Wednesday, January 11, 2012

Pelajar IPT 'Kantoi' Mencuri Dikenakan Tindakan...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Pagi ini, saya terdetik untuk berkongsi satu lagi berita yang berkaitan dengan mahasiswa di Malaysia. Iaitu berkenaan dengan tiga orang pelajar perempuan yang terlibat dengan mencuri barangan di sebuah pasar raya. Jom ikuti berita yang sepenuhnya… =)

AYER KEROH - Tiga pelajar perempuan sebuah pusat pengajian tinggi swasta (IPT) ditegur majistret selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini atas kesalahan mencuri barangan sebuah pasar raya, tahun lalu.

Majistret Syajaratudur Abdul Rahman menegur ketiga-tiga tertuduh, Aina Mardiah Mohd Khairi, 19, Nor Atikah Alem Abd Halim, 19, dan Nur Ira Natasha Abdul Kadir, 19, bahawa mereka sebagai mahasiswa perlu tahu bezakan perlakuan baik atau buruk.

Syajaratudur memutuskan ketiga tertuduh dilepaskan dengan bon berkelakuan baik bercagar RM2,000 serta memerintahkan mereka menjalani khidmat masyarakat selama 240 jam bagi tempoh dua tahun.

“Asalnya nak berseronok, tapi akhirnya jadi begini. Orang-orang yang dapat peluang masuk universiti adalah golongan bijak dan sepatutnya kamu sebagai pelajar universiti sudah boleh fikir baik dan buruk sesuatu perkara itu sebelum melakukannya," katanya sebelum menjatuhkan hukuman, semalam.

Terdahulu, ketiga-tiga sahabat tersebut yang faham pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah mengaku bersalah, semalam pada hari sebutan semula bagi mendengar laporan sosial disediakan pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Berdasarkan pertuduhan, Aina Mardiah didapati dengan niat curang mencuri sehelai baju-T wanita jenama Depi Corp, selain dua baju-T jenama Goggles, sebuah beg alat solek, dan beberapa alat solek kesemuanya bernilai RM291.90 kepunyaan pasaraya Aeon Jusco tanpa kerelaannya.

Nor Atikah Alem juga melakukan kesalahan sama iaitu dengan mencuri sehelai baju-T jenama Dolly dan Ti-Zed, selain pembayang mata jenama Maybelline Newyork kesemuanya bernilai RM146.80 kepunyaan pasaraya yang sama.

Sementara itu, Nur Ira Natasya didapati mencuri sebatang maskara, dua pek topeng muka jenama Nivea Visage, penanggal alat solek jenama Maybelline, tiga produk penjagaan muka, selain dua kameja T Depi Corp dan sehelai seluar jeans Goggles.

Ketiga-tiga tertuduh melakukan kesalahan di bahagian Ladies, tingkat satu dan bahagian Kosmetik tingkat bawah di dalam Pasaraya Aeon Jusco Bandaraya, Jalan Panglima Awang kira-kira 7.45 malam pada 20 September lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Selepas meneliti fakta kes dan laporan sosial serta mendengar hujah dan rayuan oleh kedua-dua belah pihak, Syajaratudur kemudian memutuskan ketiga tertuduh dilepaskan dengan bon berkelakuan baik bercagar RM2,000 dan memerintahkan mereka menjalani khidmat masyarakat selama 240 jam bagi tempoh dua tahun.

Sumber : Sinar Harian

*Diharapkan agar kejadian dan peristiwa ini dijadikan iktibar dan teladan kepada kita semua agar tidak terlibat dalam kes-kes mencuri seperti ini. Tetapi saya mengharapkan agar anda semua cakna dengan isu semasa kerana kita yang akan mewarisi kepimpinan Negara di masa akan datang. Insyaallah…

Sekian, Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com

0 comments: