Tuesday, August 23, 2016

LiteraCity : Pemetaan Budaya Sastera di Kuala Lumpur...

Assalamualaikum...
Salam Perpaduan...
Salam 1 Malaysia...

Sebelum aku mula dengan entry terbaru, aku nak ucapkan jutaan 'TAHNIAH' buat Kontinjen Malaysia & Barisan Atlet Negara yang berjaya meraih 4 pingat Perak dan 1 pingat Gangsa yang merupakan antara rekod terbaik kontinjen Malaysia di pentas sukan Olimpik. Apa yang aku nampak dan aku puji adalah semua kaum, bangsa dan agama bersatu memberi sorakan dan sokongan yang sangat padu kepada semua barisan atlet terutamanya bagi sukan Badminton. Itu aku tak nafikan ! Tahniah dan Terbaek !

Begitu juga dengan bidang seni, kreatif, budaya dan sastera. Di mana kepelbagaian peringkat umur, bangsa, kaum dan agama yang bersatu untuk terus memartabatkan bidang ini. Ada yang bergerak secara sendirian/solo, ada yang berkumpulan, ada di jalanan, ada juga di kalangan bangsawan. Itu yang aku ingin terokai !

LITERACITY : Pemetaan Budaya Sastera di Kuala Lumpur


Sebelum itu, aku nak kongsikan sekali lalu mengenai info berkaitan dengan LiteraCityTur yang aku sertai baru-baru ini di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur. Kota seperti apa yang akan dibina melalui sastera?

"LiteraCity dengan frasa 'membina kota dengan kata' merupakan sebuah projek pemetaan budaya dan sastera Kuala Lumpur bermula dari tahun 1970-an hinggalah sekarang. Projek LiteraCity ini bertujuan memercik imaginasi dan realiti kota yang rencam dari sudut pandang sastera dalam melihat persoalan sosial, politik, serta ekonomi dalam menyoroti 'pembangunan' kota Kuala Lumpur.

Sebagai sebuah kota yang pesat membangun, projek LiteraCity ini membuka ruang diskusi yang tidak konvensional khususnya dalam mencabar idea-idea pembangunan yang sering meminggirkan dimensi manusiawinya dalam usaha membentuk kota yang lebih maksima.

Ketajaman serta kehalusan karya-karya sastera yang dipilih meliputi bentuk novel, cerpen, drama serta puisi sekali gus membedah persoalan-persoalan perihal Kuala Lumpur dengan meletakkan persoalan manusia dan alam sebagai teras dalam idea-idea pembangunan bandar. Justeru, melalui LiteraCity, kita dapat melihat proses pembangunan Kuala Lumpur bukan sahaja sekadar berlatarbelakangkan faktor masa dan ruang, sebaliknya turut meliputi segenap peristiwa dan tempat yang 'mematangkannya' sebagai sebuah kota melalui kata."

Apa yang aku faham, projek ini akan memberikan satu pengalaman buat penggemar dan peminat seni seperti aku untuk merasai dan menghayati apa yang cuba disampaikan oleh pengarang/penulis yang melibatkan 12 karya yang diketengahkan iaitu 3 cerpen, 3 novel, 3 puisi dan 3 drama untuk mengetahui apa yang ada disebalik karya mengenai Bandar Kuala Lumpur bermula karya tahun 1977 sehinggalah 2011.

Pertamanya, aku berkumpul di Dataran Medan Pasar bersama-sama dengan barisan peserta yang lain, barisan penganjur, artis dan juga para sukarelawan. Kami dipersembahkan dengan interpretasi karya T.Alias Taib dalam antologi puisi Pemburu Kota oleh pengarah teater, Fasyali Fadzly.


Seterusnya kami berjalan menuju ke persekitaran stesen LRT Pasar Seni dengan melalui Dataran Kasturi, Pasar Seni bersama-sama dengan memakai headphone yang sangat pelik dan unik sebagai instalasi bunyi oleh artis, Goh Lee Kwang dalam mencari 'bunyi' dalam karya skrip drama oleh Charlene Rajendran berjudul 'My Grandmother's Chicken Curry & ...'.




Setibanya di perkarangan stesen LRT Pasar Seni, kami dipersembahkan dengan lakonan dan gerak tari dari seorang artis, Lim Paik Yin yang cuba menghayati dan memberi pengolahan cerpen 'KL Di Atas Bantal' karya Faisal Tehrani yang lebih kepada orientasi seksual. Aku lihat, semua terpegun melihat persembahan tersebut sehinggalah satu tilam buruk dibawa ke tempat tersebut.




Seterusnya, kami dibawa melalui ke laluan pejalan kaki sehinggalah ke bulatan jalan bawah tanah. Sepanjang perjalanan itu, kami dipersembahkan dengan beberapa babak dari novel grafik 'Mat Som' karya Lat. Penamatnya kami dipersembahkan dengan bacaan puisi oleh Pyanhabib bagi memaknai novel 'Mat Som' ini.





Secara keseluruhannya, ini satu pengalaman yang cukup baik terutamanya apabila ianya memberi pendedahan secara asas kepada aku untuk aku terus mencari dan menggali ilmu seni kreatif, budaya dan sastera ini. Apa yang paling best adalah koordinator projek ini adalah Bro Ridhwan Saidi iaitu antara penulis buku kegemaran aku. Tiga (3) novel kesukaan aku hasil karya beliau adalah Amerika, Cekik dan Mautopia.

Aku bersama Lim Paik Yin & Bro Ridhwan Saidi... 

Insyaallah, aku akan terus menyertai program-program atau aktiviti-aktiviti seperti ini kerana ianya satu aktiviti yang boleh memberikan kepuasan dan manfaat kepada aku terutamanya mendekatkan aku dengan bidang ini. Tahniah dan terima kasih buat para penganjur.

Sekian, wallahua'lam...

Ikhlas dari,
WAN MUHAMMAD HAZEM BIN MOHD YUSOH
wan_hazem19@yahoo.com

0 comments: