Wednesday, July 28, 2010

Masalah Pasti Ada Jalan Penyelesaian...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Kita sering mengeluh berkaitan masalah yang kita hadapi. Kita juga sering pertikaikan, “Kenapa perkara ini boleh terjadi?”. Kita juga sering terfikir adakah perlu untuk kita tempuhi. Kita juga sering berdolak-dalik dengan masalah yang kita hadapi. Tapi adakah kamu semua tahu bahawa masalah itulah yang akan mematangkan pemikiran dan keperibadian kamu sebagai seorang hamba Allah yang kerdil.

Masalah sering kali dikaitkan dengan pelbagai penyelesaian sama ada ia positif mahupun negatif. Sebut saja, “Bunuh diri, Dadah, Ragut dan pelbagai jenayah lain” yang dilakukan sebagai jalan terakhir untuk terus keluar daripada belenggu yang dihadapi. Tapi, adakah kita pernah terfikir bahawa perkara seperti itu menambahkan lagi masalah yang kita hadapi.

Ada juga yang mengambil langkah mudah dengan membuat perkara-perkara yang negatif seperti berhibur di pusat-pusat hiburan, bersosial tanpa batasan dan sebagainya lagi bagi memastikan mereka itu dapat melupakan semua masalah yang mereka hadapi. Betul atau tidak perkara tersebut?? Mengikut maklumat yang diperolehi dan pembacaan di dada-dada akhbar, sudah terbukti bahawa perkara itu memang sudah menjadi kenyataan.

Saya sendiri juga pernah mengalami pelbagai masalah. Tak kiralah masalah berkaitan dengan peribadi, keluarga, kewangan, rakan-rakan dan sebagainya lagi. Saya pernah difitnah, pernah diugut dan sebagainya lagi. Sama ada di Sekolah Rendah Islam Alor Star (SRIAS), Maktab Mahmud Alor Star (MMAS), Sekolah Menengah Teknik Langkawi (SMTL) sehinggalah di Universiti Teknologi Malaysia International Campus (UTM IC).

Saya belajar menyelesaikan semua masalah itu satu persatu tetapi kekadang itu , saya juga tewas dan perlu sokongan dan bimbingan oleh keluarga, sahabat-sahabat, rakan-rakan untuk terus melangkah ke hadapan. Saya pernah ditertawakan di hadapan khalayak ramai, saya pernah dimalukan depan seluruh sahabat-sahabat, saya pernah diejek tanpa dorang semua memikirkan saya juga mempunyai perasaan malu seperti mereka.

Tapi itulah hempedu yang saya perlu telan untuk bernafas kembali membuat perubahan supaya saya tidak lagi dikenali sebagai wan hazem yang dahulu. Perubahan ini jugalah saya lakukan satu persatu dengan menaiki tangga-tangga sebuah kehidupan insan yang bernama Wan Muhammad Hazem untuk terus menggapai impian yang saya lakarkan untuk meneruskan perjuangan kehidupan saya. Tidak kira apa saja halangan yang ada akan tetap saya teruskan. Walaupun sesekali lukanya amat pedih untuk saya hadapi tetapi itulah yang dinamakan erti sebuah kehidupan.

Beralih kepada perkongsian sahabat-sahabat, rakan-rakan, senior-senior dan junior-junior kepada saya dan saya dapati lebih ramai lagi mahasiswa yang lain mempunyai masalah yang lebih berat dari saya sehinggakan melahirkan rasa sebak di hati. Mereka itu lebih kental dan lebih kuat untuk meneruskan kehidupan mereka dalam belenggu masalah dan pelbagai krisis yang dihadapi. Saya sekadar mampu untuk menjadi tempat luahan hati mereka daripada mereka ini melakukan perkara-perkara yang negatif untuk teruskan pembelajaran dan kehidupan mereka.

Saya akan sentiasa terbuka untuk mahasiswa UTM IC bagi berkongsi masalah dan apa saja yang mereka hadapi. INSYAALLAH, perkara itu akan saya bangkitkan kepada pihak-pihak yang terlibat. Selagi ada jalan untuk kita bangkitkan, saya di Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM IC akan terus bangkitkan untuk kemudahan dan kebajikan bersama. Tetapi sekiranya, ianya melibatkan masalah keluarga, korang semua boleh berkongsi dengan saya, Insyaallah saya akan bersama dengan kamu. TETAPI saya mahu ingatkan kepada seluruh sahabat-sahabat, rakan-rakan dan sebagainya, jika korang semua mempunyai masalah, berdoalah selalu kepada ALLAH moga ALLAH permudahkan semua urusan kita. INSYAALLAH…

Sekian, Wallahua’lam…

“MASALAH PASTI ADA JALAN PENYELESAIAN”


Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
Exco Kebajikan, Kolej dan Pengaduan Awam
Majlis Perwakilan Mahasiswa
Universiti Teknologi Malaysia International Campus
wan_hazem90@yahoo.com

0 comments: