Friday, July 23, 2010

Keruntuhan Akhlak Belia Remaja : Isu dan Puncanya...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Keruntuhan akhlak di kalangan belia remaja semakin menjadi-jadi di negara kita ini terutamanya Belia Remaja Islam-Melayu. Seks Bebas, Mat Rempit, Pembuangan Bayi, Penagihan Dadah dan sebagainya lagi cukup sinonim dengan anak-anak muda kita sekarang bahkan remaja bawah umur juga sering kali dikaitkan bersama. Ianya sudah terbukti di dada-dada akhbar yang sentiasa melaporkan berkaitan dengan isu belia remaja ini.

Banyak kajian akademik dan sebagainya telah dibuat oleh mereka yang pakar berkenaan dengan isu belia remaja ini seperti pihak kerajaan, persatuan dan NGO, para cerdik pandai dan sebagainya lagi. Daripada kajian yang telah dilakukan ini telah terbukti bahawa masalah ini mempunyai hubung kait yang luas dengan masyarakat, keluarga, media massa, kawan-kawan dan sebagainya lagi. Apabila masalah keruntuhan akhlak remaja ini dibincangkan secara umum, persoalan yang sering kali menimbulkan tanda Tanya kepada seluruh individu yang terlibat ialah siapa yang harus dipersalahkan dan mengapa perkara ini berlaku…???

Pada pendapat saya sendiri, empat perkara utama yang boleh saya simpulkan bagi menjawab persoalan di atas. Pertamanya, ianya bermula dari kebodohan diri sendiri iaitu melalui perasaan ingin tahu atau ingin mencuba sesuatu perkara yang baru. Perasaan sebegitu sebenarnya adalah baik, namun yang menjadi masalah ialah apabila mereka ini tiada “Guide Line” dari orang-orang yang sepatutnya seperti ibu ayah mereka. Jadi perasaan ini akan membuatkan mereka akan lakukan apa sahaja yang diinginkan tanpa memikirkan baik atau buruknya perkara tersebut.

Keduanya, berhubung dengan sikap keluarga iaitu individu terdekat di sisi seseorang remaja. Saya tidak menyalahkan seratus peratus terhadap sikap keluarga tetapi hanyalah segelintir sahaja yang mengamalkan sikap terlalu mengongkong atau terlalu memberikan kebebasan kepada para remaja ini, juga boleh menjadi penyumbang kepada wujudnya masalah ini. Mereka ini menjadi ahli keluarga yang hanya hidup untuk hidup tapi tidak dipeduli dan tidak diberi input kerohanian, nilai-nilai keagamaan dan mulia yang cukup.
Ketiganya, adalah pengaruh rakan sebaya. Kawan yang baik, boleh membimbing mereka kepada kebaikan, namun jika tersalah memilih kawan, akan mempengaruhi mereka kepada perkara-perkara yang bersifat negatif. Selain itu, sikap remaja turut menyumbang kepada gejala social ini, kadangkala mereka ini terlalu mudah mempercayai orang lain. Contohnya, jika mereka merasakan rakan-rakan mereka lebih rapat dan lebih memahami, dengan mudah mereka akan mengikut apa yang dilakukan oleh rakan-rakan mereka. Mereka lupa bahawa “Kawan juga kadangkala boleh makan kawan”. Dalam keadaan ini ramai para remaja terjerumus ke dalam gejala social.

Keempatnya, adalah pengaruh media massa. Tidak semua apa yang dipaparkan di media massa itu memberikan kesan yang buruk. Namun, ada segelintir program-program dan drama-drama yang memaparkan pergaulan bebas di kalangan remaja, Program-program realiti TV, serta rancangan-rancangan yang bersifat hiburan semata-mata. Contohnya, corak pergaulan remaja yang jauh dari nilai-nilai ketimuran, cara berpakaian yang kurang sopan dan gaya hidup yang mengikut cara barat. Terdapat juga unsur-unsur lucah dan mengghairahkan terdapat dengan mudah di pasaran sama ada dalam bentuk bercetak, CD atau lain-lain. Selain itu, bahan media ini juga mudah untuk diperolehi.
Berdasarkan empat perkara yang diberitahu itu, saya menyeru kepada seluruh mahasiswa terutamanya mahasiswa UTM IC supaya memikirkan apa sebenarnya yang dikejar oleh para belia remaja sehingga berani mempertaruhkan maruah diri, dan sebagainya sehingga berani untuk terjerumus ke lembah kemaksiatan yang sudah terbukti akan keburukannya. Dari pihak Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM IC sendiri, kita akan bersama-sama berkempen untuk menjaga maruah diri dan memelihara adab sopan dan ketimuran kita. Insyaallah…

“MAHASISWA HARAPAN BANGSA”

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
Exco Kebajikan, Kolej dan Pengaduan Awam
Majlis Perwakilan Mahasiswa
Universiti Teknologi Malaysia International Campus
wan_hazem19@yahoo.com

0 comments: