Sunday, August 29, 2010

Ungkapan Perdana...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Lagi 4 hari kita menanti detik tanggal 31 Ogos iaitu sambutan Kemerdekaan yang ke-53 di Negara kita ini. Dengan bertemakan “1 Malaysia Menjana Transformasi” menunjukkan betapa jelasnya konsep Perpaduan 1 Malaysia ini amat perlu dihayati oleh semua rakyat Malaysia. Kali ini saya ingin berkongsi mengenai Ungkapan Perdana iaitu ungkapan dari keenam-enam Perdana Menteri mengenai Perpaduan antara kaum yang terpetik dari majalah INFO : Penggerak Minda Rakyat.

“Orang Melayu, Cina, India dan lain-lain kaum yang hendak menumpukan taat setia dan tinggal bersama serta menumpu dan menumpahkan darah serta bekerja membanting tulang di negeri ini, tinggallah dengan baik antara satu sama lain kerana negeri ini adalah berlainan dengan mana-mana negeri yang ada di dunia ini.”
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj
(Perdana Menteri Malaysia Pertama)
Lapangan Terbang Sg. Besi, Kuala Lumpur
3 Jun 1957


“Rakyat negara yang berbilang kaum yang sebahagian besarnya golongan belia merupakan kekayaan tenaga manusia yang mana kalau digembleng dalam satu barisan yang bersatu padu membolehkan kita mencapai cita-cita nasional dengan sepenuhnya.”
Tun Abdul Razak Dato’ Hussein
(Perdana Menteri Malaysia Kedua)
Petikan ucapan di Institut Teknologi MARA, Petaling Jaya
10 Januari 1972

“Adalah tidak mustahil pendapat dan fahaman kita sentiasa tidak berbeza. Apa yang penting ialah pendapat dan fahaman yang berbeza itu tidak diperbesar-besarkan sehingga membawa pecah belah di kalangan rakyat berbilang keturunan.”
Tun Hussein Dato’ Onn
(Perdana Menteri Malaysia Ketiga)
Perhimpunan Agung MCA
1 November 1980


“Persefahaman dan hubungan baik ini hanya dapat dicapai jika kita semua iaitu semua kaum di Malaysia bersifat sederhana dan sanggup bercampur gaul semasa bekerja, bermain dan dalam aktiviti social kita.”
Tun Dr. Mahathir Mohamad
(Perdana Menteri Malaysia Keempat)
Perhimpunan Agung MCA ke-49
27 Julai 2002


“Amatlah rugi kepada negara bangsa jika kita terlalu taksub untuk berselisih. Bangsa perlu satu kekuatan sejati. Orang Melayu begitu juga warga Malaysia keseluruhannya telah berada di pelantar yang lebih tinggi dari dahulu.”
Tun Abdullah Ahmad Badawi
(Perdana Menteri Malaysia Kelima)
Perhimpunan Agung UMNO ke-57
15 November 2006

“Saya yakin dengan semangat bersatu, kita mampu berpendapat dengan persekitaran yang sukar dan mencabar ini, seperti yang pernah kita lalui bersama dalam beberapa krisis terdahulu.”
Dato’ Sri Mohd Najib Haji Tun Abdul Razak
(Perdana Menteri Malaysia Keenam)
Pembentangan Rang Undang-Undang Pembekalan Tambahan 2009
10 Mac 2009


Semoga kita berfikir dan hayati semula kata-kata di atas, apa yang sebenarnya dimaksudkan oleh keenam-enam Perdana Menteri Malaysia.

Sekian…Wallahua’lam…

“1 MALAYSIA MENJANA TRANSFORMASI”

Ikhlas dari saya,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
Exco Majlis Perwakilan Mahasiswa
Universiti Teknologi Malaysia International Campus
wan_hazem90@yahoo.com

0 comments: