Saturday, July 16, 2011

Warkah Buat Adik-Adikku di UTM IC...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

TAHNIAH sekali lagi saya ucapkan kepada seluruh pelajar lepasan Diploma/Setaraf yang dapat menyambung pelajaran mereka ke IPTA dan TAKZIAH kepada mereka yang kecundang dan mungkin ini satu ujian untuk mereka terus berusaha mencapai cita-cita.



Tujuan saya membuat penulisan kali ini adalah sebagai perkongsian atau sokongan moral kepada adik-adik saya yang masih belajar di Universiti Teknologi Malaysia International Campus Kuala Lumpur. Mungkin ini sebagai penguat semangat anda untuk terus melakukan yang terbaik di UTM IC.

Apa yang dapat saya perhatikan kali ini apabila melihat seluruh sahabat-sahabat saya yang mendapat pointer melebihi 3.00 dan kebanyakkannya diterima masuk untuk sambung pelajaran mereka ke peringkat Ijazah yang rata-ratanya adalah dari kalangan mahasiswa selain dari kejuruteraan.

Mungkin ini bukan suatu FAKTA yang SAHIH, tetapi hakikatnya inilah yang dapat saya katakan bahawa tiada yang mustahil sekiranya rezeki berpihak kepada diri kita. ALHAMDULILLAH !

Saya ingin membawa seketika adik-adik saya untuk memahami proses pembelajaran yang seimbang dan seharusnya diperkuatkan agar ianya membawa kepada kebaikan pada masa akan datang. Ada yang kata perlu untuk penglibatan program. Ada juga yang kata perlu untuk memberi tumpuan kepada akademik sahaja. Dan apa pula kata anda semua?

Saya berpendapat, sekiranya anda mempunyai kemahiran atau bakat, tonjolkan kemahiran atau bakat anda itu dan jangan sesekali abaikan akademik. Di peringkat kepimpinan saya dahulu, hampir ke semua barisan kepimpinan adalah mendapat 3.00 ke atas dan boleh dianggap cukup selesa tetapi kamu semua kena hati-hati disebabkan kelekaan anda terhadap aktiviti itu yang menyebabkan pointer anda semakin jatuh.

Jika kita berbicara soal kepimpinan, seharusnya kepimpinan itu haruslah selaras dengan keseimbangan akademiknya. Tiada apa yang dapat dibanggakan sekiranya kejayaan anda memegang sesuatu jawatan atau melaksanakan sesuatu aktiviti berakhirnya dengan dukacita untuk sambung pengajian anda.

Berbalik kepada soal akademik, sebaiknya saya menyerukan kepada seluruh mahasiswa sama ada di tahun 1, 2 mahupun 3, anda semua haruslah bijak membahagikan masa anda tanpa mengabaikan soal pelajaran anda. Pelajaran dan Akademik adalah menjadi keutamaan buat anda sekarang, kerana tiada apa yang dapat anda banggakan sekiranya anda hebat di pentas kemahiran tetapi gagal di medan akademik.

Ini adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri setelah hampir 40 aktiviti/program yang pernah diikuti & dibuat dan hampir 4 jawatan utama di UTM IC yang pernah saya kecapi, ianya hanyalah sekadar sampingan sahaja dan akademik saya hanya ‘maintain’ sehingga 4 semester sahaja dan mengalami sedikit penuruan ketika semester kelima saya dan Alhamdulillah semester keenam kembali ‘OK’.

Pemerhatian juga dibuat melihat kelibat-kelibat barisan kepimpinan lain yang seangkatan dengan saya, kecundang disebabkan faktor akademik mereka. Mungkin disebabkan permasalahan dari segi pembahagian masa tidak dilakukan sebaik mungkin. Tetapi apa yang dapat saya gambarkan adalah, apa yang sebenarnya kemahuan anda? Akademik atau Kepimpinan? Atau mungkin kedua-duanya?

Tepuk dada tanyalah iman anda !

Akhir kata, saya mengharapkan yang terbaik dari adik-adik saya terutamanya yang pernah bekerjasama dengan saya, yang pernah bergaul dengan saya dan sebagainya. Buatlah yang terbaik untuk kegembiraan ibu ayah anda. Saya mengharapkan agar anda semua juga, dapat bersama-sama menyambung pelajaran di UTM JB. Insyaallah... Saya ucapkan ‘SELAMAT BERJAYA’ untuk semua.

Sekian, Wallahua’lam…


Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
Diploma Pengurusan Harta Tanah
Universiti Teknologi Malaysia International Campus
wan_hazem19@yahoo.com

0 comments: