Friday, December 21, 2012

Pilihanraya Umum 13 : Adakah Mahasiswa Sedia Berpolitik?

Assalamualaikum…
Salam Perpaduan…
Salam 1 Malaysia…

Berakhirnya persidangan Dewan Rakyat tanggal 29 November 2012 di Parlimen Malaysia memberi satu degupan yang cukup kencang buat para mahasiswa-mahasiswa seluruh Malaysia yang buat pertama kalinya akan turun mengundi di kawasan masing-masing. 

Secara umumnya , kita dapat lihat mahasiswa-maahsiswi hari ini mempunyai idealisma yang tersendiri dalam memberi sebarang pendapat dan cakna terhadap politik Malaysia sejak kebelakangan ini. Ada juga kita lihat , mahasiswa yang bersifat tidak ambil peduli mengenai politik disebabkan pergolakan yang berlaku antara pihak Kerajaan mahupun pihak Pembangkang. 

YB Khairy Jamaluddin, YB Dato’ Saifuddin Abdullah, YB Nurul Izzah Anwar, YB Mujahid Yusof Rawa antara barisan politik muda yang semakin memancing dan sedaya upaya menarik hati anak-anak muda, belia remaja termasuklah mahasiswa. Dan adakah mahasiswa sudah bersedia mendepani Pilihanraya Umum Ke-13 yang akan tiba? 

Keterbukaan yang dilakukan oleh Pihak Kerajaan dalam mentransformasikan penglibatan mahasiswa ke dalam politik kepartian memperlihatkan bahawa mahasiswa-mahasiswi hari ini sudah benar-benar bersedia bagi mendepani PRU-13 ini. 

Memetik kata-kata Yang Berbahagia, Professor Diraja Ungku A.Aziz (1973) di dalam buku Mahasiswa Menggugat , iaitu : 
“Belajar sambil mencabar, Pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, Bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin Berpengalaman (mencabar) dan terpelajar”. 

Ianya sedikit sebanyak memperlihatkan bahawa kuasa Mahasiswa cukup kuat dalam menentangkan jatuh bangun sesebuah kerajaan. Maka, tidak hairanlah semua pihak berlumba-lumba meraih perhatian golongan ini bagi meraih undi terutamanya selepas AUKU dipinda dan membenarkan para mahasiswa secara langsung terlibat dalam Politik di luar kampus. 

Hari ini, semuanya telah terbukti setelah YAB Perdana Menteri Malaysia memberi peluang yang cukup terbuka luas dalam penglibatan dalam politik tetapi adakah para mahasiswa yang layak mengundi hari ini sudah seratus peratus telah mendaftar mengundi? 

Saya menyeru kepada para mahasiswa hari ini terus cakna terhadap politik Malaysia hari ini dan seharusnya mendaftar mengundi untuk membuktikan bahawa kuasa demokrasi yang diberikan oleh pihak Kerajaan di Negara kita ini digunakan sebaik mungkin oleh kita semua terutamanya dalam memilih para pemimpin yang benar-benar mampu mengotakan seribu satu janji. 


*Artikel ini turut tersiar di Varsiti Berita Harian pada 13 Disember 2012 yang lalu… =) 

Sekian, Wallahua’lam… 

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH 
Setiausaha Kerja 
Majlis Perwakilan Mahasiswa 
Universiti Teknologi Malaysia 
wan_hazem19@yahoo.com

0 comments: