Monday, August 30, 2010

Kembara Ramadhan Anak Merdeka 2010...

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Pada 29 Ogos 2010 (Ahad) yang lepas, Barisan Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM IC ada menganjurkan satu program berbentuk Khidmat Masyarakat iaitu Program KEMBARA RAMADHAN ANAK MERDEKA yang bertempat di Perkampungan Orang Asli, Kampung Sementong, Kuala Lipis, Pahang. Program ini melibatkan barisan MPM UTM IC dan 30 Mahasiswa lain termasuk 7 orang Rakan Exco MPM UTM IC.

Program ini diwujudkan dengan beberapa objektif yang telah disetkan, antaranya sebagai membentuk jati diri kepada mahasiswa (anak merdeka) untuk bersama-sama dengan masyarakat Orang Asli dengan memberi khidmat bakti untuk proses gotong-royong, penyerahan sumbangan serta khidmat pendidikan kepada anak-anak Orang Asli.

Apa yang menarik untuk diceritakan di sini adalah kesemua mahasiswa yang terlibat telah diberi peluang untuk berinteraksi bersama masyarakat Orang Asli, bergotong-royong bersama-sama serta mandi sungai bersama anak-anak Orang Asli. Mahasiswa juga diberi pendedahan serba-sedikit mengenai rutin harian yang diceritakan oleh beberapa orang Asli yang terlibat.

Saya sendiri begitu teruja dengan program seperti ini kerana ini merupakan kali pertama dalam sejarah UTM IC, barisan MPM UTM IC mengadakan program seperti ini yang digabungkan temanya iaitu Bulan Ramadhan Al-Mubarak dan Bulan Kemerdekaan. Program seperti ini juga memecah tradisi mahasiswa iaitu berbuka puasa bersama-sama dengan Exco Kerajaan Negeri Pahang dan Penduduk Orang Asli yang dianggarkan dengan kehadiran seramai 300 orang.

Semua mahasiswa berpuas hati walaupun begitu penat dan letih melayan karenah anak-anak Orang Asli yang begitu “Hyperactive” dan gotong-royong masak-memasak serta mencari kayu api. Program yang diketuai oleh Saudara Hariz Zakwan ini juga sebagai inisiatif dari Pihak MPM UTM IC dalam membawa mahasiswa UTM IC menghayati suasana Berbuka Puasa bersama Orang Asli yang jarang-jarang diadakan oleh mana-mana Universiti di Malaysia ini.

Akhir kata, semoga program seperti ini mendapat sokongan oleh semua pihak terutamanya pihak pentadbiran universiti serta mahasiswa sendiri dalam menyemarakkan semangat 1 Malaysia di kalangan seluruh generasi muda zaman era globalisasi ini.

Sekian…Wallahua’lam…

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
Exco Kebajikan, Kolej & Pengaduan Awam,
Majlis Perwakilan Mahasiswa
Universiti Teknologi Malaysia International Campus
wan_hazem90@yahoo.com

0 comments: