Thursday, June 30, 2011

Unggun Bersih...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

“Unggun Bersih” itulah tajuk puisi yang diilhamkan oleh Sasterawan Negara Malaysia iaitu Dato’ A. Samad Said. Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara ini juga merupakan sasterawan yang sinonim dengan rakyat yang sentiasa menuntut hak dan memartabatkan kembali keadilan dan Melayu ! Sepertimana Dato’ Shahnon Ahmad, Sasterawan Negara Malaysia yang Kedua.



Saya ingat lagi ketikamana Dato’ A. Samad Said bersama-sama Pejuang Bahasa lain telah melancarkan Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) yang menentang Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Beberapa siri tunjuk perasaan telah diadakan seperti pada 31 Januari dan 7 Mac 2009. Beliau bersama lebih 8,000 penyokong bahasa Melayu berjaya menghantar memorandum Anti PPSMI ke Istana Negara untuk diserahkan pula kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin. Polis dan FRU telah digunakan untuk menghalau orang ramai dan beliau adalah antara orang yang turut sama terkena Gas Pemedih Mata.

Itulah yang dikatakan perjuangan yang cukup tak terkata oleh insan yang bergelar Sasterawan Negara Malaysia ini. Dan hari ini, beliau sekali lagi bangkit untuk menuntut Pilihanraya Bersih dan Adil dan bersama-sama menyokong Perhimpunan Aman Tanpa Senjata Bersih 2.0. Dan kali ini, beliau telah mengilhamkan sebuah puisi yang cukup manis dan bermakna iaitu “Unggun Bersih”. Bersama-samalah kita menghayati dan meneliti apa sebenarnya yang sedang diperkatakan oleh insan yang bernama Dato’ A. Samad Said.

UNGGUN BERSIH Dato’ A. Samad Said

Semakin lara kita didera bara –
Kita laungkan juga pesan Merdeka :
Demokrasi sebenderang mentari
Sehasrat hajat semurni harga diri

Lama resah kita – Demokrasi luka;
Lama duka kita – Demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
Suara bebas yang utuh, kita idami !

Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
Diperlu hanya unggun api yang syahdu.

Kini menyalalah unggun sakti itu;
Kini merebaklah nyala unggun itu.

Begitulah bait-bait kata yang cukup puitis dan bermakna. Insan yang berilmu sepertinya cukup sudah memahami apa yang sebenarnya diperhatikan beliau. Saya cukup ‘respect’ kepada beliau kerana masih berpijak di bumi yang nyata dan tidak takut berhadapan dengan sengketa.

Sumber : A. Samad Said

Sekian, Wallahua’lam…

Ikhlas dari saya,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com

0 comments: