disampaikan dari satu pihak kepada pihak yang lain, tafsiran yang diubah dan persepsi yang dibentuk. Hasut-menghasut, jika benar berlaku, tidak semestinya meninggalkan bukti yang jelas. Namun, kesannya boleh dirasai melalui perubahan hubungan, suasana yang semakin dingin dan kepercayaan yang semakin sukar dibina. Akhirnya, kita sendiri tertanya-tanya sama ada sesuatu perkara itu benar-benar berlaku atau sekadar persepsi yang terbentuk akibat keadaan yang semakin menekan.

Inilah situasi yang paling aku takutkan. Bukan sebab aku tak mampu menghadapi cabaran pekerjaan, tetapi kerana aki tak pernah membayangkan bahawa suatu hari nanti aki perlu bergelut dengan suasana yang membuatkan aku berasa begitu bersendirian. Aku boleh menerima tugasan yang sukar. Aku boleh menerima tanggungjawab yang besar. Aku juga boleh menerima teguran dan kritikan sekiranya ia bertujuan memperbaiki kelemahan diri. Tetapi apabila segala-galanya berlaku serentak, tanpa sokongan moral dan tanpa ruang yang cukup untuk memahami keadaan sebenar, perjuangan itu menjadi jauh lebih berat daripada yang mampu dilihat oleh orang lain.


Aku masih ingat bagaimana aku cuba memberikan komitmen terhadap satu penyertaan pertandingan yang aku sendiri tak pernah lalui. Sesuatu yang pada asalnya aku lihat sebagai peluang untuk membawa nama organisasi ke hadapan. Aku mencurahkan masa, tenaga, idea dan kreativiti untuk memastikan perkara tersebut yang dihasilkan mempunyai nilai serta manfaat utk semua. Aku percaya 'inovasi' bukan sekadar pertandingan untuk mendapatkan pengiktirafan, tetapi satu usaha untuk membuktikan bahawa perubahan boleh bermula daripada sekumpulan kecil individu yang mempunyai kesungguhan.

Namun, perjalanan itu tidak semudah yang dibayangkan. Ada kalanya aku merasakan seolah-olah bergerak sendirian. Perjuangan yang sepatutnya menjadi usaha bersama terasa seperti tanggungjawab yang perlu dipikul tanpa sokongan moral yang sewajarnya. Aku tak mengharapkan semua orang memberikan pujian. Aku juga tak mengharapkan layanan istimewa. Cukuplah sekadar sedikit dorongan, kepercayaan dan keyakinan bahawa usaha yang dilakukan mempunyai makna. Kadangkala, satu perkataan semangat daripada orang yang kita hormati sudah cukup untuk memberikan tenaga baharu. Tetapi apabila perkara sekecil itu pun sukar diperoleh, kita mula memahami betapa sunyinya sesuatu perjuangan.

Lebih merumitkan keadaan apabila kritikan hebat mula kedengaran dalam mesyuarat-mesyuarat yang berada di bawah seliaan sendiri. Mesyuarat yang sepatutnya menjadi medan perbincangan, penyelarasan dan penyelesaian masalah kadangkala bertukar menjadi ruang yang membuatkan kita berasa tertekan. Setiap keputusan seolah-olah mempunyai ruang untuk dipersoalkan. Setiap kelemahan diperbesarkan. Setiap usaha pula seakan-akan tidak mempunyai nilai yang cukup untuk dipertimbangkan. Aku tak menolak hakikat bahawa seseorang pemimpin perlu bersedia menerima kritikan. Malah, kritikan yang membina adalah sebahagian daripada proses kepimpinan. Tetapi apabila kritikan disampaikan tanpa keseimbangan, tanpa pertimbangan terhadap keadaan sebenar dan tanpa niat yang jelas untuk mencari penyelesaian, ia boleh menjejaskan keyakinan seseorang yang sedang berusaha menjalankan amanahnya.

Kadangkala aku terfikir, adakah ini harga yang perlu dibayar apabila seseorang terlalu bersungguh-sungguh melakukan sesuatu? Adakah usaha untuk membawa perubahan akhirnya menjadikan seseorang mudah dipersoalkan? Atau adakah dalam sesetengah keadaan, keikhlasan dan kesungguhan tidak lagi menjadi ukuran utama apabila persepsi sudah terlebih dahulu dibentuk?

Aku takde semua jawapan terhadap persoalan tersebut.

Apa yang aku tahu, setiap hari aku masih perlu bangun dan meneruskan tanggungjawab. Aku masih perlu hadir ke pejabat, berhadapan dengan manusia yang sama, menyelesaikan urusan yang sama dan membuat keputusan yang memerlukan pertimbangan profesional. Di sebalik wajah yang cuba kelihatan biasa dan tenang, ada banyak perkara yang sedang difikirkan dan bermain di fikiran. Ada perasaan yang tidak mampu diluahkan. Ada persoalan yang tidak tahu kepada siapa harus ditanyakan. Dan ada perjuangan yang mungkin tidak akan pernah diketahui oleh mereka yang hanya melihat seseorang itu dari luar.

Mungkin inilah antara ujian paling besar dalam kehidupan profesional seseorang. Apabila kita bukan sahaja perlu menyelesaikan tugasan, tetapi pada masa yang sama perlu mengurus emosi dan mental, menjaga kewarasan pertimbangan, mempertahankan integriti dan memastikan diri tidak hilang arah akibat keadaan sekeliling.

Aku semakin memahami bahawa tak semua orang akan memahami perjuangan kita. Tidak semua orang akan berdiri bersama kita ketika keadaan menjadi sukar. Dan tidak semua perkara perlu dijawab dengan penjelasan yang panjang. Ada masanya kita perlu membiarkan hasil kerja menjadi bukti, rekod menjadi sandaran dan prinsip menjadi pegangan. Jika ada perkara yang tidak benar, biarlah fakta dan proses yang sewajarnya menentukan kedudukan sebenar, bukannya kita terperangkap dalam kitaran prasangka dan andaian.

Namun, aku juga manusia biasa. Aku mempunyai batas kemampuan, mempunyai perasaan dan mempunyai hari-hari apabila segala-galanya terasa terlalu berat. Aku tak mahu berpura-pura bahawa semuanya baik-baik sahaja. Aku tak mahu terus menyembunyikan hakikat bahawa keadaan ini sedang menguji diri aku. Aku cuma berharap agar suatu hari nanti, aku dapat kembali bekerja dalam suasana yang lebih sihat, saling menghormati dan memberikan ruang kepada setiap individu untuk menyumbang tanpa dibayangi permainan persepsi.

Buat masa ini, mungkin aku perlu belajar membezakan antara perkara yang benar-benar berlaku dengan perkara yang masih menjadi persoalan. Aku perlu berhati-hati tanpa membiarkan ketakutan menguasai setiap keputusan. Aku perlu mendengar tanpa mempercayai setiap cerita, dan aku perlu menilai sesuatu berdasarkan fakta, bukan semata-mata bisikan. Paling penting, aku perlu pastikan bahawa segala tekanan ini tidak mengubah diri saya menjadi seseorang yang aku sendiri tidak mahu menjadi.

Kerana pada akhirnya, aku tak mahu kehilangan prinsip hanya kerana terpaksa berhadapan dengan keadaan yang sukar. Aku tak mahu membalas sesuatu yang tidak baik dengan tindakan yang sama. Aku juga tak mahu membiarkan pengalaman ini memadamkan minat, kreativiti dan semangat yang pernah menjadi sebahagian daripada diri aku.

Mungkin hari ini aku sedang berada di sebalik sebuah dinding yang tidak kelihatan. Dinding yang memisahkan aku daripada mereka yang suatu ketika dahulu saya anggap sebagai rakan seperjuangan. Dinding yang membuatkan aku tertanya-tanya tentang kepercayaan, kesetiaan dan keikhlasan. Tetapi aku masih mempunyai pilihan untuk menentukan bagaimana aku mahu meneruskan perjalanan ini.

Aku tak tahu berapa lama keadaan ini akan berterusan. Aku juga tak tahu bagaimana pengakhirannya. Tetapi aku berharap agar aku tak kehilangan diri sendiri dalam usaha untuk terus bertahan.

Kerana ada perjuangan yang tidak memerlukan tepukan, ada pengorbanan yang tidak menuntut pengiktirafan dan ada kesunyian yang tidak mampu diterjemahkan melalui kata-kata.

Dan mungkin, perjuangan yang paling sukar bukanlah untuk membuktikan sesuatu kepada orang lain, tetapi untuk memastikan kita masih mampu berdiri dengan prinsip dan maruah sendiri, walaupun ketika sokongan yang diharapkan tidak lagi berada di sisi.

Dan apa yang aku rasa sekarang adalah aku give-up! πŸ₯ΊπŸ₯Ή Dan aku akan mengalah! 

Wallahua'lam...

Dari,
WMHMY
Bukit Baru, Melaka
01 November 2026