Tuesday, June 7, 2011

Klinik Sukan Dodgeball Peringkat Negeri Kedah 2011...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Pada 3 hingga 5 Jun 2011, saya diberi peluang bagi mewakili Belia Daerah Kota Setar untuk “Klinik Sukan Dodgeball Peringkat Negeri Kedah 2011”. Program anjuran Kementerian Belia dan Sukan Malaysia & Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah dengan kerjasama Persatuan Dodgeball Malaysia ini telah diadakan di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah.



Sukan Dodgeball ini boleh dianggap baru kerana ianya diperkenalkan di Malaysia kira-kira tahun 2008. Dan saya yang pertama kali mendengar sukan ini juga memikirkan apa sebenarnya sukan yang dimaksudkan ini. Tetapi setelah menyertai klinik sukan ini, ianya boleh dianggap sukan yang begitu mencabar dan menyeronokkan.

Sukan Dodgeball ini adalah sukan berbentuk penyingkiran di mana anda adalah sasarannya. Objektifnya adalah menyingkirkan semua pihak lawan sebelum pihak lawan menyingkirkan pasukan anda. Sukan ini dapat disamakan seperti permainan kanak-kanak melayu dahulu iaitu Bola Beracun, Tuju Kasut atau Tuju Lemak. Sukan ini menggunakan sistem kehormatan iaitu Kejujuran, Integriti dan Semangat Berpasukan.

Pada mulanya ketika melihat video sukan ini, saya merasakan sukan ini begitu bahaya dan setelah menjalani latihan sukan dodgeball ini, membuatkan saya sungguh tertarik dengan sukan ini terutamanya setelah saya berpeluang untuk berlawan secara persahabatan dengan kumpulan Red Fire iaitu Johan Kebangsaan Dodgeball Malaysia dan Naib Johan Asian Dodgeball. Ini cukup memuaskan diri saya.

Sehari bermain sukan ini, habis seluruh badan saya terasa begitu sakit dan sengal-sengal otot. Akan tetapi saya masih bersemangat bersama peserta-peserta lain sehingga selesai latihan sukan ini. Peserta hampir 50 orang yang menjalani latihan ini yang dipilih bagi mewakili 7 daerah telah dibahagikan kepada 6 kumpulan bagi perlawanan Sukan Dodgeball dan Alhamdulillah, kumpulan saya telah mendapat tempat ketiga dalam perlawanan tersebut.

Turut diadakan adalah Majlis Penutupan yang disempurnakan oleh Encik Othman Abdul, Timbalan Pengarah Sukan Negeri Kedah dan Ms. Ramona Yuen, Timbalan Presiden Persatuan Dodgeball Malaysia. Banyak input-input yang diperolehi hasil dari menyertai Klinik Sukan Dodgeball ini. Dan di sini juga saya ingin merakamkan sedikit penghargaan kepada Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Setar yang sudi memilih saya bagi mewakili Belia Kota Setar.







Akhir kata, diharapkan saya diberi peluang lagi bagi mendalami sukan Dodgeball ini. Insyaallah… Apa-apa pun sukan ini memang best dan terbaik… =)

Sekian, Wallahua’lam…


Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
Diploma Pengurusan Harta Tanah
Universiti Teknologi Malaysia International Campus
wan_hazem19@yahoo.com

0 comments: