Friday, July 16, 2010

Angkara Black Metal...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Hari ini, saya cuba mengingatkan semula apa yang berlaku di kalangan para belia remaja Melayu-Islam di Malaysia kini yang semakin hari semakin hancur. Tetapi apa yang saya ingin kupaskan pada hari ini adalah bukannya berkaitan dengan Pembuangan Bayi, Homoseksual atau sebagainya, tapi ia adalah berkaitan dengan Kumpulan BLACK METAL.

Walaupun ianya akan dianggap sebagai isu LAPOK yang telah berlaku beberapa tahun yang lepas, tetapi kita semua patut sedar kebanyakan isu berkaitan dengan Belia Remaja adalah berpunca pada desakan emosi yang semakin dikuasai oleh muzik terutamanya muzik yang tidak bermesej.

Saya sekarang baru sahaja selesai membaca sebuah buku yang berkaitan dengan BLACK METAL iaitu ANGKARA BLACK METAL; APABILA SYAITAN BERTOPENGKAN MUZIK yang ditulis oleh ASHADI ZAIN dan MOH DAT MOLOK. Kita sebagai mahasiswa patut sedar tentang perkembangan kumpulan ini yang semakin hari semakin bertambah ahli kumpulannya. Membawa maksud bahawa semakin bertambah REMAJA MELAYU-ISLAM MURTAD.

Sekarang saya mahu berkongsi sedikit maklumat berkaitan dengan LATAR BELAKANG kumpulan ini supaya seluruh mahasiswa UTM IC dan pembaca blog dapat menggunakan pemikiran yang waras serta berlandaskan pengetahuan agama Islam berkenaan maklumat yang diperolehi ini. INSYAALLAH…

LATAR BELAKANG…
Black Metal adalah muzik yang muncul pada awal 1980-an, sama era muzik Heavy Metal. Ia berkembang daripada Thrash Metal sama seperti Death Metal. Pengasas muzik Black Metal ialah seperti kumpulan Venom, Mercyful Fate, Bathory, Hellhammer, Bulldozer, Celtic Frost dan Mayhem.

Nama Black Metal diilhamkan daripada tajuk album kumpulan Venom ‘Black Metal’ yang bermaksud logam hitam. Black Metal mengukuhkan kedudukannya pada masa kini dengan dipengaruhi kumpulan muzik dari Norway seperti Darkthrone, Enslaved, Burzum, Mayhem, Immortal, Ancient dan Emperor. Aliran muzik yang diasaskan di Barat jelas menjurus kepada pemujaan syaitan dan liriknya yang liar, ganas, mengagungkan syaitan serta perkara-perkara yang menyentuh tentang ketuhanan (anti agama) dan alam ghaib.

Di Malaysia, kumpulan ini dianggotai oleh 100% remaja dan belia Melayu Islam sahaja dengan takrifan Black Metal sebagai ideology yang cuba dikembangkan oleh golongan-golongan tertentu kepada masyarakat belia melalui alunan muzik yang berlirikkan pemujaan syaitan, anti-ketuhanan, kekejaman (pembunuhan), seks bebas dan seumpamanya.

CIRI-CIRI MENGENALI PERWATAKAN BLACK METAL
• Pakaian serba hitam yang dilambangkan dengan kepala tengkorak, bintang lima bucu dengan kepala kambing dan salib terbalik.
• Tanda-tanda yang nyata sebagai ahli kumpulan ini ialah parut di bawah dagu yang ditoreh dengan duit syiling.
• Memakai aksesori perempuan serba hitam dan apabila sudah matang sebagai ahli, mereka akan diminta memijak al-Quran sebagai tanda menghinanya.
• Ahli kumpulan terdiri dari kalangan remaja Melayu antara 15-35 tahun sebagai division satu, manakala umur 13-19 tahun dinamakan division dua.
• Berzikir nama-nama syaitan dengan mengangkat tangan (lambing syaitan).
• Masa berkumpul mereka ialah waktu lewat malam hingga menghampiri waktu subuh dengan memasang lilin, muzik yang agak pelik di samping mengangkat kedua-dua tangan dengan jari berbentuk (lambing syaitan).

PERKARA-PERKARA BERTENTANGAN DENGAN ISLAM

ASPEK AKIDAH :
• Memijak al-Quran
• Memuja iblis dan syaitan serta membenci Tuhan
• Beramal dengan fahaman tiada agama (free thinker)
• Anti ketuhanan dan anti agama
• Mengaku dirinya telah murtad
• Merosakkan minda dan memesongkan akidah

ASPEK SYARIAH :
• Bakar dan hina al-Quran
• Mendakwa diri sebagai pengikut syaitan
• Melakukan upacara meditasi dan pesta puja api
• Meminum arak dan darah
• Mengamalkan seks bebas
• Menggalakkan amalan bunuh diri
• Menggalakkan pembunuhan


ASPEK AKHLAK :
• Suka muzik berbentuk heavy metal, ganas, perlakuan kejam, liar, mengagungkan syaitan dan memuja roh
• Minum darah binatang yang dibunuh kejam sebagai simbolik anti ketuhanan dan semua agama
• Berpakaian tidak senonoh serta aksesori seperti rantai, salib terbalik dan pentagram, mengukir parut di bawah dagu yang ditoreh dengan duit syiling
• Suka berfoya-foya seolah-olah tiada pegangan agama dan bercampur gaul lelaki dan perempuan serta mengamalkan seks bebas
• Mempunyai kitab sendiri yang mencampuradukkan beberapa ayat suci al-Quran tulisan rumi, hadis dan Injil
• Ada remaja wanita yang berbogel sambil mengoyak al-Quran dan ditaburkan, kemudian menghina ayat suci itu dengan melakukan seks di atas cebisan naskah al-Quran
• Meminum darah kambing hitam sebagai syarat jadi ahli, minum holy water serta membayar wang ahli sebanyak RM30


Diharapkan, agar kita ramai-ramai menadah tangan,mendoakan supaya remaja-remaja Melayu-Islam yang terlibat dengan kumpulan ini, segera kembali ke pangkal jalan.INSYAALLAH… Dan kita mendoakan juga agar saudara-saudara kita, sahabat-sahabat kita, serta sebagainya tidak akan terlibat dengan kumpulan seperti ini. INSYAALLAH…


“Mahasiswa Pemangkin Kesatuan Belia…”


Yang Benar,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
Exco Kebajikan, Kolej & Pengaduan Awam
Majlis Perwakilan Mahasiswa
Universiti Teknologi Malaysia International Campus
wan_hazem90@yahoo.com

0 comments: